Ini adalah secebis kisah yang dinukilkan oleh Imam Ghazali dalam kitab Ihya' Ulumuddin. Mimpi yang dialami oleh Umar ibnu Aziz tidak syak lagi ialah mimpi yang benar, seperti jua mimpi orang-orang yang hampir dengan Allah SWT dalam kalangan para sahabat, wali-wali Allah, dan orang-orang soleh. Sehubungan dengan itu, Imam Ghazali mestilah mempunyai keyakinan yang kukuh kepada kesahihan berita itu hingga beliau berani menulis di dalam kitab karangannya.
Cerita itu membawa banyak pengajaran yang patut kita jadikan renungan. Secara tidak langsung cerita itu memaparkan bahawa perselisihan antara Ali dan Muawiyah ialah satu perkara yang mesti dilihat dari sudut yang positif tanpa memperkecil-kecilkan salah seorang pun daripada mereka. Ulama juga mengulas bahawa jika terjadi perselisihan antara mereka, maka itu ialah satu perkara yang mesti diulas secara berakhlak dan berhati-hati. Hal itu mestilah disorot sehingga dapat dijadikan iktibar untuk kita, yakni umat yang semakin jauh daripada kebenaran.
Misalnya kisah rumah tangga Rasulullah SAW dengan isteri baginda Siti Aisyah, Siti Habsah ataupun Safiyah. Kadangkala kita dapati isteri-isteri Rasulullah pernah bermasam-masam muka sama ada kepada baginda ataupun sesama mereka. Aisyah pernah berselisih dengan Habsah, dan Habsah juga pernah diriwayatkan mengecilkan hati Rasulullah. Pernah juga diberiatakan semua isteri Rasulullah mogok dan meminta nafkah yang lebih daripada Rasulullah. Dalam hal ini, kita hendaklah memahami bahawa pergeseran-pergeseran kecil itu bukanlah satu keaiban kepada peribadi isteri-isteri Rasulullah mahupun kepada peribadi baginda sendiri. Hal ini sebenarnya sengaja ditakdirkan oleh Allah untuk menjadi panduan manusia di belakang hari. Jika rumah tangga Rasulullah aman sepanjang masa dan tidak ada sedikitpun perselisihan, bagaimana kita (sebagai umat Islam) mendapat panduan untuk menghadapi masalah rumah tangga yang sering kita hadapi terutama di akhir zaman ini??
Ini menunjukkan perselisihan yang berlaku dalam rumah tangga Rasulullah adalah sengaja ditakdirkan oleh Allah untuk dijadikan panduan bagi umat baginda ketika berhadapan dengan masalah rumah tangga mereka. Inilah hikmahnya. Jangan pula kita menjadikan perselisihan itu sebagai alasan untuk mengecam isteri-isteri Rasulullah yang digelar Ummahatul Mukminin itu. Begitulah juga dengan perselisihan yang terjadi dalam kalangan para sahabat Rasulullah. Misalnya perselisihan yang terjadi antara Saidina Ali dan Muawiyah yang menyebabkan berlakunya peperangan Siffin.
Kita hendaklah memandang peristiwa itu sebagai satu takdir Allah yang tidak dapat dielakkan. Walaupun ia tercatit sebagai satu sejarah hitam dalam Islam, namun kita janganlah terbabit dalam memburuk-burukkan salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya sekali seperti yang dibuat oleh puak Khawarij. Kita pula jangan sampai menghentam peribadi Muawiyah seperti yang dibuat oleh orang Syiah. Adalah lebih tepat jika kita menyerahkan segala yang berlaku itu kepada Allah. Kalaupun kita ingin mengulas, hendaklah kita mengulas begini:
Pertikaian antara Muawiyah dan Saidina Ali bukanlah pertikaian peribadi dan bukan untuk menjaga 'periuk nasi' mereka. Namun begitu, adalah disebabkan masing-masing berpegang kepada ijtihad masing-masing demi kemaslahatan umat Islam pada waktu itu. Niat masing-masing adalah jujur dan merasakan ijtihad merekalah yang benar untuk menyelamatkan suasana umat Islam yang sedang bergolak hebat waktu itu. Bukti yang menunjukkan bahawa perselisihan mereka bukan perselisihan peribadi ialah pada suatu ketika datang seorang kepada Saidina Ali lalu menceritakan keburukan peribadi Muawiyah. Saidina Ali berkata:
"Beranikah saudara berkata demikian kalau Muawiyah ada di depan saudara? Kalau tidak, diamlah! Kerana perbuatan itu termasuk dalam mengumpat. Kalau benarlah Muawiyah berkata demikian terhadap peribadiku, ketahuilah bahawa aku telah memaafkannya."
Begitulah juga halnya yang terjadi pada Muawiyah yang mana satu ketika ia meminta salah seorang yang rapat dengan Saidina Ali untuk menceritakan bagaimanakah Saidina Ali menghabiskan waktu siang dan malamnya. Maka berceritalah orang itu tentang kehebatan ibadah, tawadhuk, sabar, dan betapa cintanya Saidina Ali kepada Allah. Mendengar itu, menangislah Muawiyah sehingga basah janggutnya dan berkata: "Ali lebih baik daripadaku."
