assalamualaikum

sodiqi usrati...=)

Tuesday, March 29, 2011

AL-SYAIMA' BINTI HARITH AL-SAADIYYAH (Adik-beradik susuan Rasulullah SAW)

Kita tidak mungkin melupakan siapakah al-Syaima' binti Harith al-Saadiyyah. Dia ialah anak kandung Halimah al-Saadiyyah yang juga bererti saudara Baginda Rasul SAW sesusuan. Setiap kali kita mendengar Halimah al-Saadiyyah maka, dengan sendirinya kita akan teringat kepada puterinya, al-Syaima' ini.

Meskipun Muhammad seorang anak yang tidak berayah dan beribu, tidak punya abang dan tidak punya adik - hidup sebatang kara - jika ditinjau daripada segi hubungan darah. Tetapi, sebenarnya Baginda mempunyai ramai saudara sesusuan.Tahukah anda siapa saudara sesusuan Baginda SAW??

Menurut riwayat yang diperolehi daripada Yunus bin Bukair dan yang selainnya, Ibnu Ishaq mengatakan: "Hubungan saudara sesusuan Rasul melalui Halimah al-Saadiyyah ramai, antara lain Abdullah bin Harith, Anisah binti Harith, dan Huzaifah bin Harith, dan yang terakhir inilah yang dikenali dengan panggilan al-Syaima' binti Harith al-Saadiyyah yang sedang kita perkataan pada bahagian ini.

Menurut ahli-ahli sejarah, kata Ibnu Ishaq lagi, al-Syaima' binti Harith inilah yang membantu ibunya, Halimah al-Saadiyyah, untuk mengasuh dan menjaga Muhammad SAW ketika kecil. Jasa dan sumbangan al-Syaima' membentuk sahsiah Muhammad SAW tidak sedikit dan hal ini dikenali oleh para ahli sejarah. Maka, sebagai mengenang dan menghargai jasa dan sumbangan itulah, ramai di antara kaum muslimin menamakan anak mereka dengan namanya, al-Syaima'.

Ketika menidurkan Muhammad SAW, al-Syaima' menyanyikan dengan lirik seperti di bawah ini :

"Oh Tuhan, biarkanlah Muhammad terus dengan kami.
Sehingga dia membesar dan dewasa sebagai pemuda tampan.
Seterusnya menjadi ikutan yang ditaati manusia.
Hancurkanlah orang-orang yang memusuhinya.
Juga orang-orang yang dengki terhadapnya.
Kemudian, anugerahilah kemuliaan abadi kepadanya."

Nyanyian ketika menidurkan si anak yang bernama Muhammad oleh Syaima' ini adalah suatu doa dan pengharapan daripada seorang pengasuh yang sangat menyayangi. Maka, apabila Urwah al-Azadiy menyanyikan semula lirik-lirik tersebut, lantas diakhirinya dengan ucapan: "Betapa bahagianya al-Syaima' seandainya doa dan pengharapan itu dikabulkan oleh Allah SWT."
Sedangkan menurut Ibnu Sa'ad pula, nyanyian itu lahir ketika al-Syaima' menidurkan Nabi di pangkuannya.

Lain pula riwayat yang disebut oleh Abu Umar, yakni ketika Baginda SAW dan kaum muslimin menawan suku Hawazin, tiba-tiba ada seorang wanita mengaku saudara Baginda Rasul. Para sahabat terkejut lalu menjumpakan wanita itu dengan Baginda SAW.

Apabila sudah berhadapan dengan Baginda Rasul, wanita itu berkata: "Wahai Muhammad, tidakkah engkau mengenali aku? Aku ialah saudaramu, wahai Muhammad. Akulah yang mengendong dan menjagamu waktu kecil. Aku ialah al-Syaima' al-Saadiyyah, puteri ibu kita, Halimah al-Saadiyyah."

Setelah mendengar pengakuan wanita itu, Baginda terus menangis, sedih bercampur terharu. Baginda pun menghamparkan kain di tanah seraya mempersilakan al-Syaima' duduk di atasnya. Begitulah sambutan dan penghargaan Baginda kepada seorang wanita yang ternyata ialah saudara sesusuannya.

Sejurus selepas itu, dalam keadaan yang masih menangis, Baginda Rasul berkata: "Wahai saudaraku, kalau engkau mahu pulang ke pangkuan kaummu, aku akan membawamu ke sana. Namun, aku harap engkau sudi tinggal bersama kami di sini, menjadi seorang saudara yang dimuliakan dan dikasihi. Tetapi itu pun sekiranya engkau tidak keberatan."

