assalamualaikum

sodiqi usrati...=)

Friday, August 31, 2012

berjaya jugak akhirnya~

bismillah..

ce teka aku berjaya buat apa? ok2, aku terus terang je..

macam ni, aritu aku ada share satu resepi kat FB. nama resepi tu puding roti karamel. mula-mula aku tertengok post tu, terus aku terpikat nak cuba buat jugak. jadi, aku share je la dulu supaya melekat kat wall aku, jadi takdelah susah sangat nak cari nanti bila nak buat, sebab masa tu nak terus buat bahan pulak tak cukup. jadi, simpan je la buat harta karun buat beberapa ketika, sampai la 28/08 baru tergerak hati ni haa nak buat. sebenarnya, aku nak buat 27/08 tu sebab masa tu adik aku Nadiah tu ada lagi. jadi, boleh la dia rasa sikit kan air tangan aku.. hua hua.. prasan sedap la tu.. haha. tapi, apa nak buat.. disebabkan kuantiti telur tak mencukupi kat rumah masa tu, maka tertunda la lagi jawabnya.. sampai la tarikh 28/08 tu baru terbuat. dah rezeki kakak aku balik pagi 28/08 tu, jadi dapat la dia merasa.. tak gitu? :P

mak aihh.. panjang bebeno intro. haha.. kembali ke tajuk asal. baiklah, jadi aku nak kongsi la serba sedikit resepinya kat sini pulak.

bahan-bahan: 

4 keping roti gardenia (roti lain pun takpe)
3 biji telur
1 cawan susu pekat
2 cawan air suam
3 sudu gula (untuk buat gula hangus)
1 sudu esen vanilla

cara-caranya:

1) carik-carikkan roti dan rendam dalam air suam tadi
2) hanguskan gula dalam loyang atas api sederhana dan sejukkan
3) kisar roti bersama susu pekat
4) telur dipukul sebentar kemudian tapiskan
5) masukkan telur dalam kisaran roti tadi berserta esen vanilla dan kisarkan lagi sebentar
6) panaskan kukusan (nak panaskan dari awal lagi baik supaya lebih cepat mendidih)
7) masukkan bahan tadi ke dalam loyang yang berisi gula hangus tadi
8) kukus hingga masak selama lebih kurang 40 minit

ok, itulah antara bahan dan cara-cara untuk membuatnya. takdelah susah sangat kan? sebab tu aku berani buat. haha.. eh, lupa nak bagitahu.. kalau nak tahu puding ni dah masak ke belum.. cucuk sikit pakai garfu atau lidi tengok die melekat ke tak lagi kat benda yang hampa cucuk tu. kalau tak, tu maknanya puding hampa tu dah masak.

baiklah, sekarang jom kita jamu mata jap tengok puding aku yang tak berapa nak puding sangat rupanya ni. haha..

haha.. ok, silalah gelak kalau nak gelak tengok rupa die. dah macam dorayaki aku tengok. maklomlah, tak sempat nak sejuk betul-betul, aku dah keluarkan daripada loyang tu. dah tak sabo nak merasa. haha

potong pun dah macam ape je.. hehe

yang ni jarak dekat sket

ok, cukuplah dulu setakat tu. Alhamdulillah, Dia izin jugak buat sebelum masuk bertempur balik di Tanjung Malim nanti. tapi, kesianlah adik aku tak sempat nak merasa. takpelah, kang nanti aku buat balik bila-bila. kalau rajinlah kan.. haha.

mula-mula akak aku makan, yang dia tegur adalah mengenai rasa gula yang perang tu. katanya tak pahit. maksudnya menjadi lah kan? haha.. sebab katanya (aku dengar pun macam tu jugak), kalau orang tak biasa dan tak pandai buat, gula tu akan rasa pahit.

