assalamualaikum

sodiqi usrati...=)

Friday, December 28, 2012

aku nak tukar cita-cita!

Bismillah..

Sebenarnya, dah lama aku terfikir benda ni... dalam tahun lepas kot.. ataupun awal tahun aritu.. macam tu la lebih kurang.. (lama la tu.. aihh) Ok, kalau nak diikutkan secara logik dan secara mata kasarnya.. kalau orang tengok kos yang aku ambil sekarang ni dan apa yang aku buat sekarang ni, majoriti akan kata yang aku akan jadi cikgu ataupun 'up' lagi sebagai pensyarah. Baiklah.

Kalau nak diikutkan, memang pada asalnya aku nak jadi macam tu.. Tapi.............. huhu.. Makin lama aku hidup ni, makin aku dapat ilmu jugak.. Aku rasa, aku nak ubah cita-cita aku.. hua3.. Nak tau apa cita-cita baru aku?

Jeng..







Jeng..






Jeng!!!







Aku nak jadi SURIRUMAH sepenuh masa buleh?? hehe.. 


kot ya pun, toksah la dok buat muka tak pecaya lagu tu.. haihh..


Aku bukan apa, sejak dua menjak ni, aku dah brape kali dah dengar/baca pasal keutamaan dan kelebihan jadi surirumah sepenuh masa ni.. hua3.. (banyak terpengaruh aku ni..) Tadi pun baru je sorang ustaz/pensyarah ni dia sebut pasai ni.. huhu.. Tapi, seriuslah. Aku teringin sangat nak tukar cita-cita kalau boleh. Aku ulang, KALAU BOLEH.

Tapi.... hrmmm.. Banyak benda yang kena difikirkan sebenarnya.. (hang dok pikiaq pasai pa? ce biaq ja... kan senang).

Ok lah, itu je untuk entri kali ni. Ada lagi nak cakap (sila baca 'tulis') sebenarnya.. tapi, yang tu biar aku je la yang tau.. (sebenarnya nak kena lelap awai ni, esok ada gheja pagi-pagi buta. hehe)

Sekian, melaporkan.

*macam la ada orang nak jadikan hang suri dia pun Najihah.. (hello.. jadi suri kat umah mak ayah pun surirumah ape? )

Sunday, December 23, 2012

'dia' yang ku cinta.. ^_^

Bismillah..

baiklah, mula-mula kita tengok tajuk tu dulu. biar aku ulang lagi sekali. 'dia' yang ku cinta. haaa... agak-agak sape?



jeng







jeng








jeng!





Dialah..........







Wan Su Aida binti Wan Mohamad!



^_^


Saya sayang dia sangat-sangat.. (jangan risau, aku masih lagi normal sebagai wanita. haha) Sebenarnya dah lama nak tulis entri pasal ni. Tapi, asyik bertangguh je.. Tapi disebabkan kami tengah dapat keizinan untuk "membebaskan diri" seketika ni. Maka, aku putuskan untuk ambil peluang ni bagi melaksanakan apa yang tertangguh sekian lamanya. ^_^

Aku panggil dia su / aida / wan su / wan / awok dan juga cikgu aida. Haha.. banyak tak aku punya panggilan untuk dia sorang je? Yang terlintas sekarang ni itulah dia senarai nama panggilannya, yang tak terlintas tak tahulah. haha.. Aku bukan apa.. Aku ingat je nama penuh dia, no matrik dia (ada kaitan tak? haha).. cuma, dah tabiat aku.. bila dengan dia je, macam-macam nama yang keluar.. haha.. ikut suka mulut aku je nak panggil dia apa.. hehe.. maaflah su.. tapi biasanya aku panggil dia su lah..

Aku mula kenal su ni masa di KISAS dulu. Walaupun kami satu negeri, tapi KISASlah yang menjadi asbab pertemuan kami. Di sana, kami satu kelas. Sebenarnya, masa di KISAS dulu, kami takdelah serapat macam kami di sini sekarang ni kot. Bukanlah tak rapat langsung, cuma ada yang lebih rapat. Sebab kami dulu satu kelas semua ahlinya muslimat. Maka, memang macam satu keluargalah. Sangat indah untuk dikenangkan kenangan di sana. Tapi, entri ni bukan untuk kenangan di KISAS, tapi istimewa aku dedikasikan untuk su. Jadi, kita tutup kejap pasal KISAS. hehe..

Baiklah, aku sebenarnya sangat kagum dan hormat dengan su ni. Bagi aku, dia serba boleh. Serius, sape yang jadi suami dia memang bertuah. ^_^ Dia pandai memasak, menjahit, seorang yang cinta dan sayang akan kanak-kanak, peramah, periang, pandai membawa diri, mengutamakan keluarga, rapat dengan keluarga (tiap-tiap hari dia akan call keluarga dia), pandai dalam ilmu akademik, tak kedekut ilmu, ada agama yang baik, sejuk mata memandang, sopan, pandai dalam ilmu kepimpinan, dan banyak lagi la kalau aku nak senaraikan semua. hehe

Dia ni ambil kos yang sama dengan aku di UPSI ni, iaitu Bahasa Melayu. Aku sebenarnya sangat kagum dengan penguasaan ilmu dia. Dan perkara ni diakui sendiri oleh cikgu kami di KISAS dulu. Ok, aku bagi bukti sket.. Dulu masa di KISAS, kami ada buat karangan Pengajian Am (yang penuh dengan fakta tu) dan macam biasa cikgu akan tanda jawapan kami tu. Dan tahu tak sape yang dapat markah yang paling tinggi waktu tu? Su lah orangnya! Dan bukan tu sahaja sebenarnya, cikgu siap cakap lagi.. "Cikgu dah lama tak jumpa karangan yang sebagus ini, dan hari ni cikgu dah jumpa balik.." dan orangnya ialah Su. Allah.. Nampak tak? Aku punyalah kagum waktu tu.. Dan memang biasanya dalam kelas, kalau exam BM kertas 2 yang karangan tu, Su antara pelajar yang dapat markah tertinggilah.

Antara bukti lagi.. Pensyarah sintaksis kami sendiri pun turut memuji beliau (tudiaa.. dah tukaq beliau pulak.. hehe) masa kami bentang kat depan kelas hari tu. Katanya, bagus! (untuk pengetahuan, pensyarah tu bukanlah seorang yang senang-senang je nak puji kalau pelajar dia tak betul-betul bagus dan betul, beliau sangat mementingkan kualiti.. dan Su telah membuktikannya! ^_^) Sebabnya, bahagian yang dia bentangkan tu ada ayat yang tak semua orang boleh pasifkan ayat tu. Dan dia boleh pasifkan ayat tersebut. Sebab kalau tengok ayat tu, agak mengelirukan. Kalau aku sendiri pun tak tahulah dapat buat ke tak.

Antara kelebihan Su jugak ialah dia paling suka dan minat bahagian 'kata kerja', yang mana bahagian tersebut sebenarnya merupakan antara bahagian yang tersusah dalam tatabahasa ni. Jadi, bila dah dapat kuasai bahagian yang paling susah, yang lain? fikir-fikir sendirilah kan.. ^_^

Aku pernah cerita kat roomate aku bahawa aku sangat kagum dengan Su. Dan Su sebenarnya antara yang menjadi rujukan aku dalam ilmu Bahasa Melayu ni. Dia antara guru aku. Serius, aku bukanlah niat nak mengagung-agungkan dia, cumanya aku yakin dengan dia. Masa semester 1, kami memang macam belangkas. Pergi ke mana-mana, mesti berdua. Sampaikan kalau aku sorang2.. mesti ada yang tanya, Su mana? Nampak tak betapa 'belangkas'nya kami? haha (apa punya ayat daa..)