Oleh kerana itulah para ulama yang memutuskan bahawa korban perang Siffin tidak kira di pihak Muawiyah ataupun di pihak Saidina Ali ialah syahid kerana mereka berperang kerana keyakinan ijtihad masing-masing untuk menegakkan kalimatullah. Para sahabat ialah individu yang mampu berijtihad kerana keunggulan mereka dalam ilmu Islam memang tidak dapat dipertikaikan lagi. Ijtihad yang benar diberi dua pahala dan yang tidak tepat diberi satu pahala. Orang yang berijtihad tidak akan berdosa walaupun ijtihad mereka salah, asal sahaja mereka mempunyai ilmu yang cukup dan layak berbuat demikian.
Tidak kurang ada dalam kalangan umat Islam sendiri yang menghina bahkan sampai ada yang mengkafirkan sahabat Rasulullah seperti Abdullah bin Umar kerana berkecuali dalam perang Siffin, Zubair ibnu Awwam dan Talhah kerana menyebelahi pihak Saidatina Aisyah dalam memerangi Saidina Ali dalam peperangan Jamal (unta). Menghina Khalid ibnu Walid (pedang Allah), mengatakan Abu Zarr sebagai bapa sosialisme Islam, Saidina Abu Hurairah dan Amru sebagai munafik dan sebagainya. Na'uzubillah...
Kita merasa kesal kerana kecaman-kecaman ini datangnya daripada mulut orang yang mengaku sebagai orang Islam bahkan, kadangkala datangnya daripada orang yang mendabik dada sebagai pejuang Islam. Nampaknya, mereka bukan sahaja terperangkap dengan penyelewengan golongan-golongan yang terlampau seperti Syiah dan Khawarij tetapi juga diresapi oleh dakyah-dakyah jahat kaum Orientalis Barat yang memusuhi Islam.
Para sahabat Rasulullah umpama bintang-bintang di langit yang dapat menjadi petunjuk sepanjang zaman. Menyebut nama mereka pun sudah mendatangkan rahmat, apalagi menyintai dan menyanjung perjuangan mereka. Kita tinggalkanlah perselisihan yang terjadi dalam kalangan mereka sebagai satu ketentuan yang tidak dapat dielakkan tetapi banyak hikmah untuk dijadikan iktibar. Sesungguhnya pemanah-pemanah yang meninggalkan kedudukan mereka dalam perang Uhud mempunyai keperibadian yang berganda-ganda hebat daripada kita, dan sikap mereka itu bukanlah kerana mereka tamak kepada harta tetapi memang peristiwa itu terjadi untuk dijadikan teladan bagi mereka dan kita bahkan untuk Mukmin sepanjang zaman tentang betapa buruknya akibat mengabaikan arahan pemimpin Islam.
Mereka telah pergi membawa nama yang gemilang dengan membawa pelbagai gelaran yang diebrikan oleh Rasulullah SAW seperti As-Siddiq, Karamallahu Wajhah, Saifullah, Aminul Ummah dan lain-lain lagi. Seumur hidup kita pun kalau digunakan untuk menandingi kehebatan mereka, tidak akan berjaya. Jangan sampai menjadi kelawar yang tidak dapat melihat di waktu siang, bukan kerana siang itu gelap tetapi kerana siang itu terlalu terang untuk matanya. Oleh itu, demi kebangkitan Islam yang semakin marak sekarang, janganlah sampai melahirkan segolongan pejuang yang terlalu gelojoh, terburu-buru, tidak mengenal diri dan semborono dalam berfikir dan bertindak.
Akhirnya, peribadi sahabat ialah modal untuk kita jadikan pendorong dan panduan dalam berjuang, bukan untuk dikecam, dianalisa sudut-sudut yang negatif lalu dipaparkan. Tindakan menghina mereka (walaupun seorang) sebenarnya menarik langkah perjuangan ke balakang kembali. Menghina sahabat bererti menghina Rasulullah SAW, seterusnya menghina Allah SWT. Na'uzubillahiminzalik.. Menuduh mereka jahat samalah memperkecil-kecilkan sistem pendidikan Rasulullah yang mendapat didikan langsung daripada Allah SWT.
Kecaman golongan itu sebenarnya tidaklah mengurangkan pahala dan ketinggian darjat para sahabat, tetapi menunjukkan kebodohan dan menjatuhkan diri mereka sendiri ke lembah dosa. Mereka tentunya tidak akan menjadi teman para sahabat dalam syurga kelak.
Sumber: Buku Iktibar dari Kamus Hidup Orang Soleh
Penyusunnya, Fadhilah A. Alim & Muhammad A. Shahbudin.
Mohon share.. Jazakallah
ReplyDeletedengan segala hormatnya... selagi bermanfaat, sebarkanlah.. ^_^
Deletebaik penulisan ini
ReplyDelete