Usaha penyebaran dakwah Islamiyah memang tidak sunyi dari aral serta rintangan. Ajaran yang benar, pada mulanya selalu berhadapan dengan orang-orang yang menentang dan dengki. Begitulah juga yang dihadapi Rasulullah SAW, lebih-lebih lagi di awal risalahnya.
Setiap kali baginda Rasul berhadapan dengan pelbagai halangan dan gangguan daripada orang-orang kafir Quraisy, ada dua wanita yang sentiasa bersedia membantu dan membelanya. Mereka berdiri tegak di belakang Nabi dan tampil ke hadapan jika ada orang yang berani mengusik kehormatan Nabi Muhammad SAW.
Ingatkah anda siapa dua wanita agung itu?? Mereka tidak lain dan tidak bukan daripada Khadijah binti Khuwailid dan Fatimah binti Asad, dua wanita yang memang tidak asing lagi dalam sejarah Islam. Walau mereka sama-sama hebat, namun Khadijah binti Khuwailid jauh lebih menonjol dan lebih terkemuka. Jadi, wajarlah apabila Khadijah binti Khuwailid dianggap wanita paling mulia dan paling agung berbanding wanita-wanita lain.
Penghormatan yang tertinggi itu memang wajar disandang oleh Khadijah binti Khuwailid. Selain sumbangan dan jasa yang telah dicurahkan di jalan perjuangan, beliau juga ialah isteri junjungan kita Nabi Muhammad SAW, Ummul Mukminin. Belum ada wanita di dunia ini yang dapat menyamai keutamaan Khadijah - sebagai isteri - apalagi melebihinya.
Khadijah telah menciptakan iklim dan suasana rumah yang mampu mendamaikan jiwa dan batin suaminya, Nabi Muhammad SAW jauh sebelum perlantikan baginda menjadi seorang utusan Allah Azza wa Jalla kepada seluruh manusia. Ketika baginda berkhalwat di Gua Hira', Khadijah jugalah yang banyak membantu dan memberi bekalannya.
Sebaik sahaja baginda Rasul menerima wahyu yang pertama sekaligus mengangkatnya menjadi Rasul, maka Khadijah jugalah orang pertama yang membenarkan serta beriman kepadanya. Tidak ada orang lain yang dapat menyamai beliau (Khadijah) dari sudut bantuan dan pertolongan, sama ada bantuan yang bersifat kejiwaan, harta benda ataupun dalam rumah tangga dan keluarga.
Justeru, tidak ada ungkapan yang mampu menggambarkan peranan sebenar Khadijah terhadap baginda Rasul. Maka, seluruh hidupnya bak mawar yang sentiasa mewangi sepanjang zaman. Bantuan dan pertolongannya meliputi semua aspek yang diperlukan oleh baginda Rasul ketika itu.
Mari kita renungkan kata-akata daripada baginda Rasul yang menggambarkan siapa sebenarnya Khadijah dalam kehidupan beliau, walaupun ayatnya singkat tetapi sudah cukup membawa makna yang sangat luas, yakni menerusi sabda baginda:
"Dialah (Khadijah) orang yang beriman ketika manusia mengingkari; dialah yang membenarkan aku ketika manusia mendustakan aku; dan dialah juga yang menyara hidupku ketika manusia memulauku."
(Riwayat Ahmad)
Disebabkan itu, Khadijah binti Khuwailid ialah teladan yang terbaik bagi setiap isteri. Tidak perlu kita mencari model daripada agama lain untuk dijadikan ikutan para isteri yang ingin menjadi harta yang paling bernilai bagi suami mereka.
Sikap dan sifat yang ditunjukkan Khadijah selama hidup dengan baginda Rasul, juga sebelum itu, ialah ciri-ciri isteri yang didambakan setiap lelaki yang bernama suami. Khadijah terkenal sebagai isteri yang setia, sentiasa berbakti untuk suami, patuh akan setiap perintah, menyediakan keperluan jiwa dan raga baginda ketika berkhalwat di Gua Hira'.
Terlalu banyak contoh nilai-nilai mulia yang ada pada diri Khadijah hingga tidak mungkin kita sebutkan satu persatu di dalam buku yang sederhana ini. Sebab hampir semua tindakan dan perlakuannya sama ada terhadap suaminya baginda Rasul, terhadap anak-anak dan keluarganya, juga terhadap kaum muslimin yang bermuamalat dengannya ialah teladan yang sesuai dicontohi oleh wanita muslimat pada setiap tempat di dunia ini.