Cuma, bila naik semester 2 dan 3, kami dah makin kurang 'belangkas'nya.. =( Sebabnya, kelas kami dah banyak yang tak sama. (in sya Allah kalau dalam ilmu Allah, kita akan jadi belangkas lagi sem depan walaupun bukan di UPSI, siapa tahu.. kan? hehe ) Dan masing-masing ada komitmen sendiri yang perlu dilunaskan. Kebetulan pulak, bidang komitmen kami berlainan. Su lebih kepada kolej, manakala aku lebih kepada surau. Cuma ada satu atau dua sahaja bidang komitmen kami yang sama. Tapi, alhamdulillah.. kami ada penghubung hati. Maka, itu bukanlah penghalang untuk kami saling berukhuwah..  ^_^

Aku paling suka bila saat kami mengadakan sesi luahan hati. Dan biasanya benda tu berlaku secara tidak dirancang. Spontan. Sampaikan aku pernah menangis depan dia. Oh, sesungguhnya aku bukanlah seorang yang mudah-mudah je menangis depan orang. huhu.. Tapi, dah lama kita tak buat sesi tu kan Su? =)

Hrmm... sebenarnya, aku tak boleh tulis panjang-panjang entri ni.. (sebab rasa macam dah makin hangat je mata ni.. haha). Akhir kata, saya sayang awok sangat-sangat Su, kerana-Nya in sya Allah.. Awok, tegur dan tariklah saya seandainya dirasakan ada yang pincang di pihak saya. Dan maaf juga buat seinfinitinya andainya ada hak-hakmu yang belum dan tidak diri ini tunaikan. :')

"Ya Allah,
Engkau redhai dan berkatilah ukhuwah yang terbina ini,
Semoga dengan ukhuwah ini,
Dapat membantu kami untuk saling bergandingan tangan menuju ke Firdaus-Mu,
Semoga dengan ukhuwah ini juga akan menjadi salah satu asbab untuk kami beroleh syafaat-Mu kelak..
Aamiin ya Rabb..

p/s:
kami jadi VVVIP arini!  terima kasih kepada pengarah program.. rasa macam nak lantik dia lagi je jadi pengarah program lepas ni, kan Su? haha..  =P

Tuesday, December 18, 2012

Bagaimanakah aku kelak?

Bismillah..

"baru mendapat khabar berita.. sepanjang mengenali arwah, dia sangat baik, sopan santun, menjaga adab pergaulan dan memiliki ciri-ciri wanita solehah.. semoga Ummu Nusrah tenang dan damai di sana.. Allah lebih sayangkannya.. salam takziah kepada keluarga Ummu Nusrah.. Al-Fatihah..."

--------------

"aku cemburu kau diziarahi ramai soleh dan solehah..
aku cemburu ramai soleh dan solehah mendoakanmu..
aku cemburu tangisan doa kesejahteraan ke atasmu oleh mereka yang soleh dan solehah..
MALAH aku lebih cemburu kau dijemput oleh-Nya tatkala menginfaqkan diri di jalan-Nya..

sedangkan daku belum pasti akan pengakhiranku satu hari nanti..
mudah-mudahan aku usai melunaskan hakku kepadamu saudaraku.
perjalanan ke selatan tanah air banyak memberi iktibar.
dalam melunaskan hakku kepada saudaraku.
mudah-mudahan Allah menempatkan dikau dalam kalangan orang soleh dan solehah..
Ummu Nusrah @ Nur Nusrah bt Abd Aziz"

--------------

"Perginya "permata Islam" ini tiada penggantinya.
Allahyarhamah kak Ummu Nusrah.

Senyumannya menenangkan, tutur bicaranya menyejukkan hati, nasihatnya membina diri.

Mengimbas kembali kenangan bersam arwah,
terasa bagaikan bermimpi di siang hari.

Sahabat, aku redha dikau sebagai sahabat akhiratku.

Doaku, semoga kuburmu dijadikan taman syurga untukmu. berbahagialah dikau bertemu dengan Sang Pencipta.

Semoga dipertemukan di syurga sana. Allahummaameen.

Al-Fatihah."

--------------

"Sesungguhnya sahabat-sahabat yang mengenali al-marhumah menjadi saksi bahawa al-marhumah adalah mujahidah fi sabilillah... Semoga ruh al-marhumah disambut riang oleh penghuni langit... Aamiin..

--------------

Allah! saat mata berjalan-jalan di dinding muka buku, tiba-tiba tertancap pada satu post. dan hati ini tergerak untuk membuka profile arwah.. dan saya terjumpa post-post di atas.. ternyata, arwah memang seorang yg SANGAT mempunyai nilai yang baik di mata orang-orang di sekelilingnya.. in sya Allah, di mata-Nya jua.. (walaupun saya tidak pernah mengenailinya, tapi hati ini begitu tersentuh dgn post-post sahabat arwah untuknya)


di saat itu juga, hati ini tergerak untuk bertanya kepada diri sendiri. Andai nanti tiba saatku, agaknya bagaimanakah penilaian orang terhadapku? sememangnya kita tidak perlu mengendahkan pandangan makhluk melainkan pandangan dari-Nya. tapi, bukankah pandangan yang baik daripada orang di sekeliling itu salah satu petanda yang baik bagi seorang yang bergelar arwah?



tertanya aku,



adakah aku kelak akan dikenang sebagai seorang yang menjaga tutur kata?
adakah aku kelak akan dikenang sebagai seorang yang menjaga pergaulan?
adakah aku kelak akan dikenang sebagai seorang yang pandai membawa diri?
adakah aku kelak akan dikenang sebagai seorang yang menjaga auratnya?
adakah aku kelak akan dikenang sebagai seorang yang berjuang di jalan-Nya?
adakah aku kelak akan dikenang sebagai seoang yang sejuk mata memandang?



ataukah kelak aku akan dikenang sebagai seorang yang...



kasar tutur katanya,
bebas pergaulan antara lelaki dan perempuan,
cepat terpengaruh dengan perkara-perkara yang lagha/lalai,
penutupan auratnya yang tidak sempurna,
membawa fitnah kepada agama,
menyakitkan mata memandang?



Allah... na'uzubillah ya Allah.. jauhkanlah aku daripada sifat-sifat mazmumah tersebut ya Allah..



*Ayuh sahabat2, sebelum terlambat, sebelum nafas masih di sisi.. ingatlah kita masih lagi sempat untuk berubah.


 AYUH GAPAI REDHA ALLAH!

---------------

kalau yang berkawan dengan aku di muka buku, itulah antara status terbaru aku di dinding muka buku aku yang dapat dilihat dan dibaca. (semoga bermanfaat) Panjang? Ya. Tapi biarlah.. selagi aku rasa benda tu boleh bagi aku sedar saat aku leka. Selagi bermanfaat untuk diri aku dan semua.. Aku kongsi. Aku sebarkan. Moga dapat tarik balik hati-hati yang lalai, termasuk aku.

Tapi, serius. Saat aku usha-usha muka buku allahyarhamah.. Serius hati aku terketuk. Terasa sangat. Agaknya nanti, aku bagaimanalah.. adakah bakal diingati kebaikannya? Atau terus dilupai sebaik sahaja jasad masuk ke dalam liang lahad? Atau lebih teruk lagi, aku diingati kerana keburukan akhlakku? Allah.. sungguh menggerunkan untuk difikirkan. 

Bukanlah maksudku untuk mengajak semua beramal kerana mengharapkan pujian makhluk. Tidak. Tidak sama sekali. Bukan itu yang ingin aku sampai dan katakan. Sebaliknya, ingin aku tekankan sekali lagi, bukankah penilaian-penilaian yang baik yang diingati orang sekeliling itu satu petanda yang baik bagi seseorang yang bergelar arwah?

Allah.. tapi, bila diaudit ke dalam diri sendiri. Terasa seakan diri tidak mampu.. Terasa banyak sangat dosa.. Tapi, aku yakin Allah itu Maha Pengampun dan Maha Pengasih serta Penyayang. Tinggal lagi aku je yang nak ambil langkah seterusnya, iaitu berubah dan terus berubah ke arah yang lebih baik dan baik.

Di ruangan ini, ingin aku memohon seinfiniti kemaafan kepada mereka yang mengenali diri ini sekiranya pernah aku menyakiti hatimu.. (siapa tahu ini mungkin entri terakhir daripada aku) dan aku yakin, mesti pernah walaupun sedikit. Kerana aku bukanlah maksum sebagaimana Nabi kita, Nabi Muhammad S.A.W. Maaf sekali lagi. (walaupun aku sedar dan tahu mungkin maaf sahaja tidak mencukupi)

Akhir sekali, suka aku akhiri entri ini dengan kata-kata yang dah berapa kali aku kongsikan di laman muka buku :

"Don't praise me because i'm on deen, but pray for me because i have faults that you haven't seen."

Wednesday, December 12, 2012

Mencari...

Bismillah..

