assalamualaikum

sodiqi usrati...=)

Thursday, March 24, 2011

UMMU HANI (sepupu Rasulullah SAW)

Nama sebenarnya ialah Fakhitah binti Abu Talib bin Abdul Muttalib. Lebih jelasnya, dia ialah anak bapa saudara Rasulullah SAW. Sedangkan ibunya bernama Fatimah binti Asad bin Hasyim suku Quraisy. Ummu Hani memang terkenal dalam kalangan sukunya sebagai seorang wanita yang bijak dan halus adab serta tatasusilanya.

 Pada zaman jahiliah, Muhammad SAW pernah meminang wanita ini. Namun, kerana ayahnya lebih dahulu menerima pinangan seorang pemuda yang bernama Ubairah bin Abu Wahab hingga pinangan Muhammad SAW terpaksa ditolak. Akhirnya, Ummu Hani berkahwin dengan Ubairah bin Abu Wahab.

Apabila Islam sudah tersebar, Ummu Hani beriman dan masuk Islam, sedangkan Ubairah, suaminya masih tetap dengan agama asalnya. Sesuai dengan hukum Islam, kedua-dua orang ini terpaksa dipisahkan. Maka, Ummu Hani diberi hak untuk memelihara anak-anaknya dengan Ubairah yang masih kecil-kecil ketika itu. Ummu Hani terpaksa melalui hidup sebagai seorang janda. Setelah hidup menjanda selama beberapa lama, sekali lagi Muhammad SAW datang untuk meminang Ummu Hani. Ketika inilah Ummu Hani memberi jawapan yang penuh dengan kebijaksanaan.

"Ya Rasulullah SAW, sesungguhnya aku sangat mencintai anda, lebih daripada cintaku kepada pendengaran dan penglihatanku sendiri. Namun begitu, aku menyedari betapa besarnya hak-hak yang mesti aku penuhi kepada seorang yang bernama suami. Aku takut jika aku berbakti kepada suamiku maka anak-anak penawar jiwaku akan terbiar, sebaliknya jika aku menumpukan perhatian kepada mereka maka aku khuatir hak-hak suami tidak dapat kusempurnakan."

Setelah mendengar jawapan Ummu Hani yang demikian, Rasulullah SAW bersabda, sabda yang amat masyhur hingga ke hari ini:

"Sesungguhnya, wanita yang paling cekap menunggang unta ialah wanita Quraisy, yang amat kasih kepada anak-anaknya yang masih kecil dan sangat baik layanannya kepada suaminya."
(Riwayat Ibnu Athir)

Selain dikenali sebagai ibu yang penyayang kepada anak dan paling taat kepada suami, Ummu Hani juga dikenali sebagai wanita yang mempunyai keperibadian yang teguh dan sikap yang jelas. Memang sudah menjadi lazimnya setelah Islam berkembang di dunia Arab, kaum wanita mereka terkenal sebagai orang yang suka memberi perlindungan kepada orang yang meminta perlindungan, malah kelaziman ini sudah ada pada zaman jahiliah.   

Dalam hubungan ini, Ummu Hani pernah memberi perlindungan kepada dua lelaki, yang kebetulan pula adik iparnya, ketika mereka hendak dibunuh. Peristiwa itu telah diceritakan sendiri oleh Ummu Hani seperti berikut:

"Apabila bahagian atas kota Makkah telah ditakluki oleh Rasulullah SAW bersama kaum muslimin, dua lelaki datang kepadaku meminta perlindungan, kebetulan pula mereka ialah adik iparku dari suku Bani Makhzum. Tidak lama setelah mereka masuk ke dalam rumahku, tiba-tiba adikku, Ali bin Abu Talib, pun sampai dan berkata: 'Demi ALLAH, aku akan membunuh mereka!' Serta-merta aku tutup pintu agar Ali tidak mengetahui mereka ada di rumahku, supaya mereka selamat daripada pedangnya.

"Kemudian perang pun reda, dan aku pergi menemui Rasulullah SAW. Baginda menyambut kedatanganku dengan hangat sebagaimana pada waktu-waktu sebelumnya. 'Apa hal engkau datang berjumpa denganku, wahai Ummu Hani?' Aku pun menceritakan mengenai kedua-dua lelaki yang sedangberlindung di rumahku, juga tentang Ali yang beria-ia hendak membunuh mereka."

"Kemudian Rasulullah SAW menjawab: 'Wahai Ummu Hani, sesungguhnya aku akan melindungi orang yang engkau lindungi, dan aku akan menjaga orang yang kau beri keamanan. Dengan demikian, Ali tidak aku benarkan untuk membunuh mereka.' (Dinukil daripada kitab "Sirah Ibni Hisyam", jilid II, halaman 820; dan "al-Bukhari", jilid VIII, halaman 37)."

Keenam-enam imam hadis, yakni penyusun "al-Kutub al-Sittah" sependapat mengatakan bahawa Ummu Hani ialah seorang wanita yang telah meriwayatkan sejumlah hadis. Imam yang enam yang dimaksudkan ialah: Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Nasa'i, dan Ibnu Majah. Mereka juga sependapat tentang masa hidup Ummu Hani hingga kepada pemerintahan Ali bin Abu Talib, khalifah keempat, dan juga saudara kandungnya sendiri.