lepas tu aku tanya mak aku, macamana? manis sangat ke? mak aku cakap manis jugak la sikit, tapi ok dah .. mak cakap, beliau suka. Lagipun, kuih ni memang manis sikit biasanya. Lagipun, aku tau mak aku memang suka kuih yang jenis-jenis macam ni, terutamanya kuih sekaya tu. (aku tak tau nama saintifik kuih tu apa, yang aku tau sejak kecik family aku panggil kuih tu, kuih sekaya) Sebenarnya, aku pun rasa manis jugak sket. haha.. aku tau.. jadi, lepas ni kena kurangkan sikit susu pekat tu. itulah fungsinya komen yang bernas bila kita buat sesuatu kan?


p/s: Nabilah Mohd Noh, aku dah berjaya buat gula hangus! :P

Thursday, August 23, 2012

agak-agak laku tak?

bismillah..

ermmmm...... sebenarnya aku ada hajat. dan dah lama sangat dah aku simpan niat ni. entah bila nak terkabul dan terlaksana pun aku tak tau. hehe.. hajat apa ye?

ermm.. macam ni..............

hehe.. alamak, segan la pulak! aigoo... ok2, aku serius.

sebenarnya, aku ada la sikit bakat TERENDAM jahit tudung. yang tudung labuh tu. alaa.. tudung bulat tu. yang tu tu.. tau? hrmmm... ok2, aku tunjuk la sikit mana satu tudung bulat ni. kang ada pulak yang kompius. (tak baik betol su'u dzon aku ni.. tapi, sebagai langkah berjaga-jaga.. dok gitu? hehe)

ini la rupanya tudung bulat tu.. kalau aku, aku panggil jilbab.

sehubungan dengan itu, sebenarnya aku berhajat nak cuba ambil tempahan untuk jahit tudung ni. huhu.. (segan mak aii..)

TAPI!

sebelum tu aku nak ingatkan la bahawasanya dan sesungguhnya tudung ni aku jahit guna cara manual je. maksud aku, aku jahit pakai tangan je.. ermm.. maksudnya, aku tak guna mesin jahit walaupun seinci sebab aku tak pandai guna mesin jahit tu.. haha..

selain tu, yang bahagian tepi tudung tu pun aku tak jahit pakai mesin jugak.. aku lebih suka layur pakai lilin je sebab aku tak suka tudung yang berjahit mesin kat bahagian tepi tudung macam yang kebanyakannya jual kat kedai-kedai tu. rasa kurang selesa. hehe.. aku pun tak tau kenapa aku rasa macam tu.. hua hua..

konklusinya, memang tudung ni dijahit secara manual semanual manualnya. sebab aku tak pandai dan x suka pakai yang berjahit mesin tu. (setiap orang punya citarasa kan.. hehe)

jadi, untuk entri ni.. aku akan letak sample tudung yang aku cakapkan ni.. jadi, awak-awak bolehlah tengok dan nilaikan sendiri. (malu menerjah lagi.. huhu)

yang ni sebelum dijahit, iaitu setelah diukur saiznya sesuai dengan si pemakai

yang ni dalam proses menjahit

yang ni hampir-hampir siap tak silap aku

yang ni dah siap, tapi bukan sehelai ni.. yang ni 3 helai sekaligus aku letak. saja nak bagi nampak kalerful sikit.. hehe

yang ni tak potong lagi ikut betul-betul saiznya, sebab tu ada lagi bulu-bulu kain tu

dari sisi atas

dari sisi tepi


ok, rasa-rasanya cukup la dulu setakat yang dipamerkan. itulah antara yang termampu. maaflah tak berapa nak cantik sebab nak cepat kan.. huhu.. 

walau bagaimanapun, aku rasa dan sangat yakin.. sebenarnya ramai je yang pandai jahit ni. malahan, terlebih baik lagi daripada ni. sebab aku pun belajar daripada nenek aku. jadi, sah-sah la nenek aku lagi pandai dan cantik daripada aku kan? =)

TAPI!