Assalamualaikum... Alhamdulillah.. Jari aku ni digerakkan lagi oleh Allah saat ini untuk menaip lagi di sini setelah sekian lama. Aku sebenarnya bukanlah tak pernah bukak blog ni. . Hampir setiap hari jugak aku rasa aku bukak benda alah ni. Cuma, bila aku nak kongsi sesuatu.. ada perkara yang menghalang. Macam dah taip, padam balik ke.. ataupun setakat tersimpan dalam ruangan draft je ke.. (aku rasa dah banyak sangat dah yang masuk dalam draft. takpelah, yang dalam draft tu biar aku sorang je lah yang baca, kalau dah bersuami nanti.. dia pun boleh la kot baca skali. eh? haha)

Baiklah, kali ni aku sebenarnya bukanlah ada benda yang besar sangat nak dikongsi (walaupun aku rasa benda ni penting bagi aku). Cuma, aku rasa.. aku sedang mencari 'hati' aku sekarang ni. Alhamdulillah.. semalam aku ada bulatan gembira dengan sorang akak ni. Dua orang je. Hanya aku dan dia. Orang Ganu cakap, "just between two of us".

Komen aku hanyalah satu. Best! Macam-macam benda kami bincang dan kongsi. Di akhir perjumpaan kami, kami ada tengok satu video tazkirah yang Ustaz Muhammad (yang dalam rancangan Tanyalah Ustaz ke rancangan apa dah, aku lupa) sampaikan masa yang Syech Seggaf datang ke UPSI hari tu. Kami tengok balik. Allah! perasaannya tetap sama macam kali pertama dengar dulu. Tetap sebak.

Jadi, bukanlah niat aku nak cakap pasal video tu kat sini kali ni. hehe.. Baiklah, bila dah habis kongsi-kongsi cerita dan ilmu (yang terlintas waktu tu la) semua tu. Akak tu tanya aku.

--------------

Kak M : Apa yang Jiha rasa?

Aku : Apa yang saya rasa? Sekarang ke? (dan-dan aku buat blur.. hehe)

Kak M : A'ah.

Aku : Ermm.. Saya rasa.. Ermm.. Cane eh nak cakap.. Ermm...

Kak M : Perasaan... (sambil tersenyum)

Aku : Haa! Perasaan.. Saya nak sangat rasa perasaan tu. Dah lama saya nak rasa perasaan tu. Saya nak sangat rasa.. (tetibe rasa sebak.. serius! sebak tu bukan dibuat-buat. jarang aku nak rasa sebak dan 'menitis' depan-depan orang. huhu). Perasaan yang macam Kak M rasa tu.. yang Kak M citer tadi tu.. sampai sekarang saya tak dapat rasa lagi perasaan tu.

Kak M : Takpe, in sya Allah.. nanti Jiha dapatlah rasa. (senyum lagi.. sebenarnya aku perasan je yang mata Kak M pun menakung air. hehe)

Aku : (Hanya mampu tersenyum.. sebab kalau aku bersuara lagi. sah-sah air mata aku menitis.. sebab aku tak cakap tu pun dah menitis setitis. huhu)

--------------

Seterusnya, Kak M pun tutup bulatan gembira kami dengan tasbih kaffarah dan surah Al-Asr. Lepas tu dia baca doa sket (panjang sebenarnya). Dan sepanjang-panjang Kak M baca doa tu, air mata aku tak berhenti-henti menitis. Aku tahan pun, dia menitis lagi. Sabo je la aku dengan karenah air mata aku semalam. haha.. Aku dah segan dah. Dahlah berdekatan ruang kami jumpa tu ada orang. Muslimat. Ok lagi.. Jenguk kat luar, ada muslimin. huhu..Aku pun apa lagi. Cepat-cepat kaver. haha

Alhamdulillah.. banyak benda yang aku belajar semalam. Dan ada benda jugak yang Allah tegur aku dalam perkongsian kami tu secara tidak langsung semalam. Alhamdulillah. Teguran itulah yang aku tunggu-tunggu untuk aku baiki mana-mana yang kurang. Walaupun mungkin Kak M tak sedar yang dia sedang menegur aku, tapi nampak tak cara Allah menegur itu sangat halus dan berhikmah? Allah.. terima kasih ya Allah..

Secara peribadinya dan sejujurnya, aku rasa hati aku lebih terbukak untuk terus jumpa lagi lepas ni dengan Kak M. Aku harap perjumpaan demi perjumpaan ni akan buat aku sampai kepada perasaan 'itu'. Sebenarnya, aku sendiri pun tak tahu macamana nak describe perasaan 'tu'. Sebab tu aku tak taip perasaan yang aku sedang cari ni secara khusus. Hanya Allah yang faham perasaan apa yang aku sedang cari ni.

In sya Allah.. aku akan usahakan untuk perjumpaan yang seterusnya. Kalau ikutkan malam ni pun Kak M ajak aku jumpa lagi.. tapi sayangnya malam ni aku ada kelas silat. Aku tak boleh tinggal kelas tu sebab tengah buat persediaan dan kena mantapkan skill untuk masuk ke peringkat seterusnya ni. Aku tak boleh tak pergi. Satu, sebab tanggungjawab. Dua, sebab aku tak nak menyusahkan orang. aku tahu depa (tenaga pengajar) bimbang dengan aku dan sorang lagi kawan aku ni (sebab kiteorang spesel kes skit. dapat buah laju yang amat. haha) Jadi, nak tak nak memang kena pergi jugak kelas tu. Lagipun, yang paling penting, aku minat. ^_^

Antara perkara yang penting jugak yang aku dapat daripada perjumpaan semalam tu.. Aku rasa hati aku dah mula redha dan lebih redha untuk mengikuti satu program ni.. yang mana dulu hati aku agak berat untuk mengikutinya. Alhamdulillah.. Semoga aku dapat buat yang terbaik nanti.


* Sebenarnya Kak M ni, pengganti @ penerus naqibat aku dulu tu. Akak tu kirimkan Kak M ni (hakikatnya Allah yang kirim) sebab akak tu sekarang ni sem 7. Maknanya dia takde kat UPSI la sekarang ni. Sekali lagi aku terharu. Allah tak pernah tinggal aku sorang-sorang. Mesti ada yang menemani. Allah.. T_T

Saturday, November 10, 2012

yakinlah dengan-Nya, in sya Allah kerjamu dipermudahkan-Nya

bismillah...

lama bebeno tak kemas kini blog. sawang tak payah cakap la... yang terakhir aku post, 19 September 2012 (baru cek tadi). hoho.. maaflah bagi yang menunggu. bagi yang asyik dok bukak tutup, bukak tutup blog aku dengan harapan ada entri baru tapi hampeh. haha... maaflah, terprasan kejap pagi-pagi ni. ok, sudah Dr. Najihah! eh, silap silap.. Najihah je.. takde Dr. tu lagi.. yang tu akan datang.. in sya Allah.. hehe.. bukan apa, terpengaruh bila asyik dok baca nama Dr. Najihatussalehah dalam perjalanan nak gi kampus tiap-tiap hari. haha (eksaited betol aku masa mula-mula baca nama tu, dah la Najihah, lepas tu ada solehah pulak belakangnya.. aishh.. memang impian aku tu.. :P )

baiklah, kali ni aku takdelah nak share benda-benda yang berat.. sebab otak aku ni pun baru je lagi selesai diperah untuk bersastera. lama kot aku amek masa untuk siapkan esaimen yang hanya 10 muka surat tu. haihh.. sastera punya pasal. tapi, alhamdulillah la.. pagi-pagi buta ni, selamat jugak aku siapkan. dengan tugasan aplikasi komputer pun malam ni jugak baru aku siapkan. alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah!!

ok, kembali kepada niat asal. baiklah, sebenarnya aku takdelah nak cakap panjang lebor, cuma aku nak cakap pasal iktikad. perghh! tudiaaa... iktikad.. tak boleh, tak boleh guna perkataan tu untuk entri ni Najihah, sebab tadi dah cakap yang tak nak cakap pasal benda berat-berat sangat. kalau guna perkataan iktikad tu, rasa macam berat la pulok. ok ok, kita guna frasa "pegangan @ keyakinan hati".

bagi aku, segala sesuatu yang kita nak buat mesti kena ada keyakinan, barulah keje tu boleh jalan, maksudnya barulah keje tu boleh dibuat atau dijalankan. tapi, boleh jugak sebenarnya kalau kurang keyakinan pun, cumanya itulah... keje tu kita akan buat dalam keadaan yang serba salah dan hati pun jadi tak tenanglah. dok gitu?

maka, samalah halnya bila kita buat sesuatu dalam kehidupan harian kita. mesti kena ada rasa yakin tu. terutamanya yakin yang Allah akan selalu bantu kita bila kita pun bantu Dia. contoh yang aku boleh bagi yang baru je lagi berlaku semalam. begini ceritanya.........

semalam ada program pengajian muslimat di kolej aku, tapi dalam masa yang sama... esaimen aku belum siap lagi.. dan esaimen tu aku kena bentang esoknya, iaitu siang tadi la maknanya. tapi, aku tekad jugak. aku nak jugak pergi program tu.. sebab aku yakin, bila kita tolong agama Allah, Allah akan tolong kita balik. (jangan ingat yang dengan kita pergi program keagamaan sebegitu, kita takde sumbang apa-apa untuk Islam. sebaliknya, itulah merupakan sebahagian cara kita nak naikkan Islam, iaitu dengan cara meramaikan orang ke majlis-majlis agama, majlis-majlis ilmu. mudah bukan Islam itu?)

selain tu, tajuk pengajian muslimat tu pun sangat menarik hati aku untuk pergi. nak tau tajuknya apa? tajuknya: "What Women Should Know About Men?" haaa.. haha.. ok ok, itu bonus la kan? lagipun, selain tajuk tu.. kami juga ada bincangkan mengenai permasalahan aurat. dan yang paling aku bersyukur bila ak g program tu, aku dapat satu kisah yang sangat best daripada moderator tu yang merupakan kisah benar beliau mengenai penghijrahan beliau daripada seorang yang biasa-biasa sehinggalah kini beliau berniqob. Allah.. melihat kepada slide kisah hidupnya sahaja sebelum diceritakan kisahnya pun sudah cukup untuk menginsafkan dan membuatkan air mata ni mengalir.

dan aku rasa, akulah orang yang sangat rugi kalau aku tak pergi program tu semalam. dan lagi manisnya, sebaik habis je program tu dan selesai bersalam-salaman dengan ahli panel dan moderator, tiba-tiba ada seorang sahabat aku menerpa ke arah aku, dia menangis! dan katanya.. DIA JUGA INGIN BERUBAH! Allahuakbar! hanya Allah yang tahu betapa gembiranya aku mendengar dan melihat tangisan keinsafannya. biarlah orang nak kata yang aku tak berhati perut sebab aku kata aku suka tengok dia menangis, sebab bagi aku.. tangisan itu sangat-sangat berharga. sangat-sangat! sungguh! percayalah sahabatku, tidak mustahil dengan air mata keinsafanmu itu, syurga ganjarannya kelak! Allah... takpe, ayuh kita usaha sama-sama lepas ni.. in sya Allah.. ^_^

ok, panjang pulok aku citer pasal tu. haha.. baiklah, sebenarnya aku nak cakap yang bila aku sampai je kat bilik, aku terus rasa nak on facebook. dan setelah itu, perkara pertama yang aku nampak ialah pemberitahuan bahawa kelas esoknya tu, iaitu kelas yang sepatutnya aku buat pembentangan dibatalkan! Allah.. aku percaya, itulah pertolongan Allah yang telah sampai kepada aku. terima kasih ya Allah.. kalau nak diikutkan, memang silap aku sebab lambat buat tugasan tu.. tapi, dalam masa yang sama.. Allah telah membuktikan janji-Nya. Allah.. Allah.. dan alhamdulillah, tadi sebelum zohor, tugasan tu dah aku siapkan. tunggu masa nak bentangkan je lagi.. (eh, baru aku prasan yang hari ini sahaja.. 3 esaimen aku dah siapkan.. wah, satu prestasi yang memberangsangkan Najihah!)

Dalam masa yang sama, semester ni bagi aku sangat mencabar. serius! banyak amanah yang perlu dipikul, tugasan pun makin mencabar. sebab tu lah blog aku ni pun makin terabai. hehe.. (alasan nak cover) tapi walaubagaimanapun, alhamdulillah tugasan aku untuk semester ini daripada 8 ke 9 ntah.. majoriti dah siap dan hantar. tinggal lagi 2 tugasan yang masih belum disentuh hatta sedikit pun. huhu.. maafkan daku wahai esaimen. takpe, lepas ni saya dah boleh fokus untuk awak dan awak pulak. ^_^

namun begitu, aku prasan yang semester ini, walaupun sibuk mengalahkan dua semester lepas. tapi aku prasan yang Allah tolong aku dalam pelajaran. macamana? caranya, Allah tumbuhkan rasa minat aku dalam setiap subjek yang aku amek untuk semester ini. alhamdulillah, setiap kelas, aku rasa tak sabar nak masuk. hatta, ada sekali sekala aku cakap kat kawan-kawan bila kelas batal atau tunda "yes! (dengan riak muka yang konon bahagia)", hakikatnya dalam hati aku ada terselit rasa kecewa, terutamanya untuk subjek major. serius aku kecewa kalau kelas batal.. nak-nak lagi kalau kelas fonologi dan sintaksis.

ok, aku rasa macam dah karangan masa zaman STPM dulu pulak entri aku ni. haha.. maaflah, tadi cakap tak nak cakap panjang lebor. tapi lain pulak jadinya sekarang. maklumlah lama tak kemas kini blog. :p aku tau sebagai seorang blogger yang baik, salah satu cirinya adalah selalu kemas kini blog. cumanya aku ni... itulah.. tak menang tangan.. huhu.. pastu, bila dah macam lapang sikit, idea pulak kureng, tengah idea melambak, masa pulak masalah.. haihh.. Najihah, Najihah.. hang kena pandai urus waktu la.. huhu.. maaf, maaf.. salah aku.

eh, alang-alang nak letak skali la jadual peperiksaan akhir aku. kot la ada yang nak doakan. kita kena bersangka baik dengan orang kan? ^_^

                                   3 Januari 2013 : Sintaksis Bahasa Melayu
                                   4 Januari 2013 : Fonetik dan Fonologi Bahasa Melayu
                                   8 Januari 2013 : Pembelajaran dan Perkembangan Pelajar
                                   9 Januari 2013 : Sejarah Kesusasteraan Melayu
                                  10 Januari 2013 : Aplikasi Komputer dalam Bahasa Melayu
                                  12 Januari 2013 : English Language 3


Wednesday, September 19, 2012

wordless wednesday

ehem, kali ni nak bagitahu satu rahsia skit la..



jeng











jeng












jeng!!



: P




--------------


even nampak pasif, tapi hakikatnya mungkinkah tidak sepasif itu?
mungkin ada benda yang dibuat di sebalik ke'pasif'annya itu?
mungkin ada benda yang di'eksperimen'kan?
mungkin ada benda yang dicari gali?
mungkin ada benda yang disiasat?


haaaa... apa benda tu??



------------

tak paham ye?? keh3.. memang saja je buat tak bagi paham.. : P

Saturday, September 8, 2012

air tangan mak memang tak pernah mengecewakan

bismillah..



haaa... ce teka mende tu? hehe.. tu la mee kari namanya. Alhamdulillah, hari ni mak buat tu.. untuk yang terakhir kalinya sebelum menjejakkan kaki ke Tanjung Malim lagi. huhu.. Agaknya ni la untungnya bila belajar jauh-jauh dan balik skali skale kan? :p cakap je nak apa, in sya Allah mak buat. heaven sungguh! semalam adik yang kat matrik Gopeng tu telefon, then mak bagitahu yang arini nak buat mee kari. memang dia jeleslah kan.. haha.. so sori dear.. takpe, nanti kan hang cuti 4 bulan, so buat la apa-apa yang belum terlaksana tu.. hehe.. almaklumla, dia balik aritu masa orang tengoh dalam mood raya lagi, belum mood tu kendur, dia dah balik matrik semula.. memang tak sempat la nak makan ni.. keh3

Aku bukan apa, hari tu mak dah buat dah masa bulan puasa tu.. tapi, almaklumlah.. nama pun puasa.. jadi, tak puas sangat makan.. bukan kes tak cukup ke apa.. tapi, makan sikit dah kenyang.. maka, hari ni la hari yang baik untuk dibuat lagi sekali. hehe.. siap je masak, terus makan.. kang nanti petang boleh makan lagi.. haha.. banyak betul aku makan.