Wahai kaum wanita muslimah, sedarkah anda bagaimana Islam telah meninggikan darjat anda? Tahukah anda Islam telah mengangkat anda dari lumpur jahiliah menuju cahaya iman dan sinar Islam, yang meletakkan anda sebagai insan yang beroleh hak-haknya -hak-hak yang tidak pernah anda peroleh sebelumnya? Kalau anda mahu berfikir dan merenung barang sebentar, kami yakin dan percaya bahawa hal itu adalah sesuatu yang sangat jelas bagi setiap wanita.

Kemuliaan kaum wanita muslimah dalam sejarah Islam memang tidak mungkin dinafikan oleh orang yang mengetahui sejarah. Janji dan penghargaan Rasulullah SAW kepada Ummu Hani adalah sebahagian contoh daripada sekian banyak contoh yang pernah berlaku di sepanjang sejarah.

Bukankah Rasulullah SAW telah berjanji kepada Ummu Hani bahawa Baginda akan melindungi orang yang dilindunginya dan memberi keamanan kepada orang yang diberinya keamanan? Masihkah ada bentuk penghargaan yang melebihi penghargaan seperti ini?

Namun begitu, penghargaan yang sedemikian besar adalah sesuatu yang patut dan layak diterima oleh wanita seperti Ummu Hani, kerana dia memang seorang wanita luar biasa, seorang ibu yang penuh cinta kasih kepada anak-anaknya, seorang isteri yang sangat taat serta hormat kepda suaminya. Lebih daripada itu, dia ialah sepupu Rasulullah SAW yang lahir daripada darah daging bapa saudaranya sendiri, Abu Talib bin Abdul Muttalib.

Jauh sebelum itu, Ummu Hani pernah dilamar oleh Rasulullah SAW, dan melalui jawapan Ummu Hani ketika itu, dapatlah kita ketahui bagaimana hati budinya. Jawapannya adalah seperti berikut:
 
"Anda lebih aku cintai berbanding pendengaran dan penglihatanku sendiri, ya Rasulullah. Sayangnya aku ialah ibu kepada beberapa anak yatim yang masih kecil-kecil. Pada waktu yang sama, aku sedar bahawa bersuami itu mempunyai kewajipan dan tanggungjawab yang amat besar. Aku takut ketika aku berbakti kepada suami maka anak-anakku terbiar, dan jika aku tumpukan perhatian kepada anak-anakku maka hak-hak suami pula akan kutinggalkan."

Ketika itulah lahirnya ungkapan Rasulullah SAW yang sampai hari ini masih kita ingat:

"Sesungguhnya, wanita yang paling cekap menunggang unta ialah wanita Quraisy; mereka jugalah yang paling penyayang kepada anak yang masih kecil dan paling taat kepada suaminya. Seandainya aku mengetahui bahawa Maryam binti Imran cekap menunggang unta, tentulah aku akan mengutamakannya (berbanding wanita Quraisy)

Demikianlah ucapan Rasulullah SAW yang dinukil daripda kitab "al-Tabaqat al-Kubra" jilid VII, halaman 32; dan dari kitab "al-Ishabah", halaman 287, dua kitab besar yang selalu menjadikan rujukan bagi kaum muslimin.

Ummu Hani seorang wanita yang mengaku sukar untuk bertindak adil ketika membahagikan tugas kepada suami dan terhadap anak, kerana dia sangat mengambil berat kepada kedua-dua kewajipan yang sangat penting ini.

Adakah lagi kesangsian kita untuk meletakkan Ummu Hani di tempat yang tinggi dan mulia sebagai ibu orang-orang mukmin setelah mendengar pengakuannya yang terus terang di hadapan Rasulullah SAW sendiri?

Selanjutnya, penghormatan serta penghargaan yang diberi oleh Baginda Rasul kepada kaum wanita menerusi sepupunya, Ummu Hani adalah luar biasa. Tetapi secara kebetulan Ummu Hani ini seorang wanita berketurunan Quraisy, sama dengan Baginda, maka dalam ucapan Baginda dikhususkan kepada wanita Quraisy sahaja, dan ini bukanlah bererti suku, bangsa, dan keturunan yang lain daripada suku Quraisy tidak mungkin mencapai kedudukan yang mulia sebagaimana yang dicapai Ummu Hani jika benar-benar mahu meneladani sifat dan sikap yang dimiliki Ummu Hani yang bersuku Quraisy ini.

Ibu manakah yang lebih penyayang kepada anak-anaknya melebihi Ummu Hani yang dikenali telah mencurahkan kasih sayang dan sepenuh perhatian untuk mendidik dan membesarkan anak-anaknya meskipun ketika beliau menjadi seorang janda?

Sesungguhnya, keteladanan yang ditunjukkan Ummu Hani ini aku persembahkan kepada para ibu yang bersedia berkorban apa sahaja demi kebaikan anak-anaknya. Harapan saya, semoga akan lahir lagi "Ummu Hani-Ummu Hani" dalam kalangan kaum wanita muslimah pada zaman sekarang dan akan datang, insyaALLAH... 

 
  



 

2 comments: