assalamualaikum

sodiqi usrati...=)

Wednesday, April 6, 2011

Bila CINTA HAKIKI Bertakhta di Hati



RABI'AH AL-ADAWIYAH merupakan seorang wanita waliyullah. Wanita yang solehah ini juga bersuamikan seorang lelaki yang soleh. Namun begitu, rumah tangga kedua-duanya tidak kekal lama kerana beberapa lama kemudian, suaminya dipanggil menghadap Ilahi.

Dikisahkan bahawa setelah suami Rabi'ah al-Adawiyah meninggal, maka Hassan al-Basri dan teman-temannya datang ke rumahnya dan mereka dipersilakan masuk. Kemudian ditutupnya tabir dan ia duduk di belakangnya seraya berkata: "Siapa yang paling pintar di antara kalian maka ia ialah suami saya."

Maka, mereka menjawab: "Hassan al-Basri." Rabi'ah berkata: "Bila kamu dapat menjawab pertanyaanku maka aku adalah milikmu."


Hassan segera berkata: "Tanyakanlah, semoga aku dapat menjawabnya."

Rabi'ah bertanya: "Apabila aku mati dan keluar daripada dunia, apakah aku nanti keluar dengan beriman atau tidak?" Hassan menjawab: "Itu masalah ghaib dan tidak seorang pun mengetahuinya kecuali Allah."


Rabi'ah bertanya lagi: "Bila aku telah terletak di liang kubur dan ditanya oleh malaikat Mungkar dan Nakir, apakah aku nanti dapat menajwab atau tidak?" Hassan menjawab: "Itu hal yang ghaib dan tidak ada yang mengetahui kecuali Allah."

Rabi'ah bertanya: "Apabila manusia telah dikumpulkan di hari Kiamat, diberikan kepada mereka catatan amalnya masing-masing, apakah dengan tangan kananku atau tangan kiriku aku akan menerima catatan amalku?" Hassan menjawab: "Itupun barang ghaib juga."


Lalu Rabi'ah berkata: "Wahai Hassan, barang siapa tidak dapat menjawab pertanyaanku, jangan berfikir untuk dapat mengahwiniku."

Kemudian Rabi'ah bertanya untuk kali terakhir: "Hai Hassan, dalam berapa bahagiankah Allah menciptakan akal?"


"Sepuluh bahagian, sembilan untuk jenis lelaki dan satu bahagian untuk perempuan," jawab Hassan.

Rabi'ah bertanya lagi: "Dalam berapa bahagiankah Allah menciptakan nafsu?" Hassan menjawab: "Sepuluh bahagian, sembilan bahagian untuk perempuan dan satu bahagian untuk lelaki."


Rabi'ah berterus terang: "Hai Hassan, aku, seorang perempuan, dapat menguasai sembilan syahwat dengan hanya satu bahagian akal sedang kamu pihak lelaki tidak dapat menguasai satu bahagian syahwat dengan sembilan bahagian akal yang kamu dapat."

Akhirnya, keluarlah Hassan dari rumah Rabi'ah al-Adawiyah tanpa diterima pinangannya.

Begitulah kisahnya wanita yang solehah, seorang waliyullah, orang yang sangat hampir dengan Allah SWT. Cinta, pengorbanan dan pergantungannya sangat tinggi kepada Allah SWT. Seluruh jiwanya diserahkan kepada Khaliq pemilik dirinya. Dia, wanita solehah yang dipilih oleh Allah, telah tercatit dalam diari orang-orang soleh iaitu mereka yang banyak baktinya kepada Allah SWT, kuat beribadah, terlalu cinta syurga, takutkan neraka, selalu merindui Allah sehingga ia mengukirkan syair-syair yang indah mengisahkan percintaannya dengan Pemilik dirinya.

"Ada dua cinta dalam diri,
Cinta rasa dan cinta haq,
Cinta rasa bila berdepan dengan-Mu,
Dan cinta haq bila hijab terbuka,
Dan kulihat wajah-Mu."


Dan lagi doa Rabi'ah:

"Tuhanku, apa saja yang hendak Engkau kurniakan kepadaku berkenaan dunia, berikanlah kepada musuhku dan apa saja kebaikan yang hendak Engkau kurniakan kepadaku berkenaan akhirat, berikanlah kepada orang-orang yang beriman kerana aku hanya hendakkan Engkau kini. Biarlah aku tidak dapat syurga atau neraka, aku hanya ingin pandangan Engkau padaku saja. Doaku pada-Mu ialah sepanjang hayatku. Berilah aku kiranya dapat mengingati-Mu dan apabila matiku kelak, berilah aku dapat memandang-Mu."


Begitulah cintanya yang mendalam, takut pada azab-Nya dan risau akan hari pembalasan, Rabi'ah al-Adawiyah menjual cinta manusia, Rabi'ah tidak terpaut pada pinangan Hassan al-Basri. Cintanya pada Allah melebihi cinta pada makhluk. Sungguh ajaib cinta hamba Allah ini. Sedangkan Hassan adalah seorang ulama', juga seorang waliyullah yang terkenal dengan kehebatan ilmunya, taqwanya dan budi bahasanya. Rabi'ah sanggup mengorbankan dunia yang sementara ini demi nikmat akhirat yang abadi. Rabi'ah merisaukan hari pembalasan dan hidup yang kekal lebih dari urusan dunia, perkahwinan, rumah tangga, suami dan anak-anak. Sungguh tinggi nilai mas kahwinnya, tiada bandingan dengan harta benda, kecantikan, pangkat dan lain-lain.

Rabi'ah, insan yang mencapai ketenangan di sisi Allah. Baginya bukan harta dunia yang memberi kebahagiaan atau matlamat hidupnya. Namun begitu, apabila ketenangan jiwa dicapai, hijab terbuka, itulah cita-citanya dan kebahagiaan yang dicari. Ia telah mengusir dunia daripada hatinya dan daripada lidahnya juga dari alam fikiran. Wanita ini telah melalui kesusahan dan kesakitan, untuk menyucikan dirinya. Susah dan kesakitan itulah makanannya.

Sepanjang hayatnya, beliau menangis dan terus menangis. Penunjuk hatinya ialah lagu-lagunya dan syair-syair yang mengagung-agungkan Allah SWT. Demikianlah keadaanya dari hari ke hari, dari siang sampai ke malam.

Amat jauh kita ketinggalan dalam perjalanan hidup ini. Dapatkah kita modelkan diri kita sebagai Rabi'ah al-Adawiyah, Siti Khadijah, Siti Aisyah dan Siti Fatimah pada zaman ini?? Hanya penyelamat dan bekal kita dalam perjalanan ini adalah merintis semula jalan-jalan yang telah mereka lalui. Hidup yang penuh ketaqwaan, keimanan dan jauh daripada maksiat lahir dan batin, dan itulah harta benda kita.

Jalan menuju ketaqwaan inilah yang penuh dengan ranjau dan duri. Allah SWT akan menguji sepertimana diuji orang-orang sebelum ini. Hanya sabarlah merupakan pakaian kita. Kesusahan dan penderitaan  untuk menegakkan hukum Allah dalam hidup kita adalah terlalu sedikit berbanding dengan kesusahan dan keazaban di akhirat kelak. Biografi Rabi'ah al-Adawiyah patut menjadi contoh untuk dihayati dalam hidup kita, betapa tabahnya ia mengharungi hidup selepas kematian ibu dan ayahnya. Kesusahan dan penderitaan yang mendalam di jiwa ialah didikan tarbiyah daripada Allah SWT agar hanya Dia semata-mata yang dicintai.


No comments:

Post a Comment