Akhirnya, kita hanya mampu berdoa kepada Allah SWT semoga Khadijah binti Khuwailid mendapat balasan yang setimpal dengan jasa dan sumbangannya sama ada terhadap baginda Rasul atau kepada seluruh kaum muslimin untuk meninggikan agama Allah SWT di muka bimu ini. Salah satu hal yang pernah dijaminkan baginda Rasul bagi Khadijah adalah sebuah istana di syurga, dan janji itu pasti berlaku kepada orang yang amat patut menerimanya, yakni Khadijah binti Khuwailid, wanita teragung dalam sejarah.
Di dalam kitab "Fadailu Ashabi al-Nabi SAW" ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, dan menurut Imam al-Zahabiy, ia telah disepakati kesahihannya, sebagaimana berikut:
"Pada suatu masa malaikat Jibril a.s. datang kepada baginda Rasul, lalu berkata: 'Wahai Muhammad, tengoklah ini Khadijah datang membawa bejana yang berisi makanan dan minuman untukmu. Dia sangat mengambil berat tentang dirimu, wahai Muhammad. Oleh itu, sampaikanlah kepadanya salam daripada Allah Azza wa Jalla dan daripadaku. Katakanlah kepadanya bahawa telah disediakan baginya sebuah istana di dalam syurga - istana yang sangat mendamaikan serta menyeronokkan, tidak ada kebisingan dan tidak ada kesusahan di dalamnya."
Apakah anda berfikir bahawa istana-istana yang ada di dunia, wahai manusia, dapat menandingi istana syurga yang dijanjikan buat Khadijah binti Khuwailid?? Tidakkan berita baik ini jauh lebih bernilai berbanding segala kenikmatan dunia dan semua yang ada di dalamnya?
Sebelum ada seorang manusia pun yang menerima kebenaran yang dibawa baginda Rasul, Khadijah sudah menerima dan mengakuinya. Beliaulah orang pertama menjadi orang yang beriman sesudah baginda Rasul sendiri. Beliaulah muslim pertama selain Rasul yang membawa agama Islam ini.
Selain itu, Khadijah terkenal sebagai wanita yang dengan tekad serta kesabaran luar biasa sentiasa mendampingi baginda Rasul untuk mengibarkan panji-panji Islam. Hidupnya diisi dengan jihad dan perjuangan, berkorban harta dan kesenangan, lalu dengan tegas menyokong baginda Rasul meskipunterhadap kaum dan sukunya sendiri. Khadijah juga sentiasa memberi layanan yang lemah-lembut, suasana yang nyaman dan damai keapda suami dan Rasul penghabisan di sepanjang hayatnya.
Justeru, tidak ada sebab mengapa Khadijah tidak diletakkan pada urutan pertama sebagai isteri teladan. Hal ini demikian kerana, memang jika dilihat daripada pelbagai sudut, beliau adalah seorang yang serba sempurna dan utama, sama ada bagi suaminya, Rasul, bagi Islam, dan bagi kaum muslimin seluruhnya pada waktu itu.
Bukankah Khadijah binti Khuwailid inilah wanita yang sentiasa membela dan melindungi baginda Rasul sejak awal kerasulannya? Dan pembelaan ini berterusan hingga ke nafas beliau yang penghabisan.
Kita tidak mungkin lupa bagaimana baginda Rasul melalui proses penerimaan wahyu yang pertama melalui malaikat Jibril a.s. Waktu itu baginda Rasul sedang berkhalwat di Gua Hira' yang terletak di puncak sebuah bukit yang bernama bukit Thur. Maka, melalui malaikat Jibril a.s., dibacakanlah kepada baginda beberapa ayat al-Qur'an yang kemudian disebut dengan surah al-'Alaq.
Dalam perjalanan hendak pulang ke rumah, Jibril a.s. masih menampakkan dirinya kepada baginda Rasul. Dalam ketakutan yang luar biasa, baginda Rasul dapat melihat perawakan Jibril a.s. di antara langit dengan bumi. Baginda terpana dan diam terpaku di tempatnya berdiri hingga wajah Jibril nampak dengan jelas. Ketika itu, tarikan dari sosok yang menakjubkan itu menyebabkan baginda Rasul tidak menoleh ke kiri ataupun ke kanan, tidak maju ke depan dan tidak pula mundur ke belakang.
