assalamualaikum

sodiqi usrati...=)

Thursday, March 24, 2011

LUBABAH BINTI AL-HARITH (Ibu kandung Abdullah bin Abbas)

Di dalam kitab-kitab tarikh (sejarah) selalu disebut nama panggilan "Lubabah" (kakak) lahirlah seorang ilmuan yang tidak asing lagi yakni Abdullah bin Abbas r.a.; manakala dari Lubabah (adik) lahirlah seorang mujahid besar yang juga tidak asing bagi kita, pedang ALLAH (Saifullah), Khalid bin Walid r.a.

Menerusi Lubabah (adik) inilah lahirnya pahlawan terbilang Khalid bin Walid, dan nama beliau juga dikenali sebagai al-Ashma'. Para ulama tidak sependapat tentang keislaman dan kesahabatannya. Demikianlah yang disebutkan oleh Abu Umar di dalam buku "al-Ishabah", dan hal yang sama juga pernah diketengahkan oleh Ibnu Kathir. Hal ini disebabkan, hal yang akan kita perkatakan di sini ialah Lubabah (kakak), maka tidaklah akan kita perpanjangkan perbincangan tentang Lubabah (adik) di sini.

Ibu kandung ilmuan besar, Ibnu Abbas r.a. yang disebut di awal tadi, sebenarnya bukan hanya dikenali dengan panggilan Lubabah, tetapi dia lebih sering dan lebih masyhur dengan panggilan Ummul Fadal merujuk kepada nama anak lelakinya yang sulung.

Sebenarnya, Abbas bin Abdul Muttalib, bapa saudara Nabi, telah beroleh beberapa anak lelaki daripada perkongsian hidupnya bersama Ummul Fadal (Lubabah), yakni: al-Fadal, Abdullah dan lain-lain. Maka, kerana anaknya yang paling besar bernama Fadal, Lubabah sering dipanggil dengan kuniyah Ummul Fadal.

Adalah hal yang sudah dikenali ramai bahawa Lubabah termasuk seorang wanita yang mempunyai akhlak yang mulia dan budi pekerti yang terpuji. Lebih daripada itu, dia termasuk seorang yang terawal memeluk Islam bersama orang-orang yang dekat dengan Nabi SAW.

Menurut pengakuan anaknya, Abdullah bin Abbas, tentang ibunya, Lubabah: "Sebenarnya ibuku termasuk dalam golongan yang dizalimi di antara kaum wanita; sedangkan aku termasuk golongan yang dizalimi dalam kalangan kanak-kanak." Demikianlah dinyatakan oleh sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari.

Sebagaimana saya sebutkan di awal bahawa Lubabah termasuk orang yang terawal memeluk Islam. Dia telah masuk Islam sebaik sahaja masuk Islamnya Khadijah binti Khuwailid r.a. dan setelah menjadi seorang muslimah, Lubabah memang amat dikenali dalam kalangan kaum sejenisnya, kerana iltizamnya mengamalkan Islam yang dianutinya.

Di dalam kitab "al-Isti'ab", Abu Umar menulis seperti berikut: "Lubabah adalah seorang wanita yang bijaksana. Itulah sebabnya dia tergolong ke dalam wanita-wanita yang terhormat dalam kalangan kaum muslimat. Malah, Rasulullah SAW sendiri pernah mengunjunginya."

Pada Hari Arafah, kaum muslimin tidak mengetahui secra pasti adakah Baginda Rasul berpuasa atau sebaliknya. Ketika itulah Lubabah mengirim segelas susu buat Baginda Rasul dan ternyata Baginda meminumnya. Maka, dengan demikian jelaslah bagi kaum muslimin bahawa Baginda Rasul tidak berpuasa pada Hari Arafah. Demikianlah disebut di dalam riwayat yang diakui kesahihannya.

Lubabah juga dikenali sebagi perawi hadis kerana beliau telah meriwayatkan tidak kurang dari tiga puluh hadis dari Baginda Rasul. Tiga daripada hadis-hadis tersebut diriwayatkan Bukhari, Muslim; dan satu daripadanya diriwayatkan oleh kedua-duanya secara bersamaan (muttafaq 'alaih).

Pernah suatu ketika Ibnu Abbas, anak kedua Lubabah, berkata: "Ketika ibuku maish muda, beliau pernah bercita-cita dikurniai anak yang dihormati dan dimuliakan." Maka beliau pun bermadah:

"Celakalah kemudaanku, sia-sialah diriku selagi tidak membela orang yang tertindas dan yang tidak tertindas."

Ternyata di kemudian hari doa dan harapan Lubabah itu menjadi kenyataan dan dimakbulkan Allah Azza wa Jalla. Anaknya yang kedua, yakni Abdullah bin Abbas, ternyata menjadi seorang ahli ilmu yang disegani dalam kalangan para sahabat. Dengan ilmu yang luas serta dalam, anaknya telah mencurah bakti dan jasa kepada umat Islam seluruhnya.

Lubabah mengakhiri hayatnya lebih dahulu daripada suaminya, Abbas bin Abdul Muttalib, ketika Usman bin Affan duduk di kerusi kekhalifahan.


No comments:

Post a Comment