assalamualaikum

sodiqi usrati...=)

Monday, March 28, 2011

UMMU AIMAN (Wanita yang turut mengasuh Rasulullah SAW)

Tidak semua anak yang ditinggal mati oleh ibu bapanya beroleh tempat bermanja sebagai pengganti ibu kandungnya. Tetapi antara anak yatim piatu yang bernasib baik beroleh pengganti ibunya yang sudah pulang ke rahmatullah ialah Muhammad SAW - ditinjau daripada aspek kasih sayang dan cinta - kerana adanya Ummu Aiman di dalam keluarganya.

Ketika Muhammad SAW masih kecil, penduduk Makkah dikejutkan oleh serangan tentera bergajah. Penduduk Makkah saling membantu menentang tentera bergajah itu. Manakala, Aminah binti Wahab, ibu kandung Muhammad SAW, sedang pergi menyendiri (beruzlah) untuk mencari kedamaian jjiwa dan ketenangan batin daripada hiruk-pikuk kota Makkah.

Mengapa Aminah pergi menyendiri menjauhi kebisingan kota Makkah yang memang selalu dikunjungi orang itu? Sebenarnya, kepergian Aminah itu tidak lain kecuali untuk mencari kedamaian jiwa dan ketenangan batin; sedangkan faktor ini amat besar pengaruhnya terhadap janin yang ada di dalam kandungan seseorang ibu.

Betapa bahagianya sekiranya anak yang sedang dikandung Aminah itu lahir ke dunia. Tentu dia akan menjadi penawar jiwa bagi pasangan suami isteri Abdullah dan Aminah, istimewa pula anak pertama hasil perkongsian hidup mereka. Namun begitu, apa yang diharap berlainan dengan kenyataan, yakni sebelum Muhammad lahir, ayahnya telah terlebih dahulu pulang ke rahmatullah. Kegembiraan menyambut kelahiran zuriat pertama tidak dapat dikongsi Aminah bersama suami yang dikasihinya.

Tidak ada isteri di dunia ini yang tidak sedih ditinggalkan oleh suami yang dikasihinya. Begitulah halnya Aminah ini, beliau juga tidak terkecuali untuk merasainya. Lebih-lebih lagi perkongsian hidupnya dengan Abdullah, suami tercinta, belum beberapa lama.

Anak yang baru lahir ini bak sinar jernih, bersih yang benar-benar menjadi penawar bagi si ibu yang baru kematian suami itu. Duka ditinggal mati suami agak berkurang sebaik sahaja Muhammad lahir ke dunia.

Muhammad SAW dilahirkan sebagai yatim, tetapi Allah telah menjadikan si anak yatim ini sebagai tempat menumpahkan kasih sayang semua orang. Setiap orang yang terpandang wajahnya, timbul rasa sayang kepadanya.

Ummu Aiman, seorang wanita hamba daripada suku Habsyiy yang berkulit hitam, sudah lama menjadi pembantu di rumah pasangan Abdullah-Aminah, ibu bapa Muhammad SAW. Setelah kewafatan ayahnya, maka dengan sendirinya Ummu Aiman menjadi hambanya.

Daripada wanita-wanita yang jatuh sayang kepada Muhammad SAW, Ummu Aimanlah yang paling sayang dan hiba melihat nasibnya. Hal ini barangkali kerana, dia telah lama mengikuti perkembangan si anak, juga kerana ingin membalas kebaikan ibu bapanya atau mungkin kerana dia seorang yang pada dasarnya amat penyayang terhadap kanak-kanak.

Tanpa merasa kekok dan janggal, Ummu Aiman mengasuh dan mendidik Muhammad dengan cinta, kasih sayang dan perasaan hiba. Dia memperlakukan Muhammad benar-benar seperti anak kandungnya sendiri. Ummu Aiman sudah jatuh sayang kepada Muhamamd lebih dari sekadar yang biasa. Ia ingin tetap bersamanya untuk selama-lamanya.

Namun begitu, hal yang diharapkan oleh Ummu Aiman ini tidak berlaku, kerana Muhammad SAW kemudian telah dibawa oleh ibu susuannya ke tempat yang jauh daripada pusat kota Makkah. Perpisahan ini amat mendukacitakan Ummu Aiman. Tetapi, apalah haknya terhadap anak tuannya; bukankah dia hanya seorang hamba di rumah itu??