Masa buat bulan puasa dulu tu, adik aku yang lelaki tu terkejut sikit.. sebab, katanya "dulu mak kata x pandai buat mee kari masa mat Hanis (ni nama panggilan dia) mintak". Memang kalau ikutkan, mak aku tak pernah buat mee kari ni sebelum tu, dan masa bulan puasa tu la first time mak aku buat. Alih-alih bila sekali buat, terus licin mee kari mak aku. Siap ketagih lagi mintak buatkan lagi skali arini. haha..

Terima kasih mak.. Semalam pulak, mak aku belikan kek yang aku suka tu.. sebab aritu mak aku ada beli kek coklat dan apa ntah nama kek yang lagi satu tu. Aku ingatkan mak beli kek yang aku suka tu.. Bila aku tengok kek lain, tetibe mata aku berkaca..serius aku tak sengaja.. dan aku rasa mak aku prasan kot. huhu.. ngade-ngade btol mata masa tu.. Sensitif betol jiwa. haha.. Alih-alih tengok semalam dah terpacak kek tu atas meja. Terharu den.. hehe

Semalam jugak masa tengah tolong-tolong mak masak.. mak cakap, "malam ni ayah ajak pergi rumah nenek" aku tanya balik, "buat apa?" mak aku balas, "hang kan dah nak balik besok..ayah nak la bawak jumpa nenek" "owh.. ingatkan ada pape" tu yang aku balas balik. Tengok, nampak tak betapa istimewanya orang yang duk jauh ni. Tapi, dalam masa yang sama, aku sedih campur terharu sebenarnya.. yela.. Dah dekat sangat dah aku nak ke sana balik.. pastu, mak ayah aku buat macam-macam untuk aku. huhu.. Terima kasih sangat ya Allah sebab kurniakan aku mak ayah yang sangat penyayang. (tetibe plak ada air suci terjatuh dari mata. haha)

Aritu pulak, lebih kurang hari raya ketujuh atau kelapan macam tu lah.. adik-beradik aku semua demam weh, berjemaah kot.. huhu.. Tinggal mak ngan ayah aku je yang antibodinya kuat sikit.. Dah lama aku tak demam, form six aritu last demam tak silap aku.. dan biasanya, aku demam sehari je. Tapi, kali ni dalam dua hari lebih jugak baru baik betol. huhu.. Memang meringkuk dalam bilik je la kerja aku masa tu. Tak boleh nak bangun, asal bangun je kepala berputar macam roller coaster + loya.. tunduk sikit, rasa berat sangat kepala. Masa solat tak payah cakap la, memang tahan je la yang mampu dibuat.

Yang terharunya.. Mak aku sampai masakkan tomyam untuk aku sebab beliau tahu, aku kalau tomyam memang tak tolak la.. haha.. Tapi, nak dijadikan cerita, aritu nafsu makan tomyam aku pun lari jugak.. huhu.. tapi, demi mak aku yang dah susah-susah masakkan.. Aku telan la jugak sikit. Tapi, memang sikit la aku makan.. huhu

Disebabkan kami adik-beradik macam tak berapa nak elok lagi, petang tu mak ayah aku pegi belikan ubat untuk kami.. untuk adik aku, ayah aku belikan air penyejuk badak tu sebab dia kalau bab makan ubat memang payah la.. untuk aku, ayah aku belikan pil. Jadi, kami pun makan la..

Malamnya pulak, ayah aku ikhtiarkan lagi bawak kami pegi makan kat restoran. Kata ayah, "malam ni, kita g restoran makan masakan panas-panas". Huhu.. serius aku terharu yang amat. Alhamdulillah, berkat kesungguhan mak ayah aku, kami pun beransur pulih. Memang aku bersyukur sangat dapat mak ayah macam mereka. Terima kasih skali lagi ya Allah.. (oh, air suci itu menitis lagi)

Baiklah, aku rasa itu la saja yang mampu aku coretkan buat kali yang terakhir sebelum naik bas malam ni. Semoga perjalanan aku dan sahabat-sahabat selamat semuanya.. Bumi Tanjung Malim, nantikan kedatanganku! (nak kena siapkan mental jugak ni naik sem baru)

p/s: macam lari tajuk pun ada jugak dah aku rasa isi aku yang last-last tu. haha

Thursday, September 6, 2012

monolog sekeping hati


bismillah..

Ya Allah,

Ampunilah aku
Terlalu banyak dosa yang aku lakukan dalam keadaan sedar
Aku tidak kuat untuk melawan desakan nafsu dan syaitan yang direjam
Engkau mengurniakan aku akal untuk berfikir dan menimbang keputusan sebelum membuat pilihan

Tapi, aku tumpas ya Allah.. 
Aku tumpas, jatuh tersungkur
Sering kali aku berhujah melawan debat si nafsu
Sesekali aku menang, namun banyak kali juga aku gagal untuk mempertahankan apa yang akal dan imanku nyatakan

Akal kata jangan, tapi tangan degil.. tangan terus-terusan melakukan ya Allah
Iman kata jangan, tapi hati terus-terusan memikirkan ya Allah
Aku hamba-Mu yang hina dan penuh debu dosa ya Allah.
Hati ini terlalu cepat terpaut pada tipu daya dunia ya Allah
Lantas ibadah kepada-Mu terganggu

Maafkan aku ya Allah

Meskipun, hati ini sudah menggunung perasaan malu kepada-Mu,
Tapi, aku akan tetap melawan rasa itu kerana aku perlukan bimbingan dan pelukan kasih sayang-Mu

Izinkan aku untuk merasa lazatnya bersama-Mu ya Allah
Izinkan aku untuk merasa ketenangan itu kembali ya Allah
Izinkan aku untuk merasa indahnya bercinta dengan-Mu ya Allah
Izinkan aku untuk merasa memiliki-Mu sudah mencukupi daripada memiliki seisi dunia
Izinkan aku untuk merasa tulus dalam merindui-Mu, bukan sekadar madah indah di bibir

Izinkan aku untuk menjadi aku yang dahulu ya Allah!
Aku yang suci dari noda-noda dosa
Aku yang kental melawan asakan nafsu dan syaitan

Izinkan aku ya Allah..

Friday, August 31, 2012

berjaya jugak akhirnya~

bismillah..

ce teka aku berjaya buat apa? ok2, aku terus terang je..

macam ni, aritu aku ada share satu resepi kat FB. nama resepi tu puding roti karamel. mula-mula aku tertengok post tu, terus aku terpikat nak cuba buat jugak. jadi, aku share je la dulu supaya melekat kat wall aku, jadi takdelah susah sangat nak cari nanti bila nak buat, sebab masa tu nak terus buat bahan pulak tak cukup. jadi, simpan je la buat harta karun buat beberapa ketika, sampai la 28/08 baru tergerak hati ni haa nak buat. sebenarnya, aku nak buat 27/08 tu sebab masa tu adik aku Nadiah tu ada lagi. jadi, boleh la dia rasa sikit kan air tangan aku.. hua hua.. prasan sedap la tu.. haha. tapi, apa nak buat.. disebabkan kuantiti telur tak mencukupi kat rumah masa tu, maka tertunda la lagi jawabnya.. sampai la tarikh 28/08 tu baru terbuat. dah rezeki kakak aku balik pagi 28/08 tu, jadi dapat la dia merasa.. tak gitu? :P

mak aihh.. panjang bebeno intro. haha.. kembali ke tajuk asal. baiklah, jadi aku nak kongsi la serba sedikit resepinya kat sini pulak.

bahan-bahan: 

4 keping roti gardenia (roti lain pun takpe)
3 biji telur
1 cawan susu pekat
2 cawan air suam
3 sudu gula (untuk buat gula hangus)
1 sudu esen vanilla

cara-caranya:

1) carik-carikkan roti dan rendam dalam air suam tadi
2) hanguskan gula dalam loyang atas api sederhana dan sejukkan
3) kisar roti bersama susu pekat
4) telur dipukul sebentar kemudian tapiskan
5) masukkan telur dalam kisaran roti tadi berserta esen vanilla dan kisarkan lagi sebentar
6) panaskan kukusan (nak panaskan dari awal lagi baik supaya lebih cepat mendidih)
7) masukkan bahan tadi ke dalam loyang yang berisi gula hangus tadi
8) kukus hingga masak selama lebih kurang 40 minit

ok, itulah antara bahan dan cara-cara untuk membuatnya. takdelah susah sangat kan? sebab tu aku berani buat. haha.. eh, lupa nak bagitahu.. kalau nak tahu puding ni dah masak ke belum.. cucuk sikit pakai garfu atau lidi tengok die melekat ke tak lagi kat benda yang hampa cucuk tu. kalau tak, tu maknanya puding hampa tu dah masak.

