Dalam sistem demokrasi, setiap warga yang cukup syarat layak mengundi. Tanpa mengira agama, rakyat mengundi calon yang mereka fikir sesuai dan layak sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen (MP).
Suatu ketika dahulu, kedengaran 'fatwa' menyatakan haram bagi Muslim mengundi calon non-Muslim. Hal ini demikian kerana, haram bagi Muslim menjadikan non-Muslim sebagai wali.
Namun begitu, sekarang 'fatwa' tersebut sudah tidak kedengaran lagi. Mungkin 'fatwa' tersebut wujud atau mungkin sekadar cakap-cakap sahaja.
Walau bagaimanapun, persoalan ini sudah dibahaskan zaman silam lagi iaitu zaman khalifah Islam. Antaranya apa yang disebut oleh Imam Mawardi dalam karyanya al-Ahkam al-Sultaniyah. Beliau menyebut tentang pelantikan non-Muslim sebagai menteri.
Dalam satu hadis, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
"Janganlah kamu meminta cahaya dengan api golongan musyrikin."
(Rujuk Tafsir Ibn Kathir, ayat 118 surah Ali Imran)
Dalam mentafsirkan sabda ini, Hassan al-Basri r.h. menyatakan hal tersebut ialah seruan agar tidak bermesyuarat dengan golongan musyrik dalam urusan umat Islam. Tafsiran ini ada kebenarannya, namun realiti zaman sudah berubah. Maka, perubahan zaman ada kalanya menuntut perubahan hukum.
Sistem kini tidaklah sama dengan sistem silam. Dalam demokrasi, kemenangan berdasarkan undi rakyat. Sesuatu rang undang-undang di Parlimen dibahaskan dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Kabinet yang dipimpin oleh Perdana Menteri juga perlu berbincang. Hal ini bermakna, ada perbincangan.
Oleh itu, tidaklah menjadi satu kesalahan bagi Muslim untuk mengundi calon non-Muslim sebagai wakil dengan beberapa pertimbangan.
PERTIMBANGAN YANG RELEVAN BAGI MUSLIM MENGUNDI CALON NON-MUSLIM SEBAGAI WAKIL
1) Non-Muslim tersebut bukanlah warga yang memusuhi Islam atau umat Islam secara terang-terangan.
2) Beliau bertindak profesional dengan menjaga sensitiviti umat Islam dan masyarakat yang lain.
3) Beliau tidak terlibat dengan kegiatan yang tidak bermoral dari sudut majoriti rakyat dan undang-undang negara.
4) Beliau seorang yang adil dan menentang kezaliman kepada rakyat dan masyarakat.
No comments:
Post a Comment