Perpisahan ini dapat dilalui Ummu Aiman dengan penuh kesabaran. Pada dasarnya memang Ummu Aiman adalah seorang wanita yang tabah melalui bermacam-macam kesusahan, baik zahir mahupun batin.

Dua tahun lamanya Muhammad hidup bersama ibu susunya di suatu perkampungan. Setelah berlalu masa dua tahun, bayi comel yang dahulu telah bertukar menjadi kanak-kanak yang tampan.Tidak terkira betapa besarnya hati Ummu Aiman menyambut kepulangan Muhammad. Kini, dia dapat memandang wajah jernih anak tuannya, wajah dan mata yang memancarkan sesuatu yang kudus, kerana memang kelak dia akan diutus untuk menjadi Rasul oleh Allah SWT. Setelah dua tahun bersama ibu susuannya, kini dia kembali ke pangkuan ibu kandung dan pengasuhnya. Aminah dan Ummu Aiman tolong-menolong mengasuh dan membesarkan Muhammad.

Peristiwa yang sangat mengharukan berlaku sekali lagi, yakni ketika Aminah pulang dari Madinah setelah mengunjungi kaum keluarganya di sana. Dalam perjalanan pulang itu, yakni ketika melalui sebuah kampung bernama Abwa, Aminah diserang penyakit yang menyebabkan ajalnya. Aminah meninggal dunia di kampung itu dan dikebumikan di situ juga.

Muhammad yang baru mengecap nikmat kasih sayang ibu kandungnya, kini telah kehilangannya. Muhammad kini telah menjadi anak yatim piatu. Tidak ada orang lain yang turut berduka kecuali pengasuhnya, Ummu Aiman seorang.

Ummu Aiman meneruskan perjalanan menuju Makkah dan membawa Muhammad untuk diserahkan kepada datuk dan bapa-bapa saudaranya. Rasa hiba dan sayangnya terhadap Muhammad bertambah-tambah setelah kewafatan Aminah, ibu kandungnya.

Muhammad kini berada dalam asuhan Ummu Aiman seorang dan keadaan ini berterusan hinggalah Muhammad meningkat remaja, dewasa dan berumah tangga. Tepat pada hari perkahwinan Muhammad dengan Siti Khadijah, Ummu Aiman pun dimerdekakan, menjadi manusia yang bebas sesuai dengan keindahan dan suara hati kecilnya.

Akhirnya, Ummu Aiman dikahwini seorang penduduk Madinah yang bertempat tinggal di Makkah. Hidupnya bersama suaminya itu bahagia dan mereka terus menetap di Makkah hinggalah datang perintah untuk berhijrah ke Madinah.

Setelah beroleh cahaya mata daripada suaminya di Madianh, suaminya meninggal dunia. Maka, bersama-sama anaknya yang bernama Aiman bin Ubaid, Ummu Aiman berangkat menuju anak pertamanya (Muhammad SAW). Ummu Aiman dan anaknya Aiman bin Ubaid hidup di bawah jagaan anak sulungnya yang yatim piatu itu dalam suasana bahagia.

Akan halnya Muhammad SAW memang sangat menyayangi Ummu Aiman sebagaimana sayangnya kepada ibu kandungnya sendiri. Allah SWT telah mempertautkan insan di dunia ini dengan ikatan batin dengan batin. Tidak ada sebab mengapa hal ini tidak berlaku, dan tidak selamanya ikatan keturunan dan darah yang menjadikan insan hidup seperti kerabat.

Hormat dan kasih sayang Muhammad SAW kepada Ummu Aiman memang sudah diketahui semua orang Islam di Madianh. Bahkan, pada suatu hari, Nabi Muhammad SAW pernah berkata kepada para sahabatnya: "Ummu Aiman adalah antara ahli keluargaku yang masih tinggal." Demikianlah disebutkan di dalam kitab "al-Ishabah" yang ditulis oleh al-Waqidiy.

Nabi SAW merasa sangat sedih melihat Ummu Aiman hidup menderita. Baginda ingin sekali membahagiakan ibu asuhnya ini dengan apa-apa cara sekalipun. Maka, pada suatu hari Baginda bersabda:

"Sesiapa yang ingin berkahwin dengan wanita penghuni syurga, maka hendaklah dia mengahwini Ummu Aiman."