sebenarnya, aku bedebo jugak buat entri ni sebab takut tetibe dapat tempahan. hua hua.. kalau tak dapat aku tak pelik. =)

aku bukan apa, kalau nak ikutkan.. cuti aku ni tinggal berapa minggu je pun lagi. tambah-tambah lagi ni bulan Syawal. bukan tak boleh buat dekat U nanti, cuma aku takut tak sempat. maklum je la kat sana nanti macamana.. bizinya melampau. huhu.. tudung aku sendiri pun tak terjahit, apatah lagi kalau dapat tempahan. aku ulang, KALAU DAPAT. haha.. alih-alih, aku beli je tudung tiga segi yang bidang 60 tu kalau terdesak sangat nak guna. tapi, setakat ni tak pernah lagi aku rasa terdesak sampai macam tu. haha

konklusinya, aku ni nak ambil tempahan ke tak sebenarnya? haha.. hang ni pun Najihah.. cakap kemain lebat. aihh.. ok2, disebabkan aku ni lesen moto pun takde, apatah lagi kereta sebab aku tak pandai bawak dua-dua tu, aku rasa kalau jadi la benda ni, mungkin kena tunggu aku ada lesen dulu. baru senang aku nak uruskan segala mak nenek yang berkaitan, baik urusan jual beli tudung dan bayar-membayar. hehe.. tapi bila aku nak amek lesen ni? ermm.. kalau ikutkan perancangan, masa cuti sem 3 atau 4 nanti, aku amek la lesen tu.. bukak sem nanti, aku naik sem 3. haaa.. takde la lama sangat tempohnya kan? hehe..

sekian. eh, sebelum terlupa.. rasanya belum terlambat lagi untuk aku ucap Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin. Taqobbalallahu minna wa minkum. ^_^

Saturday, August 11, 2012

Ramadhan dua zaman

Ramadhan

Satu nasib tak serupa
Peluangnya sama natijah berbeza

Ramadhan mereka gemilang cemerlang
Mukmin berjasa di awal zaman
Ramadhan kami malam terbuang
Muslim berdosa di akhir zaman

Mereka gembira kerana kedatanganmu
Kami gembira dengan pemergianmu
Akhlak mereka meriah
Disimbah nur al-Qur'an

Tapi, 

Malam kami muram berkabung dengkur
Mereka berlumba mengejar makrifat
Tapi kami lesu diburu nafsu

Hati mereka bercahaya di gilap taqwa
Jiwa kami gelap didera dosa

Takbir mereka takbir kemenangan
Hadiah mujahadah sebulan Ramadhan
Takbir kami lesu tak bermaya

Tanda kalah lemah tak berdaya
Puasa sekadar lapar dan dahaga

Allah! kerdil dan hinanya diri.. Ampunilah kami ya Allah..



Thursday, August 2, 2012

Pasrah dengan Istikharah


Bagaimana seharusnya sikap kita apabila berdepan dengan dua perkara atau lebih yang hukumnya sama harus, sama-sama baik, dan sama-sama bermanfaat, tetapi kita hanya boleh memilih salah satu sahaja daripadanya?

Mungkin perkara itu melibatkan soal pekerjaan, pasangan hidup, pemimpin, rumah atau permusafiran. Kita berada dalam keadaan benar-benar buntu dan keliru. Apa yang terbaik untuk kita?

Apabila berdepan antara yang halal (wajib) dan haram, orang mukmin itu tidak akan berasa terbeban dengannya. Mengapa? Ini kerana mereka sudah mampu membuat keputusan berdasarkan nilai yang mereka pegang dalam hidup. Maksudnya, mereka tidak akan keliru lagi kerana sudah pasti yang halal menjadi pilihan.

Tetapi, bagaimana kalau sama-sama halal atau harus, mana satu yang patut dipilih? Orang beriman tidak akan selamanya buntu dan keliru. Mereka ada kekuatan semula jadi, iaitu melaksanakan solat istikharah. Daripada Jabir r.huma,. beliau berkata, Nabi S.A.W. bersabda, maksudnya: “Apabila ada daripada kalangan kamu diberatkan oleh sesuatu, hendaklah dia rukuk dengan dua rukuk (mengerjakan solat dua rakaat), selain solat yang fardhu (mengerjakan solat dua rakaat dengan niat istikharah).” (Riwayat al-Bukhari)

Daripada Jabir bin Abdullah r.a. berkata: “Rasulullah S.A.W. mengajar kami istikharah dalam melakukan sesuatu perkara sebagaimana Baginda mengajar kami satu surah daripada al-Qur’an. Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu merancang dalam sesuatu perkara, hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat.” (Riwayat al-Bukhari)

Keperluan Istikharah

Istikharah ialah memohon atau meminta yang terbaik. Ia dilakukan apabila seseorang itu tidak pasti dalam memutuskan sesuatu perkara sama ada ingin melakukannya atau meninggalkannya. Praktikalnya, istikharah bererti meminta pertolongan Allah untuk memilih beberapa kemungkinan dan kemungkinan itu berada pada tahap harus dalam syariat dan tidak diketahui mana yang terbaik; dilakukan atau ditinggalkan. Jelasnya, istikharah penting dalam kehidupan orang beriman.

Perlu diingat, perkara wajib, sunat, haram dan makruh terkecuali daripada perlaksanaan istikharah kerana telah jelas hukumnya. Misalnya, seseorang yang sudah cukup semua syarat mengerjakan haji, dia tidak perlu melaksanakan solat istikharah bagi membuat keputusan untuk pergi mengerjakan haji atau tidak. Dia wajib memilih untuk pergi. Begitu juga seorang kaki botol yang ingin bertaubat, dia tidak perlu melaksanakan solat istikharah untuk bertaubat atau tidak. Dia wajib berhenti serta-merta kerana arak itu jelas hukumnya haram.

Hakikat ini dijelaskan oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani: “Ibn Jamrah berkata: ‘Sesungguhnya, perkara wajib dan sunat tidak perlu dilakukan istikharah untuk mengerjakannya. Perkara haram dan makruh juga tidak perlu dilakukan istikharah untuk meninggalkannya. Solat istikharah hanya khusus kepada perkara yang harus sahaja.”

Orang yang beriman mempunyai pendirian yang kukuh dalam kehidupannya dan jarang dilanda was-was dan kekeliruan. Oleh sebab itu, jika tiada sebarang keraguan, dia mampu membuat keputusan berpandukan hukum syariat yang difahami dan diyakininya. Maka, dia tidak perlu beristikharah kerana baik buruk, manfaat mudarat, dan haram halal sesuatu perkara itu telah jelas. Jika dia membuat pilihan dan keputusan berdasarkan pertimbangan ini, sebenarnya dia telah merujuk kepada Allah. Ketahuilah, syariat itu hukum Allah, merujuk kepada syariat sama seperti merujuk kepada Allah.

Namun, apabila berdepan dengan dua atau lebih perkara harus yang sangat sukar dibezakan kebaikannya, barulah diperlukan istikharah. Sudah menjadi sunnatullah, musuh perkara terbaik ialah perkara baik. Lebih-lebih lagi dalam hal berbentuk peribadi, seseorang memerlukan istikharah kerana apa yang terbaik untuk orang lain, belum tentu baik buat dirinya. Istikharah selalunya dilaksanakan untuk menangani perkara-perkara yang sangat khusus dan personal sifatnya.

Sungguhpun begitu, ada juga ulama yang menggalakkan solat istikharah bukan sahaja apabila berhadapan dengan perkara besar dan sukar untuk diputuskan, tetapi setiap kali hati tergerak untuk melakukannya sebagai tanda kita mengharap kepada Allah.

Imam al-Shawkani menyebut: “Seseorang itu tidak harus memandang hina terhadap sesuatu perkara yang kecil, dan tidak mengambil berat tentangnya sehingga meninggalkan daripada melakukan istikharah kepada Allah. Boleh jadi tersembunyi dalam perkara tersebut sesuatu yang tidak diketahuinya dan menatijahkan kemudaratan yang besar akibat memandang remeh akan keperluan melakasanakan istikharah kepada Allah. Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya: “Wajib bagi seseorang untuk memohon kepada Tuhannya walaupun berkenaan tali seliparnya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Realiti Rendah Diri dalam Doa Istikharah

Melalui solat istikharah, sebenarnya seseorang telah memohon “kebersamaan” Allah ketika dia membuat pilihan. Allaj dicari sebagai rujukan utama untuk  diadukan tentang keresahan kegelisahan hati. Lalu, dengan penuh tawaduk dan rendah hati, doa istikharah yang diajarkan oleh Rasulullah ini dipanjatkan buat-Nya:

“Ya Allah, aku memohon petunjuk daripada-Mu dengan ilmu-Mu, dan aku memohon ketentuan daripada-Mu dengan kekuasaan-Mu, dan aku memohon daripada-Mu dengan limpah kurniaan-Mu yang besar. Sesungguhnya, Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui, dan Engkaulah Maha Mengetahui segala perkara yang ghaib.”

Sungguh, sifat kerendahan hati dan diri seorang hamba terpancar daripada doa ini. Hamba tersebut mengakui kelemahan, kejahilan dan pengharapannya hanya kepada Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Terserlah juga sifat redha dan pasrah seorang hamba kepada Tuhannya. Hakikatnya, manusia tidak tahu perkara yang baik dan mudarat untuk dirinya sendiri.

Mungkin sesuatu yang kelihatan baik pada pandangan akal dan perasaan kita sebenarnya itulah akan membawa keburukan. Dan mungkin juga sesuatu yang kita sangka buruk, sebaliknya itu baik untuk kita. Bukankah Allah telah menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu, padahal ia baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu, padahal ia buruk bagi  kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah 2: 216)

Pelaksanaan Istikharah yang Terbaik

Oleh sebab itu, solat istikharah perlu dilaksanakan dengan penuh adab dan tertib. Yang paling penting adalah dengan menjaga adab batin (hati) yakni dengan mengosongkan hati daripada sebarang kecenderungan diri sendiri (yang mungkin telah dikuasai oleh hawa nafsu), kerana dikhuatiri hati yang dikuasai hawa nafsu seolah-olah “memaksa” Allah untuk mengikut pilihan mereka.

Imam al-Nawawi menjelaskan syarat utama sebelum solat istikharah ialah pemikiran seseorang mestilah benar-benar bebas tanpa kecenderungan peribadi. Beliau menegaskan lagi, sekiranya telah ada keputusan dan kecenderungan yang kuat, lebih baik jangan dilaksanakan solat istikharah.

Justeru, sebaiknya kosongkan hati sebelum melaksanakan solat istikharah dan tunggu datangnya input ketenangan, kelapangan dan kecenderungan terhadap satu-satu keputusan setelah melaksanakan solat tersebut. Inilah yang ditegaskan lagi oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Azkar: “Hendaklah dia memilih perkara yang melapangkan dadanya.”

Sesetengah ulama berpendapat, istikharah perlu dilakukan apabila tidak dapat membuat keputusan dengan bermesyuarat. Maka, seseorang itu dituntut untuk melaksanakan solat istikharah. Maksudnya, bermesyuarat dahulu, pinta pandangan, hujah dan nasihat daripada orang yang soleh dan pakar dalam bidang atau perkara tersebut, maka setelah itu buatlah keputusan berdasarkan input mereka. Mereka berpendapat bahawa mesyuarat lebih utama (afdhal) daripada istikharah.

Bermesyuarat dalam perancangan atas perkara-perkara yang harus ialah perintah Allah. Firman Allah. Maksudnya: “Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu.” (Surah Ali ‘Imran 3: 159)

Oleh sebab itu, jangan dipisahkan istikharah dengan mesyuarat (istisyarah). Walaupun pada zahirnya, istikharah ialah urusan dengan Allah dan mesyuarat urusan dengan manusia, tetapi hakikatnya kedua-dua amalan ini adalah perintah Allah jua. Bukankah salah satu surah dalam al-Qur’an dikhususkan tentang mesyuarat? Bahkan, Rasulullah S.A.W. sendiri diperintahkan oleh Allah untuk bermesyuarat dengan para sahabat Baginda  walaupun wahyu masih belum terhenti.

