assalamualaikum

sodiqi usrati...=)

Sunday, April 10, 2011

KEBERKATAN PERKAHWINAN

PADA SUATU KETIKA, ada seorang soleh yang seringkali menolak apabila ditawarkan kepadanya seorang wanita agar dikahwininya. Namun begitu, pada suatu hari, selepas ia tersedar daripada tidurnya, tiba-tiba dengan mendadak dia berkata: "Kahwinkanlah aku! Kahwinkanlah aku!" Tidak lama kemudian dia pun dikahwinkan. Orang ramai merasa pelik dengan perubahan pada diri orang soleh tersebut, lantas mereka bertanya padanya: "Mengapakah dengan tiba-tiba sahaja engkau ingin berkahwin, sedangkan sebelum ini engkau selalu sahaja menolak setiap kali disuruh berkahwin?"


Maka, orang soleh itu pun menceritakan bahawa sebenarnya dia telah bermimpi bahawa seolah-olah hari telah kiamat. Dia bersama dengan seluruh manusia yang ada di muka bumi berbaris bersama-sama di Padang Mahsyar. Dalam keadaan matahari yang sejengkal daripada ubun-ubun, mereka merasa tersangat dahaga sehingga hampir mematahkan leher-leher mereka kerana terlalu kekeringan.

Sekonyong-konyong dia terlihat sekumpulan anak kecil yang membawa gelas-gelas perak yang bertutup dengan sapu tangan daripada cahaya. Anak-anak itu berjalan beriring-iringan dan masuk di celah-celah kelompok manusia yang kehausan. Sambil itu mereka menghulurkan gelas-gelas tersebut dan memberi minum kepada orang yang menghulurkan tangan kepada mereka.

Maka, orang soleh itu pun menghulurkan tangannya kepada anak-anak kecil itu sambil merayu: "Berilah padaku seteguk air, kerana aku juga tersangat dahaga."


Tiba-tiba mereka menjawab: "Anda tidak mempunyai anak di antara kami. Kami hanya memberi minum kepada kedua-dua ibu bapa kami sahaja."


Lalu orang soleh itu bertanya lagi: "Siapakah kamu ini semua?"


Jawab mereka: "Kami ialah anak-anak kaum muslimin yang mati sewaktu kami masih kecil lagi."


Kemudian, terjagalah dia daripada mimpinya. Lantas terus sahaja dia terasa betapa besarnya hikmah mempunyai anak-anak, yang bakal menjadi pembela daripada penderitaan di Padang Mahsyar kelak. Dia pun, terasalah betapa ruginya dia tidak berkahwin selama ini.

Dewasa ini, sudah menjadi trend suka hidup membujang hingga ke hari tua, Istilah andartu atau pun bujang terlajak, bukan lagi suatu istilah yang asing dalam masyarakat Melayu kini. Malah, ada yang bangga dengan gelaran itu sehinggakan mereka dapat mewujudkan satu persatuan bagi andartu-andartu dan bujang-bujang yang sudah terlalu ramai bilangannya.


Bukannya kerana tiada pasangan, tetapi mereka sengaja tidak mahu terikat dengan perkahwinan kerana kononnya akan menghalang karier mereka. Itulah falsafah mereka. Bagi mereka, apabila sudah memiliki kereta, rumah dan segala keselesaan yang diperlukan, tidak perlu lagi mereka berkahwin kerana ianya bukan sahaja mendatangkan banyak masalah, malah akan menyekat kebebasan mereka selama ini.

Namun, sejauhmanakah seseorang itu boleh menahan fitrah semulajadi seorang manusia iaitu ingin berkahwin?? Allah SWT yang menciptakan kita tentu lebih tahu tentang keinginan fitrah semulajadi kita. Allah SWT menyuruh berkahwin kepada mereka yang layak dan memiliki syarat-syarat yang telah ditentukan oleh syariat, seperti berkemampuan menanggung nafkah anak isteri dan sebagainya.