Bukankah ketika itu baginda Rasul masih berseorangan di puncak bukit Thur. Ketakutan meliputi seluruh tubuhnya kerana tiada seorang pun yang dapat dijadikan tempat berlindung atau bercakap hingga perasaan itu terpaksa dilalui bersendirian.
Sekalipun sedang ketakutan yang luar biasa, baginda Rasul terpaku di tempatnya hinggalah sosok Jibril a.s. menghilang daripada pandangannya.
Tidak beberapa lama setelah menyedari apa yang sedang berlaku, baginda Rasul segera berjalan menuju rumahnya untuk bertemu dengan Khadijah. Baginda Rasul masih terus diburu rasa takut hingga setelah tiba di rumah.
Apabila ketakutan baginda Rasul sudah hilang, dan di wajahnya sudah kelihatan tanda-tanda ketenangan, maka ketika itulah Khadijah bertanya:
"Dari manakah engkau, wahai Abul Qasim? Sungguhnya aku sudah puas mencarimu, aku telah menyuruh beberapa orang untuk mencarimu hingga ke Makkah, tetapi kesemua mereka mengatakan tidak menjumpaimu."
Baginda Rasul pun mula menceritakan peristiwa yang baru dialaminya kepada Khadijah, dari awal hingga ke akhir. Ketika menceritakannya, kelihatan tanda-tanda ketakutan di wajah baginda Rasul. Namun begitu, Khadijah segera mengerti perasaan suaminya. Bagi menghibur dan membesarkan hati suaminya, Khadijah pun berkata:
"Bergembiralah, wahai anak bapa saudaraku dan kuatkanlah jiwamu. Demi Allah yang diriku dalam kekuasaan-Nya, aku percaya bahawa engkau akan menjadi Rasul bagi umat manusia."
Sekarang perhatikanlah, wahai para isteri muslimah, apa yang diucapkan oleh Khadijah binti Khuwailid kepada suaminya yang sedang takut dan sugul itu. Sesungguhnya, Khadijah sentiasa berusaha menenangkan dan menggembirakan hati suaminya. Beliau terus-menerus menolong menyelesaikan apa yang dihadapi oleh suaminya. Sememangnya inilah tugas yang sepatutnya dilakukan oleh setiap isteri terhadap suami mereka.
Ketahuilah, bahawa baginda Rasul tidak pernah merasa sedih dan sakit hati dengan tindakan dan kebijaksanaan Khadijah, sama ada yang berhubungan dengan diri baginda Rasul secara peribadi, yang berhubungan dengan anak-anak dan rumahtangga, serta yang berhubungan dengan Islam dan kaum muslimin.
Mengapa baginda Rasul sentiasa merasa senang dan nyaman melihat kesemua kelakuan Khadijah?? Jawapannya mudah sahaja. Hal ini demikian kerana, Khadijah adalah seorang isteri yang serba utama. Khadijah tidak pernah mendustainya, tidak pernah merendahkannya, dan tidak pernah menjauhkan diri daripadanya - tidak kira dalam apa-apa keadaan sekalipun.
Hal-hal yang menggores hati dan menyakitkan perasaan baginda Rasul, sesungguhnya sangat jauh daripada berlaku menerusi Khadijah binti Khuwailid. Sebaliknya, Khadijah sentiasa berusaha melapangkan hati, lenyapkan kedukaan, menghibur dan menyabar-nyabari serta membantu setiap urusannya. Begitulah sifat dan sikap seorang isteri yang utama.
Saya yakin kita masihj ingat betapa mulia Khadijah binti Khuwailid ini di dalam pandangan Allah dan Jibril hingga merasa perlu untuk berkirim salam kepadanya. Sebagaimana sudah dinyatakan di awal bahagian ini bahawa jibril a.s. pernah berkata kepada baginda Rasul:
"Wahai Muhammad, tolonglah sampaikan salam Allah kepada Khadijah, juga salamku."
Kemudian, apabila baginda Rasul bertemu dengan Khadijah, disampaikannyalah pesan Jibril kepadanya:
"Wahai Khadijah, malaikat Jibril a.s. menyuruh aku agar menyampaikan salam Allah kepadamu, juga salam dari Jibril sendiri."