Ada sebahagian ulama pula berpendapat agar dilakukan dahulu solat istikharah sebelum “jawapan” istikharah itu dibawa bermesyuarat dengan orang yang baik dan pakar dalam bidang yang berkaitan. Ya, mereka menegaskan bahawa tidak akan rugi orang yang beristikharah dan tidak akan menyesal orang yang bermesyuarat.

Walau apa pun pegangan kita sama ada istikharah dahulu kemudian mesyuarat atau sebaliknya, itu bukan perkara yang harus diperselisihkan. Yang penting, jangan dipisahkan antara istikharah dengan mesyuarat kerana kedua-duanya merupakan kaedah yang diperintahkan syarak buat mereka yang berada dalam kebuntuan atau kekeliruan. Berpeganglah pada mana-mana pandanga kerana kedua-duanya adalah baik belaka.

maaf kurang jelas tulisannya, sila klik pada gambar.. =)

Berilmu sebelum Istikharah

Namun begitu, setiap amalan memerlukan ilmu. Biarpun hanya solat sunat, solat istikharah yang merangkumi soal falsafah, hikmat dan pelaksanaan perlu difahami sebaiknya dan bukan hanya diamalkan secara ikut-ikutan. Jangan beribadah tanpa ilmu kerana itu mendedahkan kepada tipuan syaitan. Seharusnya, belajarlah daripada kitab-kitab muktabar yang disampaikan oleh alim ulama sebelum melaksanakan istikharah.

Jika tidak, pelbagai tipu daya syaitan dan helah hawa nafsu akan tambah mengelirukan kita. Boleh jadi kita akan bertambah buntu atau tertipu oleh satu kepalsuan yang dirasakan satu keyakinan dan kebenaran. Betapa tidak, kerana ada pihak yang berpendapat bahawa mereka pasti mendapat alamat atau isyarat tertentu (seperti mimpi) sebagai jawapan selepas solat istikharah.

Justeru, apabila mereka tidak “diberi” mimpi, mereka berasa kecewa dan berangggapan bahawa Allah tidak “menjawab” permohonan mereka lewat solat istikharah yang telah dilakukan. Ada juga yang mendakwa dikurniakan mimpi dan mempercayainya, tetapi mimpi itu menghala kepada perkara yang haram. Misalnya, ada yang beristikharah untuk memilih pasangan hidup lalu bermimpi berkahwin dengan isteri orang. Itu bukan petunjuk Allah, tetapi tipuan syaitan.

Relevannya, mimpi yang dialami tidak boleh seratus peratus dijadikan asas dalam tindakan. Hukum syariat mesti menjadi rujukan, bukannya mimpi. Oleh sebab itu, mimpi harus dirujuk dan kembali kepada syariat. Mana mungkin kita melakukan solat istikharah yakni meminta bantuan Allah untuk membuat keputusan, tiba-tiba keputusan itu bertentangan dengan hukum Allah?

Profesor Mutawalli al-Sha’rawi berpendapat, solat istikharah tiada kaitan dengan mimpi kerana ia adalah mainan tidur yang boleh dipengaruhi oleh banyak faktor. Oleh kerana itu, ada antara ulama yang secara rigid menolak mimpi yang dikaitkan dengan istikharah dan ada pula yang menerimanya.

Imam al-Nawawi pula menyebut bahawa petunjuk selepas istikharah itu mungkin datang dalam bentuk ketenangan, kecenderungan, ilham, mimpi dan sebagainya.

Manakala Ibn Qayyim pula berpendapat bahawa petunjuk disampaikan dalam bentuk kemantapan hati.