Al-Syaima' rupanya lebih kuat untuk pulang ke pangkuan kaumnya, dan hal ini disampaikannya kepada Baginda Rasul: "Aku ingin pulang kepada kaumku." Dan pada waktu itu jugalah al-Syaima' masuk Islam. Sebelum wanita itu dihantar pulang, Baginda SAW menghadiahkannya beberapa ekor unta kibasy dan tiga orang hamba lelaki dan perempuan untuk dibawanya pulang ke pangkuan kaumnya.

Kita juga dituntut supaya menghormati orang-orang yang banyak berjasa kepada Baginda SAW. Kita hendaklah menyayangi orang-orang yang disayangi oleh Baginda SAW. Mencintai Rasul  bermakna mencintai orang-orang yang Baginda cintai.

Setiap orang yang turut terlibat mengasuh, menjaga, dan mendidik Baginda Rasul, sama ada ketika Baginda masih kecil, begitu juga mereka yang membantu dan membelanya setelah dewasa dan setelah menjadi Rasul, hendaklah kita hormati dan sanjungi.

Adalah sesuatu yang terpuji dan digalakkan memuji dan menyebut-nyebut keutamaan dan kemuliaan orang yang memang benar-benar mempunyai keutamaan dan kemuliaan. Hal yang jelas, hanya orang yang utama dan mulia sahajalah yang mengenali keutamaan dan kemuliaan orang lain. Hanya jauharilah yang mengenal manikam, dan butiran emas tidak akan dimakan itik.

Wahai kaum muslimin, berapa ramaikah antara kita yang terus mengingati serta mengenang jasa-jasa dan kebaikan yang ditumpahkan al-Syaima' kepada Baginda SAW?? Mungkinkah kita akan melupakan ini semua? Terasakah di hati kita betapa cinta dan kasihnya Baginda SAW terhadap wanita ini??

Ingatkah lagi kita siapa wanita yang pernah mengasuh dan membesarkan Baginda Rasul? Bukankah semua ini merupakan isyarat supaya kita menghormati dan menyayangi kaum wanita?? Mari kita kemukakan semula hadis Rasulullah SAW yang amat masyhur:

"Sesungguhnya, syurga itu di bawah telapak kaki kaum ibu."



Monday, March 28, 2011

HALIMAH AL-SAADIYYAH (Ibu Susuan Rasulullah SAW)



Semua penulis buku sejarah Nabi Muhammad SAW tidak mungkin lupa menulis sedikit sebanyak tentang peranan seorang wanita kampung yang bernama Halimatul dari suku al-Saadiyyah, kerana memang wanita ini tidak mungkin dipisahkan daripada keperibadian Muhammad SAW. Dalam erti kata lain, keperibadian Nabi SAW ialah pantulan daripada keperibadian Halimah al-Saadiyyah, ibu susuan Baginda selama dua tahun - jika tidak semua, setidak-tidaknya sebahagian dari sahsiah Baginda Rasul SAW.

Pada hakikatnya, Allah SWT telah menentukan Halimah menjadi ibu susuan Nabi SAW walaupun pada zahirnya hal itu hanya merupakan suatu kebetulan.

Ketika Halimah dan kawan-kawannya datang ke kota Makkah mencari kalau-kalau ada ibu bapa yang hendak mencari ibu susuan kepada anak mereka yang baru lahir. Tetapi, setelah mencari ke sana ke mari bertanya dari rumah ke rumah di sekitar kota Makkah ternyata tidak ada orang yang hendak menyerahkan bayi untuk disusukan Halimah. Akhirnya beliau berjumpalah dengan seorang bayi yang bernama Muhammad cucu kepada Abdul Muttalib yang sudah tidak mempunyai ayah ketika dia dilahirkan. Maka, anak yatim inilah yang ditemui Halimah di Makkah untuk diasuh dan disusukannya selama dua tahun.

Halimah al-Saadiyyah adalah seorang Bani Asad bin Bakr Hawazin, dan garis salasilahnya bersambung kepada Qais Aylan. Abdul Muttalib, datuk kepada bayi yang baru lahir ini, adalah seorang yang bijaksana dan dapat mengenal hati budi seseorang walaupun baru sekali berjumpa.