baiklah, sekarang jom kita jamu mata jap tengok puding aku yang tak berapa nak puding sangat rupanya ni. haha..

haha.. ok, silalah gelak kalau nak gelak tengok rupa die. dah macam dorayaki aku tengok. maklomlah, tak sempat nak sejuk betul-betul, aku dah keluarkan daripada loyang tu. dah tak sabo nak merasa. haha

potong pun dah macam ape je.. hehe

yang ni jarak dekat sket

ok, cukuplah dulu setakat tu. Alhamdulillah, Dia izin jugak buat sebelum masuk bertempur balik di Tanjung Malim nanti. tapi, kesianlah adik aku tak sempat nak merasa. takpelah, kang nanti aku buat balik bila-bila. kalau rajinlah kan.. haha.

mula-mula akak aku makan, yang dia tegur adalah mengenai rasa gula yang perang tu. katanya tak pahit. maksudnya menjadi lah kan? haha.. sebab katanya (aku dengar pun macam tu jugak), kalau orang tak biasa dan tak pandai buat, gula tu akan rasa pahit.

lepas tu aku tanya mak aku, macamana? manis sangat ke? mak aku cakap manis jugak la sikit, tapi ok dah .. mak cakap, beliau suka. Lagipun, kuih ni memang manis sikit biasanya. Lagipun, aku tau mak aku memang suka kuih yang jenis-jenis macam ni, terutamanya kuih sekaya tu. (aku tak tau nama saintifik kuih tu apa, yang aku tau sejak kecik family aku panggil kuih tu, kuih sekaya) Sebenarnya, aku pun rasa manis jugak sket. haha.. aku tau.. jadi, lepas ni kena kurangkan sikit susu pekat tu. itulah fungsinya komen yang bernas bila kita buat sesuatu kan?


p/s: Nabilah Mohd Noh, aku dah berjaya buat gula hangus! :P

Thursday, August 23, 2012

agak-agak laku tak?

bismillah..

ermmmm...... sebenarnya aku ada hajat. dan dah lama sangat dah aku simpan niat ni. entah bila nak terkabul dan terlaksana pun aku tak tau. hehe.. hajat apa ye?

ermm.. macam ni..............

hehe.. alamak, segan la pulak! aigoo... ok2, aku serius.

sebenarnya, aku ada la sikit bakat TERENDAM jahit tudung. yang tudung labuh tu. alaa.. tudung bulat tu. yang tu tu.. tau? hrmmm... ok2, aku tunjuk la sikit mana satu tudung bulat ni. kang ada pulak yang kompius. (tak baik betol su'u dzon aku ni.. tapi, sebagai langkah berjaga-jaga.. dok gitu? hehe)

ini la rupanya tudung bulat tu.. kalau aku, aku panggil jilbab.

sehubungan dengan itu, sebenarnya aku berhajat nak cuba ambil tempahan untuk jahit tudung ni. huhu.. (segan mak aii..)

TAPI!

sebelum tu aku nak ingatkan la bahawasanya dan sesungguhnya tudung ni aku jahit guna cara manual je. maksud aku, aku jahit pakai tangan je.. ermm.. maksudnya, aku tak guna mesin jahit walaupun seinci sebab aku tak pandai guna mesin jahit tu.. haha..

selain tu, yang bahagian tepi tudung tu pun aku tak jahit pakai mesin jugak.. aku lebih suka layur pakai lilin je sebab aku tak suka tudung yang berjahit mesin kat bahagian tepi tudung macam yang kebanyakannya jual kat kedai-kedai tu. rasa kurang selesa. hehe.. aku pun tak tau kenapa aku rasa macam tu.. hua hua..

konklusinya, memang tudung ni dijahit secara manual semanual manualnya. sebab aku tak pandai dan x suka pakai yang berjahit mesin tu. (setiap orang punya citarasa kan.. hehe)

jadi, untuk entri ni.. aku akan letak sample tudung yang aku cakapkan ni.. jadi, awak-awak bolehlah tengok dan nilaikan sendiri. (malu menerjah lagi.. huhu)

yang ni sebelum dijahit, iaitu setelah diukur saiznya sesuai dengan si pemakai

yang ni dalam proses menjahit

yang ni hampir-hampir siap tak silap aku

yang ni dah siap, tapi bukan sehelai ni.. yang ni 3 helai sekaligus aku letak. saja nak bagi nampak kalerful sikit.. hehe

yang ni tak potong lagi ikut betul-betul saiznya, sebab tu ada lagi bulu-bulu kain tu

dari sisi atas

dari sisi tepi


ok, rasa-rasanya cukup la dulu setakat yang dipamerkan. itulah antara yang termampu. maaflah tak berapa nak cantik sebab nak cepat kan.. huhu.. 

walau bagaimanapun, aku rasa dan sangat yakin.. sebenarnya ramai je yang pandai jahit ni. malahan, terlebih baik lagi daripada ni. sebab aku pun belajar daripada nenek aku. jadi, sah-sah la nenek aku lagi pandai dan cantik daripada aku kan? =)

TAPI!

sebenarnya, aku bedebo jugak buat entri ni sebab takut tetibe dapat tempahan. hua hua.. kalau tak dapat aku tak pelik. =)

aku bukan apa, kalau nak ikutkan.. cuti aku ni tinggal berapa minggu je pun lagi. tambah-tambah lagi ni bulan Syawal. bukan tak boleh buat dekat U nanti, cuma aku takut tak sempat. maklum je la kat sana nanti macamana.. bizinya melampau. huhu.. tudung aku sendiri pun tak terjahit, apatah lagi kalau dapat tempahan. aku ulang, KALAU DAPAT. haha.. alih-alih, aku beli je tudung tiga segi yang bidang 60 tu kalau terdesak sangat nak guna. tapi, setakat ni tak pernah lagi aku rasa terdesak sampai macam tu. haha

konklusinya, aku ni nak ambil tempahan ke tak sebenarnya? haha.. hang ni pun Najihah.. cakap kemain lebat. aihh.. ok2, disebabkan aku ni lesen moto pun takde, apatah lagi kereta sebab aku tak pandai bawak dua-dua tu, aku rasa kalau jadi la benda ni, mungkin kena tunggu aku ada lesen dulu. baru senang aku nak uruskan segala mak nenek yang berkaitan, baik urusan jual beli tudung dan bayar-membayar. hehe.. tapi bila aku nak amek lesen ni? ermm.. kalau ikutkan perancangan, masa cuti sem 3 atau 4 nanti, aku amek la lesen tu.. bukak sem nanti, aku naik sem 3. haaa.. takde la lama sangat tempohnya kan? hehe..

sekian. eh, sebelum terlupa.. rasanya belum terlambat lagi untuk aku ucap Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin. Taqobbalallahu minna wa minkum. ^_^

Saturday, August 11, 2012

Ramadhan dua zaman

Ramadhan

Satu nasib tak serupa
Peluangnya sama natijah berbeza

Ramadhan mereka gemilang cemerlang
Mukmin berjasa di awal zaman
Ramadhan kami malam terbuang
Muslim berdosa di akhir zaman

Mereka gembira kerana kedatanganmu
Kami gembira dengan pemergianmu
Akhlak mereka meriah
Disimbah nur al-Qur'an

Tapi, 

Malam kami muram berkabung dengkur
Mereka berlumba mengejar makrifat
Tapi kami lesu diburu nafsu

Hati mereka bercahaya di gilap taqwa
Jiwa kami gelap didera dosa

Takbir mereka takbir kemenangan
Hadiah mujahadah sebulan Ramadhan
Takbir kami lesu tak bermaya

Tanda kalah lemah tak berdaya
Puasa sekadar lapar dan dahaga

Allah! kerdil dan hinanya diri.. Ampunilah kami ya Allah..



Thursday, August 2, 2012

Pasrah dengan Istikharah


Bagaimana seharusnya sikap kita apabila berdepan dengan dua perkara atau lebih yang hukumnya sama harus, sama-sama baik, dan sama-sama bermanfaat, tetapi kita hanya boleh memilih salah satu sahaja daripadanya?

