assalamualaikum

sodiqi usrati...=)

Tuesday, March 29, 2011

AL-SYAIMA' BINTI HARITH AL-SAADIYYAH (Adik-beradik susuan Rasulullah SAW)

Kita tidak mungkin melupakan siapakah al-Syaima' binti Harith al-Saadiyyah. Dia ialah anak kandung Halimah al-Saadiyyah yang juga bererti saudara Baginda Rasul SAW sesusuan. Setiap kali kita mendengar Halimah al-Saadiyyah maka, dengan sendirinya kita akan teringat kepada puterinya, al-Syaima' ini.

Meskipun Muhammad seorang anak yang tidak berayah dan beribu, tidak punya abang dan tidak punya adik - hidup sebatang kara - jika ditinjau daripada segi hubungan darah. Tetapi, sebenarnya Baginda mempunyai ramai saudara sesusuan.Tahukah anda siapa saudara sesusuan Baginda SAW??

Menurut riwayat yang diperolehi daripada Yunus bin Bukair dan yang selainnya, Ibnu Ishaq mengatakan: "Hubungan saudara sesusuan Rasul melalui Halimah al-Saadiyyah ramai, antara lain Abdullah bin Harith, Anisah binti Harith, dan Huzaifah bin Harith, dan yang terakhir inilah yang dikenali dengan panggilan al-Syaima' binti Harith al-Saadiyyah yang sedang kita perkataan pada bahagian ini.

Menurut ahli-ahli sejarah, kata Ibnu Ishaq lagi, al-Syaima' binti Harith inilah yang membantu ibunya, Halimah al-Saadiyyah, untuk mengasuh dan menjaga Muhammad SAW ketika kecil. Jasa dan sumbangan al-Syaima' membentuk sahsiah Muhammad SAW tidak sedikit dan hal ini dikenali oleh para ahli sejarah. Maka, sebagai mengenang dan menghargai jasa dan sumbangan itulah, ramai di antara kaum muslimin menamakan anak mereka dengan namanya, al-Syaima'.

Ketika menidurkan Muhammad SAW, al-Syaima' menyanyikan dengan lirik seperti di bawah ini :

"Oh Tuhan, biarkanlah Muhammad terus dengan kami.
Sehingga dia membesar dan dewasa sebagai pemuda tampan.
Seterusnya menjadi ikutan yang ditaati manusia.
Hancurkanlah orang-orang yang memusuhinya.
Juga orang-orang yang dengki terhadapnya.
Kemudian, anugerahilah kemuliaan abadi kepadanya."

Nyanyian ketika menidurkan si anak yang bernama Muhammad oleh Syaima' ini adalah suatu doa dan pengharapan daripada seorang pengasuh yang sangat menyayangi. Maka, apabila Urwah al-Azadiy menyanyikan semula lirik-lirik tersebut, lantas diakhirinya dengan ucapan: "Betapa bahagianya al-Syaima' seandainya doa dan pengharapan itu dikabulkan oleh Allah SWT."
Sedangkan menurut Ibnu Sa'ad pula, nyanyian itu lahir ketika al-Syaima' menidurkan Nabi di pangkuannya.

Lain pula riwayat yang disebut oleh Abu Umar, yakni ketika Baginda SAW dan kaum muslimin menawan suku Hawazin, tiba-tiba ada seorang wanita mengaku saudara Baginda Rasul. Para sahabat terkejut lalu menjumpakan wanita itu dengan Baginda SAW.

Apabila sudah berhadapan dengan Baginda Rasul, wanita itu berkata: "Wahai Muhammad, tidakkah engkau mengenali aku? Aku ialah saudaramu, wahai Muhammad. Akulah yang mengendong dan menjagamu waktu kecil. Aku ialah al-Syaima' al-Saadiyyah, puteri ibu kita, Halimah al-Saadiyyah."

Setelah mendengar pengakuan wanita itu, Baginda terus menangis, sedih bercampur terharu. Baginda pun menghamparkan kain di tanah seraya mempersilakan al-Syaima' duduk di atasnya. Begitulah sambutan dan penghargaan Baginda kepada seorang wanita yang ternyata ialah saudara sesusuannya.

Sejurus selepas itu, dalam keadaan yang masih menangis, Baginda Rasul berkata: "Wahai saudaraku, kalau engkau mahu pulang ke pangkuan kaummu, aku akan membawamu ke sana. Namun, aku harap engkau sudi tinggal bersama kami di sini, menjadi seorang saudara yang dimuliakan dan dikasihi. Tetapi itu pun sekiranya engkau tidak keberatan."

Al-Syaima' rupanya lebih kuat untuk pulang ke pangkuan kaumnya, dan hal ini disampaikannya kepada Baginda Rasul: "Aku ingin pulang kepada kaumku." Dan pada waktu itu jugalah al-Syaima' masuk Islam. Sebelum wanita itu dihantar pulang, Baginda SAW menghadiahkannya beberapa ekor unta kibasy dan tiga orang hamba lelaki dan perempuan untuk dibawanya pulang ke pangkuan kaumnya.

Kita juga dituntut supaya menghormati orang-orang yang banyak berjasa kepada Baginda SAW. Kita hendaklah menyayangi orang-orang yang disayangi oleh Baginda SAW. Mencintai Rasul  bermakna mencintai orang-orang yang Baginda cintai.

Setiap orang yang turut terlibat mengasuh, menjaga, dan mendidik Baginda Rasul, sama ada ketika Baginda masih kecil, begitu juga mereka yang membantu dan membelanya setelah dewasa dan setelah menjadi Rasul, hendaklah kita hormati dan sanjungi.

Adalah sesuatu yang terpuji dan digalakkan memuji dan menyebut-nyebut keutamaan dan kemuliaan orang yang memang benar-benar mempunyai keutamaan dan kemuliaan. Hal yang jelas, hanya orang yang utama dan mulia sahajalah yang mengenali keutamaan dan kemuliaan orang lain. Hanya jauharilah yang mengenal manikam, dan butiran emas tidak akan dimakan itik.

Wahai kaum muslimin, berapa ramaikah antara kita yang terus mengingati serta mengenang jasa-jasa dan kebaikan yang ditumpahkan al-Syaima' kepada Baginda SAW?? Mungkinkah kita akan melupakan ini semua? Terasakah di hati kita betapa cinta dan kasihnya Baginda SAW terhadap wanita ini??

Ingatkah lagi kita siapa wanita yang pernah mengasuh dan membesarkan Baginda Rasul? Bukankah semua ini merupakan isyarat supaya kita menghormati dan menyayangi kaum wanita?? Mari kita kemukakan semula hadis Rasulullah SAW yang amat masyhur:

"Sesungguhnya, syurga itu di bawah telapak kaki kaum ibu."



No comments:

Post a Comment