Namun, apa yang perlu dilakukan jika petunjuk belum kunjung tiba sekalipun telah mengerjakan solat istikharah? Jawapannya, lakukanlah lagi hingga tiga kali berturut-turut (ada ulama yang menyuruh hingga tujuh kali). Sekiranya belum juga datang petunjuk itu, maka bertawakallah dan pilihlah satu daripada kemungkinan yang harus itu. Bersangka baiklah setelah membuat pilihan dengan tidak melayan lagi sebarang keraguan, was-was dan rasa hati yang berbolak-balik.

agak-agak macam tak jelas, sila klik pada gambar.. =)

Pasrah selepas Berusaha

Ingat, solat istikharah juga ialah doa dan bukan pelaksanaan solat semata-mata. Seseorang yang berdoa mesti menghadirkan hati yang penuh yakin dan bersangka baik bahawa doanya akan dimakbulkan. Yakinlah, dengan mendirikan solat istikharah, Allah akan memakbulkan doa kita yakni dengan mendorong hati serta melapangkan dada kita untuk memilih yang terbaik.

Daripada Abdulllah bin Amru bin al-‘As, Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya pada hati manusia ada kesedaran, sesetengahnya merupakan kesedaran bagi sesetengah yang lain. Apabila kamu memohon sesuatu daripada Allah, pohonlah kepada-Nya dengan yakin bahawa Allah akan memakbulkannya. Sesungguhnya, Allah tidak akan memakbulkan doa seorang hamba yang hatinya dalam keadaan lalai (tidak sedar dan yakin dengan pemberian Allah).” (Riwayat Ahmad)

Sekiranya ternyata pilihan yang dibuat setelah solat istikharah itu baik, bersyukurlah kepada Allah kerana dengan bantuan-Nya, semua itu berlaku buat diri kita. Jangan merasakan semua itu hasil usaha istikharah kita, tetapi percayalah semuanya kehendak Allah jua. Namun, seandainya yang berlaku adalah sebaliknya, terimalah ia sebagai satu ujian daripada Allah yang pasti ada hikmahnya. Mungkin buat sementara  waktu ia dirasakan pahit, tetapi pada masa hadapan ternyata ia adalah ubat yang menyembukan.

Jangan ada penyesalan dan kekesalan setelah menerima impak daripada pilihan yang diperoleh setelah solat istikharah. Jika ada masalah atau cabaran yang menimpa, jangan berpatah balik kerana kita sudah berada di jalan yang benar. Apabila timbul masalah dalam urusan jodoh, kerja, jawatan atau apa-apa sahaja yang kita pilih setelah bermesyuarat dan beristikharah, jangan sekali-kali menyalahkan diri sendiri apatah lagi “menyalahkan” Tuhan.

Sebaliknya, terima ia sebagai suatu musibah yang penuh dengan didikan dan hikmah daripada-Nya. Kita inginkan kesenangan, tetapi Allah anugerahkan kesabaran. Kita inginkan keindahan, tetapi Allah kurniakan kebenaran. Bukankah kesabaran dan kebenaran itu lebih berharga daripada keindahan dan kesenangan?

Pasrahlah dengan istikharah, rasakan bahawa perkara yang telah ditetapkan oleh Allah sejak azali pasti akan berlaku dan tidak dapat dielakkan lagi. Ya, ia ditetapkan berdasarkan pengetahuan Allah Yang Maha Hebat dan Bijaksana. Kuasa mutlak Allah dalam menentukan segala sesuatu tidak akan dapat dicabar. Sesungguhnya, istikharah itu tetap berada di bawah takluk aqidah dan takdir Allah. Sesuatu yang ditakdirkan berlaku, pasti berlaku. Tutuplah pintu tipuan syaitan yang sering membisikkan kata-kata “seandainya” atau “kalau”.

Peganglah erat-erat bahawa tidak akan rugi orang yang beristikharah dan tidak akan menyesal orang yang bermesyuarat. Mustahil bagi Allah untuk mengecewakan hamba-Nya yang menyerahkan segala urusan hidup kepada-Nya. Jangan ragui lagi kasih sayang Allah yang melimpah, pasrahlah dengan istikharah!


-Nukilan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi-

:: Solusi Isu 42 ::

There was an error in this gadget