Mungkin perkara itu melibatkan soal pekerjaan, pasangan hidup, pemimpin, rumah atau permusafiran. Kita berada dalam keadaan benar-benar buntu dan keliru. Apa yang terbaik untuk kita?

Apabila berdepan antara yang halal (wajib) dan haram, orang mukmin itu tidak akan berasa terbeban dengannya. Mengapa? Ini kerana mereka sudah mampu membuat keputusan berdasarkan nilai yang mereka pegang dalam hidup. Maksudnya, mereka tidak akan keliru lagi kerana sudah pasti yang halal menjadi pilihan.

Tetapi, bagaimana kalau sama-sama halal atau harus, mana satu yang patut dipilih? Orang beriman tidak akan selamanya buntu dan keliru. Mereka ada kekuatan semula jadi, iaitu melaksanakan solat istikharah. Daripada Jabir r.huma,. beliau berkata, Nabi S.A.W. bersabda, maksudnya: “Apabila ada daripada kalangan kamu diberatkan oleh sesuatu, hendaklah dia rukuk dengan dua rukuk (mengerjakan solat dua rakaat), selain solat yang fardhu (mengerjakan solat dua rakaat dengan niat istikharah).” (Riwayat al-Bukhari)

Daripada Jabir bin Abdullah r.a. berkata: “Rasulullah S.A.W. mengajar kami istikharah dalam melakukan sesuatu perkara sebagaimana Baginda mengajar kami satu surah daripada al-Qur’an. Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu merancang dalam sesuatu perkara, hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat.” (Riwayat al-Bukhari)

Keperluan Istikharah

Istikharah ialah memohon atau meminta yang terbaik. Ia dilakukan apabila seseorang itu tidak pasti dalam memutuskan sesuatu perkara sama ada ingin melakukannya atau meninggalkannya. Praktikalnya, istikharah bererti meminta pertolongan Allah untuk memilih beberapa kemungkinan dan kemungkinan itu berada pada tahap harus dalam syariat dan tidak diketahui mana yang terbaik; dilakukan atau ditinggalkan. Jelasnya, istikharah penting dalam kehidupan orang beriman.

Perlu diingat, perkara wajib, sunat, haram dan makruh terkecuali daripada perlaksanaan istikharah kerana telah jelas hukumnya. Misalnya, seseorang yang sudah cukup semua syarat mengerjakan haji, dia tidak perlu melaksanakan solat istikharah bagi membuat keputusan untuk pergi mengerjakan haji atau tidak. Dia wajib memilih untuk pergi. Begitu juga seorang kaki botol yang ingin bertaubat, dia tidak perlu melaksanakan solat istikharah untuk bertaubat atau tidak. Dia wajib berhenti serta-merta kerana arak itu jelas hukumnya haram.

Hakikat ini dijelaskan oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani: “Ibn Jamrah berkata: ‘Sesungguhnya, perkara wajib dan sunat tidak perlu dilakukan istikharah untuk mengerjakannya. Perkara haram dan makruh juga tidak perlu dilakukan istikharah untuk meninggalkannya. Solat istikharah hanya khusus kepada perkara yang harus sahaja.”

Orang yang beriman mempunyai pendirian yang kukuh dalam kehidupannya dan jarang dilanda was-was dan kekeliruan. Oleh sebab itu, jika tiada sebarang keraguan, dia mampu membuat keputusan berpandukan hukum syariat yang difahami dan diyakininya. Maka, dia tidak perlu beristikharah kerana baik buruk, manfaat mudarat, dan haram halal sesuatu perkara itu telah jelas. Jika dia membuat pilihan dan keputusan berdasarkan pertimbangan ini, sebenarnya dia telah merujuk kepada Allah. Ketahuilah, syariat itu hukum Allah, merujuk kepada syariat sama seperti merujuk kepada Allah.

Namun, apabila berdepan dengan dua atau lebih perkara harus yang sangat sukar dibezakan kebaikannya, barulah diperlukan istikharah. Sudah menjadi sunnatullah, musuh perkara terbaik ialah perkara baik. Lebih-lebih lagi dalam hal berbentuk peribadi, seseorang memerlukan istikharah kerana apa yang terbaik untuk orang lain, belum tentu baik buat dirinya. Istikharah selalunya dilaksanakan untuk menangani perkara-perkara yang sangat khusus dan personal sifatnya.

Sungguhpun begitu, ada juga ulama yang menggalakkan solat istikharah bukan sahaja apabila berhadapan dengan perkara besar dan sukar untuk diputuskan, tetapi setiap kali hati tergerak untuk melakukannya sebagai tanda kita mengharap kepada Allah.

Imam al-Shawkani menyebut: “Seseorang itu tidak harus memandang hina terhadap sesuatu perkara yang kecil, dan tidak mengambil berat tentangnya sehingga meninggalkan daripada melakukan istikharah kepada Allah. Boleh jadi tersembunyi dalam perkara tersebut sesuatu yang tidak diketahuinya dan menatijahkan kemudaratan yang besar akibat memandang remeh akan keperluan melakasanakan istikharah kepada Allah. Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya: “Wajib bagi seseorang untuk memohon kepada Tuhannya walaupun berkenaan tali seliparnya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Realiti Rendah Diri dalam Doa Istikharah

Melalui solat istikharah, sebenarnya seseorang telah memohon “kebersamaan” Allah ketika dia membuat pilihan. Allaj dicari sebagai rujukan utama untuk  diadukan tentang keresahan kegelisahan hati. Lalu, dengan penuh tawaduk dan rendah hati, doa istikharah yang diajarkan oleh Rasulullah ini dipanjatkan buat-Nya:

“Ya Allah, aku memohon petunjuk daripada-Mu dengan ilmu-Mu, dan aku memohon ketentuan daripada-Mu dengan kekuasaan-Mu, dan aku memohon daripada-Mu dengan limpah kurniaan-Mu yang besar. Sesungguhnya, Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui, dan Engkaulah Maha Mengetahui segala perkara yang ghaib.”

Sungguh, sifat kerendahan hati dan diri seorang hamba terpancar daripada doa ini. Hamba tersebut mengakui kelemahan, kejahilan dan pengharapannya hanya kepada Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Terserlah juga sifat redha dan pasrah seorang hamba kepada Tuhannya. Hakikatnya, manusia tidak tahu perkara yang baik dan mudarat untuk dirinya sendiri.

Mungkin sesuatu yang kelihatan baik pada pandangan akal dan perasaan kita sebenarnya itulah akan membawa keburukan. Dan mungkin juga sesuatu yang kita sangka buruk, sebaliknya itu baik untuk kita. Bukankah Allah telah menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu, padahal ia baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu, padahal ia buruk bagi  kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah 2: 216)

Pelaksanaan Istikharah yang Terbaik

Oleh sebab itu, solat istikharah perlu dilaksanakan dengan penuh adab dan tertib. Yang paling penting adalah dengan menjaga adab batin (hati) yakni dengan mengosongkan hati daripada sebarang kecenderungan diri sendiri (yang mungkin telah dikuasai oleh hawa nafsu), kerana dikhuatiri hati yang dikuasai hawa nafsu seolah-olah “memaksa” Allah untuk mengikut pilihan mereka.

Imam al-Nawawi menjelaskan syarat utama sebelum solat istikharah ialah pemikiran seseorang mestilah benar-benar bebas tanpa kecenderungan peribadi. Beliau menegaskan lagi, sekiranya telah ada keputusan dan kecenderungan yang kuat, lebih baik jangan dilaksanakan solat istikharah.

Justeru, sebaiknya kosongkan hati sebelum melaksanakan solat istikharah dan tunggu datangnya input ketenangan, kelapangan dan kecenderungan terhadap satu-satu keputusan setelah melaksanakan solat tersebut. Inilah yang ditegaskan lagi oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Azkar: “Hendaklah dia memilih perkara yang melapangkan dadanya.”

Sesetengah ulama berpendapat, istikharah perlu dilakukan apabila tidak dapat membuat keputusan dengan bermesyuarat. Maka, seseorang itu dituntut untuk melaksanakan solat istikharah. Maksudnya, bermesyuarat dahulu, pinta pandangan, hujah dan nasihat daripada orang yang soleh dan pakar dalam bidang atau perkara tersebut, maka setelah itu buatlah keputusan berdasarkan input mereka. Mereka berpendapat bahawa mesyuarat lebih utama (afdhal) daripada istikharah.