Mereka yang sengaja tidak manu berkahwin, walaupun sudah cukup syarat-syaratnya, ialah mereka yang menolak ganjaran pahala yang terlalu banyak yang Allah kurniakan melalui perkahwinan dan berkeluarga.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Wahai Fatimah, setiap wanita yang meminyak rambut, menyikat, mencuci pakaian anak dan keluarganya, membersihkan badan anak-anaknya, maka Allah akan membalas perbuatan kebajikannya itu dengan pahala mengikut jumlah rambut anaknya itu dan menghapuskan pula dosa-dosanya dan menjadikan dia berseri-seri di akhirat di mata orang yang melihatnya."
(Riwayat Abu Hurairah)


Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud:


"Apakah tidak rela salah seorang daripada kamu jika sedang mengandung dan suaminya redha padanya, maka baginya pahala yang sama dengan orang yang puasa dan jihad fisabilillah. Kemudian apabila dia melahirkan anaknya, maka gugur bersih segala dosanya dan jadilah dia bersih tanpa dosa sepertimana sewaktu dia mula-mula dilahirkan oleh ibunya dahulu (sewaktu masih bayi)."
(Riwayat At-Tabrani)


Banyak lagi ganjaran-ganjaran pahala yang Allah SWT kurniakan kepada isteri-isteri yang berkhidmat kepada suaminya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:


"Mana-mana wanita yang berdiri di atas dua kakinya membakar roti untuk suaminya sehingga muka dan tangannya kepanasan oleh api, maka diharamkan muka dan tangannya daripada bakaran api neraka."


Bukan sahaja orang yang tidak berkahwin ini rugi kerana kekurangan pahala berbanding mereka yang sudah berumah tangga, malah mereka juga akan merasa menyesal kerana mereka tidak mempunyai anak yang akan mendoakan kebahagiaan dan keselamatan mereka di akhirat kelak. Bukankah doa daripada anak-anak yang soleh di dunia dapat mengurangkan penyeksaan yang kita tanggung di alam barzakh??

Bahkan menurut kisah yang dipaparkan di atas tadi, jika anak-anak kecil daripada kaum muslimin yang mati sedangkan kedua-dua ibu bapanya redha terhadap kematian itu, maka anak-anak kecil inilah yang akan mencari serta menolong kedua-dua ibu bapa mereka di Padang Mahsyar kelak.

Begitulah rahmat Allah SWT ke atas hamba-hamba-Nya. Memanglah kematian anak merupakan satu ujian yang berat kepada kedua-dua ibu bapa, tetapi Allah yang Maha Mengetahui akan mengurniakan kelebihan-kelebihan kepada mereka yang dapat bersabar dengan ujian tersebut.

Hadis riwayat At-Tabrani, maksudnya:


"Tiada dua orang Muslim yang kematian tiga orang daripada anak-anak mereka yang belum baligh, melainkan akan dibawakan anak-anak itu pada hari kiamat sehingga sampai ke pintu syurga."

Maka dikatakan kepada mereka, "Masuklah kamu ke dalam syurga itu!"

Lalu mereka berkata: "Kami tidak akan masuk sehingga ibu bapa kami masuk bersama."

Maka dikatakan kepada mereka: "Masuklah ke dalam syurga itu bersama-sama ibu bapa kamu."


Demikiankah di antara kelebihan pahala untuk orang yang berkahwin. Maka, berkahwinlah sesiapa yang sudah cukup syaratnya. Orang-orang yang benci kepada kahwin ini termasuk juga orang yang membenci sunnah Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW mengingatkan lagi, maksud sabda baginda:


"Sesiapa yang tidak berkahwin kerana takut miskin, maka dia bukanlah daripada umatku."
(Riwayat Ad-Dailamy dan Abu Daud).







lagu yang dekat bawah ni maybe x brape nak ada kaitan ngan entry kali ni kott, tp xpe...layan je.....=)

No comments:

Post a Comment