Apakah jawapan Khadijah binti Khuwailid?? Beliau hanya berkata:
"Kepunyaan Allahlah salam (keselamatan) dan daripada-Nya jualah datangnya salam, semoga keselamatan yang sama diberikan-Nya kepada Jibril a.s."
Menurut Ibnu Abdul Barr, terdapat pelbagai riwayat yang berhubungan dengan peristiwa tersebut. Sebahagian riwayat mengatakan baginda Rasul berkata kepada Khadijah:
"Wahai Khadijah, sesungguhnya Jibril a.s. berkirim salam kepadamu."
Sedang menurut riwayat yang lain mengatakan Jibril a.s. menyampaikan kepada baginda Rasul:
"Wahai Muhammad, tolonglah sampaikan salam dari Allah kepada Khadijah."
Namun begitu, tentang perbezaan lafaz ini tidaklah menjadi pembahasan kita di sini, kerana yang penting ialah bukti keutamaan Khadijah dalam pandangan Allah dan malaikat Jibril a.s. sudah jelas bagi kita semua.
Tidak ada orang yang dapat menafikan betapa mulianya Khadijah di sisi Allah, malaikat dan manusia. Kemuliaan seperti ini tidak diperolehi oleh orang-orang terawal yang memeluk islam (al-Sabiqun al-Awwalun), termasuk khalifah yang empat (al-Khulafa ar-Rasyidin). Mengapa sampai begitu tinggi dan agung Siti Khadijah?? Hal ini memang jelas sebabnya bagi kita, yakni sumbangan dan jasanya terhadap Islam dan baginda Rasul pada permulaan Islam. Oleh itu, kedudukan ini tidak mungkin dapat ditandingi oleh jasa atau amal apa pun selepas itu.
Jauh lebih penting daripada itu semua, Khadijah binti Khuwailid sendiri, adalah nikmat yang sangat besar bagi baginda Rasul sendiri, kerana di samping menjadi sahabat, pendamping, pembela baginya, Khadijah ialah isteri dan ibu kepada anak-anaknya serta pengurus rumah tangganya.
Barangkali ditinjau dari jangka masa yang Khadijah binti Khuwailid hidup bersama baginda Rasul, tidaklah terlalu lama berbanding dengan sebahagian sahabat-sahabat baginda yang lain, tetapi kedudukan dan tempat Khadijah seperti yang disebutkan di atas tentulah tidak mungkin ditandingi oleh sesiapa pun.
Sebenarnya, baginda Rasul hidup bersama Khadijah tidak lebih dari suku abad. Tetapi, pada tempoh yang dua puluh lima tahun itu, baginda Rasul benar-benar memerlukan seseorang yang mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat yang dimiliki Khadijah binti Khuwailid. Jadi, mustahil para sahabat lelaki dapat menyamai sifat-sifat tersebut.
Ketika baginda Rasul mengalami kegoncangan batin yang luar biasa, Khadijahlah yang sentiasa berada di sampingnya. Ketika baginda Rasul sedang melalui saat-saat yang sukar, Khadijahlah yang membantu dan menyara hidupnya. Ketika baginda Rasul terpaksa berjuang mengangkat senjata, Khadijahlah yang memberi semangat dan ketabahan kepadanya. Ketika baginda - sebagai manusia yang normal - memerlukan belaian dan cinta sejati, Khadijah mampu memberikan segala yang diperlukannya, mampu menyerahkan jiwa dan raganya demi kebahagiaan baginda.
Khadijah binti Khuwailid ialah seorang wanita dan isteri yang selalu disanjung dan dipuji oleh baginda, sama ada ketika hayatnya, begitu juga setelah wafatnya. Khadijah binti Khuwailid adalah satu-satunya wanita dan isteri yang pernah menerima "salam" daripada Allah Azza wa Jalla dan Khadijah binti Khuwailid ialah wanita yang sudah dijamin beroleh "istana" di dalam syurga, dan ini bererti beliau telah dijamin masuk syurga. Itulah Khadijah binti Khuwailid yang merupakan isteri teladan yang paling utama bagi setiap isteri dari dahulu hingga hari kiamat!
bersambung...
moga wanita sepertinya sentiasa menjadi teladan dan contoh buat kita..^_^
ReplyDeleteTerbaek artikel ni
ReplyDelete