Bermesyuarat dalam perancangan atas perkara-perkara yang harus ialah perintah Allah. Firman Allah. Maksudnya: “Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu.” (Surah Ali ‘Imran 3: 159)

Oleh sebab itu, jangan dipisahkan istikharah dengan mesyuarat (istisyarah). Walaupun pada zahirnya, istikharah ialah urusan dengan Allah dan mesyuarat urusan dengan manusia, tetapi hakikatnya kedua-dua amalan ini adalah perintah Allah jua. Bukankah salah satu surah dalam al-Qur’an dikhususkan tentang mesyuarat? Bahkan, Rasulullah S.A.W. sendiri diperintahkan oleh Allah untuk bermesyuarat dengan para sahabat Baginda  walaupun wahyu masih belum terhenti.

Ada sebahagian ulama pula berpendapat agar dilakukan dahulu solat istikharah sebelum “jawapan” istikharah itu dibawa bermesyuarat dengan orang yang baik dan pakar dalam bidang yang berkaitan. Ya, mereka menegaskan bahawa tidak akan rugi orang yang beristikharah dan tidak akan menyesal orang yang bermesyuarat.

Walau apa pun pegangan kita sama ada istikharah dahulu kemudian mesyuarat atau sebaliknya, itu bukan perkara yang harus diperselisihkan. Yang penting, jangan dipisahkan antara istikharah dengan mesyuarat kerana kedua-duanya merupakan kaedah yang diperintahkan syarak buat mereka yang berada dalam kebuntuan atau kekeliruan. Berpeganglah pada mana-mana pandanga kerana kedua-duanya adalah baik belaka.

maaf kurang jelas tulisannya, sila klik pada gambar.. =)

Berilmu sebelum Istikharah

Namun begitu, setiap amalan memerlukan ilmu. Biarpun hanya solat sunat, solat istikharah yang merangkumi soal falsafah, hikmat dan pelaksanaan perlu difahami sebaiknya dan bukan hanya diamalkan secara ikut-ikutan. Jangan beribadah tanpa ilmu kerana itu mendedahkan kepada tipuan syaitan. Seharusnya, belajarlah daripada kitab-kitab muktabar yang disampaikan oleh alim ulama sebelum melaksanakan istikharah.

Jika tidak, pelbagai tipu daya syaitan dan helah hawa nafsu akan tambah mengelirukan kita. Boleh jadi kita akan bertambah buntu atau tertipu oleh satu kepalsuan yang dirasakan satu keyakinan dan kebenaran. Betapa tidak, kerana ada pihak yang berpendapat bahawa mereka pasti mendapat alamat atau isyarat tertentu (seperti mimpi) sebagai jawapan selepas solat istikharah.

Justeru, apabila mereka tidak “diberi” mimpi, mereka berasa kecewa dan berangggapan bahawa Allah tidak “menjawab” permohonan mereka lewat solat istikharah yang telah dilakukan. Ada juga yang mendakwa dikurniakan mimpi dan mempercayainya, tetapi mimpi itu menghala kepada perkara yang haram. Misalnya, ada yang beristikharah untuk memilih pasangan hidup lalu bermimpi berkahwin dengan isteri orang. Itu bukan petunjuk Allah, tetapi tipuan syaitan.

Relevannya, mimpi yang dialami tidak boleh seratus peratus dijadikan asas dalam tindakan. Hukum syariat mesti menjadi rujukan, bukannya mimpi. Oleh sebab itu, mimpi harus dirujuk dan kembali kepada syariat. Mana mungkin kita melakukan solat istikharah yakni meminta bantuan Allah untuk membuat keputusan, tiba-tiba keputusan itu bertentangan dengan hukum Allah?

Profesor Mutawalli al-Sha’rawi berpendapat, solat istikharah tiada kaitan dengan mimpi kerana ia adalah mainan tidur yang boleh dipengaruhi oleh banyak faktor. Oleh kerana itu, ada antara ulama yang secara rigid menolak mimpi yang dikaitkan dengan istikharah dan ada pula yang menerimanya.

Imam al-Nawawi pula menyebut bahawa petunjuk selepas istikharah itu mungkin datang dalam bentuk ketenangan, kecenderungan, ilham, mimpi dan sebagainya.

Manakala Ibn Qayyim pula berpendapat bahawa petunjuk disampaikan dalam bentuk kemantapan hati.

Namun, apa yang perlu dilakukan jika petunjuk belum kunjung tiba sekalipun telah mengerjakan solat istikharah? Jawapannya, lakukanlah lagi hingga tiga kali berturut-turut (ada ulama yang menyuruh hingga tujuh kali). Sekiranya belum juga datang petunjuk itu, maka bertawakallah dan pilihlah satu daripada kemungkinan yang harus itu. Bersangka baiklah setelah membuat pilihan dengan tidak melayan lagi sebarang keraguan, was-was dan rasa hati yang berbolak-balik.

agak-agak macam tak jelas, sila klik pada gambar.. =)

Pasrah selepas Berusaha

Ingat, solat istikharah juga ialah doa dan bukan pelaksanaan solat semata-mata. Seseorang yang berdoa mesti menghadirkan hati yang penuh yakin dan bersangka baik bahawa doanya akan dimakbulkan. Yakinlah, dengan mendirikan solat istikharah, Allah akan memakbulkan doa kita yakni dengan mendorong hati serta melapangkan dada kita untuk memilih yang terbaik.

Daripada Abdulllah bin Amru bin al-‘As, Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya pada hati manusia ada kesedaran, sesetengahnya merupakan kesedaran bagi sesetengah yang lain. Apabila kamu memohon sesuatu daripada Allah, pohonlah kepada-Nya dengan yakin bahawa Allah akan memakbulkannya. Sesungguhnya, Allah tidak akan memakbulkan doa seorang hamba yang hatinya dalam keadaan lalai (tidak sedar dan yakin dengan pemberian Allah).” (Riwayat Ahmad)

Sekiranya ternyata pilihan yang dibuat setelah solat istikharah itu baik, bersyukurlah kepada Allah kerana dengan bantuan-Nya, semua itu berlaku buat diri kita. Jangan merasakan semua itu hasil usaha istikharah kita, tetapi percayalah semuanya kehendak Allah jua. Namun, seandainya yang berlaku adalah sebaliknya, terimalah ia sebagai satu ujian daripada Allah yang pasti ada hikmahnya. Mungkin buat sementara  waktu ia dirasakan pahit, tetapi pada masa hadapan ternyata ia adalah ubat yang menyembukan.

Jangan ada penyesalan dan kekesalan setelah menerima impak daripada pilihan yang diperoleh setelah solat istikharah. Jika ada masalah atau cabaran yang menimpa, jangan berpatah balik kerana kita sudah berada di jalan yang benar. Apabila timbul masalah dalam urusan jodoh, kerja, jawatan atau apa-apa sahaja yang kita pilih setelah bermesyuarat dan beristikharah, jangan sekali-kali menyalahkan diri sendiri apatah lagi “menyalahkan” Tuhan.

Sebaliknya, terima ia sebagai suatu musibah yang penuh dengan didikan dan hikmah daripada-Nya. Kita inginkan kesenangan, tetapi Allah anugerahkan kesabaran. Kita inginkan keindahan, tetapi Allah kurniakan kebenaran. Bukankah kesabaran dan kebenaran itu lebih berharga daripada keindahan dan kesenangan?

Pasrahlah dengan istikharah, rasakan bahawa perkara yang telah ditetapkan oleh Allah sejak azali pasti akan berlaku dan tidak dapat dielakkan lagi. Ya, ia ditetapkan berdasarkan pengetahuan Allah Yang Maha Hebat dan Bijaksana. Kuasa mutlak Allah dalam menentukan segala sesuatu tidak akan dapat dicabar. Sesungguhnya, istikharah itu tetap berada di bawah takluk aqidah dan takdir Allah. Sesuatu yang ditakdirkan berlaku, pasti berlaku. Tutuplah pintu tipuan syaitan yang sering membisikkan kata-kata “seandainya” atau “kalau”.

Peganglah erat-erat bahawa tidak akan rugi orang yang beristikharah dan tidak akan menyesal orang yang bermesyuarat. Mustahil bagi Allah untuk mengecewakan hamba-Nya yang menyerahkan segala urusan hidup kepada-Nya. Jangan ragui lagi kasih sayang Allah yang melimpah, pasrahlah dengan istikharah!


-Nukilan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi-

:: Solusi Isu 42 ::

There was an error in this gadget