Kata-kata Nabi ini merupakan satu isyarat bahawa Ummu Aiman telah dijamin masuk syurga. Maka, setelah mendengar hadis tersebut, Zaid bin Harithah, bekas hamba Muhammad SAW segera melamar Ummu Aiman dan mengahwininya.

Antara kaum wanita yang ikut berhijrah dari Makkah ke Madinah ialah Ummu Aiman. Dia turut berhijrah kerana didorong oleh iman dan rasa cintanya kepada orang-orang yang memang patut dicintai oleh setiap insan.

Sesampainya di Madinah, Ummu Aiman langsung disambut hangat oleh anak kesayangannya, Muhammad SAW. Anak-beranak itu pun terus tinggal di Madinah. Seperti yang sudah diketahui melalui kata-kata sahabat, Ummu Aiman boleh dikatakan tidak pernah berpisah dengan anaknya, Muhammad SAW.

Banyak perang yang diikuti oleh Ummu Aiman. Dalam perang Uhud, dia ikut terjun di medan peperangan membantu tentera kaum muslimin dengan cara memberi air bersih untuk diminum oleh tentera yang kehausan atau sudah keletihan.

Semasa perang Khaibar pun Ummu Aiman telah bertindak sebagai motivator, pemberi semangat juang yang tinggi kepada tentera-tentera kaum muslimin.

Sebagai seorang anak asuh kepada Ummu Aiman, kadang-kadang Nabi Muhammad SAW sering berbual-bual sambil bergurau dengannya. Gurauan Nabi SAW sudah tentu terhad pada hal-hal yang benar. Hal ini demikian kerana, Baginda tidak pernah dan tidak akan pernah mengucapkan kata-kata yang tidak benar.

Ummu Aiman diberi umur yang panjang oleh Allah SWT hingga dia sempat hidup ketika kekhalifahan Umar bin Khattab dan Usman bin Affan. Namun begitu, dia tidak sempat melihat Ali bin Abu Talib menjadi khalifah atau Amirul Mukminin kerana ketiak pemerintahan Usman bin Affan, Ummu Aiman pengasuh Nabi kita, telah pulang ke rahmatullah.

x x x x x x x x

Begitulah serba ringkas hidup dan kehidupan seorang wanita besar meskipun dia hanyalah bekas seorang hamba Rasulullah SAW yang diwarisi daripada ayahnya. Namun begitu, sebaik sahaja Nabi Muhammad SAW berkahwin dengan Siti Khadiajh, maka status Ummu Aiman menjadi seorang wanita yang merdeka.

Setelah menjadi wanita merdeka, maka dia pun berkahwin dengan seorang sahabat yang juga hamba Rasulullah SAW iaitu Harith bin Harithah dan daripada perkahwinannya sebelum itu, dia dikurniai seorang anak lelaki yang kemudian bernama Aiman. Aiman bin Ubaid ini adalah salah seorang mujahid agung yang ikut berperang bersama Nabi SAW pada perang Hunain dan dia gugur pada peperangan itu sebagai seorang syahid.

Sedangkan perkahwinan keduanya denagn Zaid bin Harithah adalah setelah pengangkatan Nabi sebagai seorang Rasul. Hasil perkahwinan Ummu Aiman dengan Zaid bin Harithah ialah lahirnya seorang pejuang besar yang tidak asing lagi bagi seluruh kaum muslimin, yakni Usamah bin Zaid.

Ummu Aiman sempat ikut berhijrah sebanyak dua kali dan tidak kurang lima puluh hadis yang diriwayatkannya daripada Nabi SAW.

Keterangan yang berhubungan dengan Ummu Aiman tersebut diambil daripada beberapa kitab besar. Antara lain, ialah kitab "Mukhtashar Sirah Rasul SAW" yang ditulis oleh Syeikh Abdullah al-Najdiy, halaman 12; "Talqih al-Fahum Ahli al-Athar" halaman 4; dan "Shahih Muslim" jilid II, halaman 96.

Namun begitu, jika ada antara pembaca yang saya hormati ingin mengetahui dengan lebih mendalam dan meluas tentang sejarah hidup Ummu Aiman ini, kami mempersilakan kalian membaca buku-buku yang disenaraikan di bawah ini:

1) Tabaqat oleh Ibnu Sa'ad
2) Tarikh Tabariy
3) Sahih Bukhari
4) Al-Ishabah oleh Ibnu Hajar

No comments:

Post a Comment