assalamualaikum

sodiqi usrati...=)

Monday, March 28, 2011

HALIMAH AL-SAADIYYAH (Ibu Susuan Rasulullah SAW)



Semua penulis buku sejarah Nabi Muhammad SAW tidak mungkin lupa menulis sedikit sebanyak tentang peranan seorang wanita kampung yang bernama Halimatul dari suku al-Saadiyyah, kerana memang wanita ini tidak mungkin dipisahkan daripada keperibadian Muhammad SAW. Dalam erti kata lain, keperibadian Nabi SAW ialah pantulan daripada keperibadian Halimah al-Saadiyyah, ibu susuan Baginda selama dua tahun - jika tidak semua, setidak-tidaknya sebahagian dari sahsiah Baginda Rasul SAW.

Pada hakikatnya, Allah SWT telah menentukan Halimah menjadi ibu susuan Nabi SAW walaupun pada zahirnya hal itu hanya merupakan suatu kebetulan.

Ketika Halimah dan kawan-kawannya datang ke kota Makkah mencari kalau-kalau ada ibu bapa yang hendak mencari ibu susuan kepada anak mereka yang baru lahir. Tetapi, setelah mencari ke sana ke mari bertanya dari rumah ke rumah di sekitar kota Makkah ternyata tidak ada orang yang hendak menyerahkan bayi untuk disusukan Halimah. Akhirnya beliau berjumpalah dengan seorang bayi yang bernama Muhammad cucu kepada Abdul Muttalib yang sudah tidak mempunyai ayah ketika dia dilahirkan. Maka, anak yatim inilah yang ditemui Halimah di Makkah untuk diasuh dan disusukannya selama dua tahun.

Halimah al-Saadiyyah adalah seorang Bani Asad bin Bakr Hawazin, dan garis salasilahnya bersambung kepada Qais Aylan. Abdul Muttalib, datuk kepada bayi yang baru lahir ini, adalah seorang yang bijaksana dan dapat mengenal hati budi seseorang walaupun baru sekali berjumpa.

Sesungguhnya, Halimah al-Saadiyyah adalah seorang wanita yang penyayang, lemah lembut dan berbudi bahasa. Seandainya Halimah bukan seorang yang baik, sudah tentu Abdul Muttalib tidak mahu menyerahkan cucunya yang baru lahir itu, Muhammad dan cucunya yang lain, Abu Sufyan kepada wanita itu.

Empat tahun lamanya Muhammad berada di bawah asuhan dan jagaan Halimah. Luar biasa sekali kepandaian Halimah dalam hal mendidik anak, mulai daripada akhlak hingga kepada kebersihannya, padahal Halimah hanya seorang wanita kampung. Hal ini ternyata, apabila hasil didikannya itu menjadi seorang Rasul dan makhluk yang paling berbudi antara sekalian umat manusia daripada Adam hingga hari kiamat.

Halimah menanamkan sifat jujur dan amanah kepada Muhammad. Setelah berumur empat tahun satu bulan, Halimah pun menyerahkan kembali Muhammad kepada keluarganya.

Selama Muhammad tinggal bersama Halimah, banyak sekali perubahan yang berlaku dalam hidup wanita kampung itu. Dalam erti kata lain, berkat yang dibawa anak yatim ini memang terasa sekali dan hal itu dapat dilihat oleh orang lain juga.

Cinta dan kasih sayang Nabi SAW kepada wanita yang telah mengasuh, menyusukan dan mendidiknya selama bertahun-tahun memang tidak mungkin dapat dilupakannya selama hayat dikandung badan. Hal ini lebih jelas terbukti apabila seorang utusan datang kepada Baginda Rasul menyampaikan berita mengenai kewafatan ibu sususannya itu. Tanpa dapat menyembunyikan kesedihannya, Baginda Rasul mencucurkan airmata di hadapan para sahabat yang ada di sekelilingnya.

Utusan itu juga menyampaikan berita tentang empat orang saudara sesusuan Baginda, dua lelaki dan dua perempuan, amat-amat memerlukan sesuatu daripada Baginda Rasul. Tanpa berfikir panjang, Baginda memberi apa yang mereka perlukan untuk dibawa oleh utusan tadi.

Setelah menyaksikan kesedihan Baginda, juga setelah memberi permintaan saudara-saudara sesusuannya, utusan itu berkata dengan rasa terharu yang hampir-hampir membuatnya tidak mampu berkata-kata dengan jelas.

"Demi Allah, wahai Muhammad, engkaulah manusia yang paling baik, sama ada ketika kecil, begitu juga setelah dewasa. Engkau membawa berkat kepada semua orang."

Sebaik sahaja Baginda mendengar berita kewafatan ibu susuannya, Halimah al-Saadiyyah, tentu sahaja Baginda terkenang masa-masa kecilnya bersama-sama wanita yang lembut itu. Kasih sayang dan asuhan yang diberikannya memang merupakan pemberian yang tidak mungkin dapat dinilai atau diharga dengan apa-apa pun yang bersifat material. Semua itu Baginda perolehi daripada wanita kampung itu, juga saudara-saudara sesusuannya yang lain. Namun begitu, kini wanita itu sudah pergi untuk selama-lamanya.

Kelemah-lembutan, cinta kasih, keikhlasan yang memang menjadi sifat Halimah al-Saadiyyah telah diberikan kepada semua anak susuannya, termasuk kepada Baginda Rasulullah sendiri. Setiap anak yang pernah menjadi anak susuan kepada wanita agung itu pasti merasakan kesan yang sangat mendalam daripada peribadi wanita yang sudah pergi ke rahmatullah itu. Maka, tidak aneh apabila mendengar kewafatannya, airmata kesedihan langsung jatuh daripada kelopak mata Baginda SAW.

Sesungguhnya, kisah Halimah al-Saadiyyah ini ingin saya persembahkan kepada semua wanita yang memelihara dan menjaga anak yatim dengan penuh perhatian, cinta kasih dan kelemah-lembutan. Ketahuilah, bahawa setiap orang yang mengorbankan segala kepentingan demi anak yatim akan beroleh ganjaran yang amat besar, sama ada ketika hidup di dunia, lebih-lebih lagi di hari akhirat. Memelihara anak yatim ialah kerja yang mulia dan menguntungkan, sekalipun pada perkiraan orang kebanyakan yang disasari kiraan matematik akal merugikan.

Manakala, kepada mereka yang menjadi anak susuan bagi seorang wanita, ingin pula saya sampaikan sebuah hadis Nabi SAW yang menjelaskan bagaimana sepatutnya anda mengenang jasa dan kebaikan  yang diberikan oleh ibu susuan anda itu.

Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Abu Ya'la menerusi Ammah bin Thawban dan daripada Abu Tufail, bahawa Nabi SAW bersabda, yang maksudnya:

"Ketika Baginda Rasul sedang berada di Jaaranah, Baginda mengagih-agihkan daging kepada orang ramai. Tiba-tiba seorang wanita tua datang ke tempat itu. Apabila wanita itu sudah hampir, segera Nabi SAW membentangkan kain seraya mempersilakan wanita itu duduk. Lalu wanita itu pun duduk dia atas kain tersebut. Aku bertanya kepada orang yang ada di situ: "Siapa sebenarnya wanita tua itu? Mereka memeberitahu aku: "Wanita ini ialah ibu susuan Rasulullah SAW."

Hadis tersebut diambil daripada kitan "al-Ishabah" jilid VII, halaman 585.

Bersama-sama ini, diselitkan lagu Halimatul Saadiah dendangan kumpulan in-team ni... hayatilah bait-baitnya... =)




No comments:

Post a Comment