Sesungguhnya, Halimah al-Saadiyyah adalah seorang wanita yang penyayang, lemah lembut dan berbudi bahasa. Seandainya Halimah bukan seorang yang baik, sudah tentu Abdul Muttalib tidak mahu menyerahkan cucunya yang baru lahir itu, Muhammad dan cucunya yang lain, Abu Sufyan kepada wanita itu.

Empat tahun lamanya Muhammad berada di bawah asuhan dan jagaan Halimah. Luar biasa sekali kepandaian Halimah dalam hal mendidik anak, mulai daripada akhlak hingga kepada kebersihannya, padahal Halimah hanya seorang wanita kampung. Hal ini ternyata, apabila hasil didikannya itu menjadi seorang Rasul dan makhluk yang paling berbudi antara sekalian umat manusia daripada Adam hingga hari kiamat.

Halimah menanamkan sifat jujur dan amanah kepada Muhammad. Setelah berumur empat tahun satu bulan, Halimah pun menyerahkan kembali Muhammad kepada keluarganya.

Selama Muhammad tinggal bersama Halimah, banyak sekali perubahan yang berlaku dalam hidup wanita kampung itu. Dalam erti kata lain, berkat yang dibawa anak yatim ini memang terasa sekali dan hal itu dapat dilihat oleh orang lain juga.

Cinta dan kasih sayang Nabi SAW kepada wanita yang telah mengasuh, menyusukan dan mendidiknya selama bertahun-tahun memang tidak mungkin dapat dilupakannya selama hayat dikandung badan. Hal ini lebih jelas terbukti apabila seorang utusan datang kepada Baginda Rasul menyampaikan berita mengenai kewafatan ibu sususannya itu. Tanpa dapat menyembunyikan kesedihannya, Baginda Rasul mencucurkan airmata di hadapan para sahabat yang ada di sekelilingnya.

Utusan itu juga menyampaikan berita tentang empat orang saudara sesusuan Baginda, dua lelaki dan dua perempuan, amat-amat memerlukan sesuatu daripada Baginda Rasul. Tanpa berfikir panjang, Baginda memberi apa yang mereka perlukan untuk dibawa oleh utusan tadi.

Setelah menyaksikan kesedihan Baginda, juga setelah memberi permintaan saudara-saudara sesusuannya, utusan itu berkata dengan rasa terharu yang hampir-hampir membuatnya tidak mampu berkata-kata dengan jelas.

"Demi Allah, wahai Muhammad, engkaulah manusia yang paling baik, sama ada ketika kecil, begitu juga setelah dewasa. Engkau membawa berkat kepada semua orang."

Sebaik sahaja Baginda mendengar berita kewafatan ibu susuannya, Halimah al-Saadiyyah, tentu sahaja Baginda terkenang masa-masa kecilnya bersama-sama wanita yang lembut itu. Kasih sayang dan asuhan yang diberikannya memang merupakan pemberian yang tidak mungkin dapat dinilai atau diharga dengan apa-apa pun yang bersifat material. Semua itu Baginda perolehi daripada wanita kampung itu, juga saudara-saudara sesusuannya yang lain. Namun begitu, kini wanita itu sudah pergi untuk selama-lamanya.

Kelemah-lembutan, cinta kasih, keikhlasan yang memang menjadi sifat Halimah al-Saadiyyah telah diberikan kepada semua anak susuannya, termasuk kepada Baginda Rasulullah sendiri. Setiap anak yang pernah menjadi anak susuan kepada wanita agung itu pasti merasakan kesan yang sangat mendalam daripada peribadi wanita yang sudah pergi ke rahmatullah itu. Maka, tidak aneh apabila mendengar kewafatannya, airmata kesedihan langsung jatuh daripada kelopak mata Baginda SAW.

Sesungguhnya, kisah Halimah al-Saadiyyah ini ingin saya persembahkan kepada semua wanita yang memelihara dan menjaga anak yatim dengan penuh perhatian, cinta kasih dan kelemah-lembutan. Ketahuilah, bahawa setiap orang yang mengorbankan segala kepentingan demi anak yatim akan beroleh ganjaran yang amat besar, sama ada ketika hidup di dunia, lebih-lebih lagi di hari akhirat. Memelihara anak yatim ialah kerja yang mulia dan menguntungkan, sekalipun pada perkiraan orang kebanyakan yang disasari kiraan matematik akal merugikan.

Manakala, kepada mereka yang menjadi anak susuan bagi seorang wanita, ingin pula saya sampaikan sebuah hadis Nabi SAW yang menjelaskan bagaimana sepatutnya anda mengenang jasa dan kebaikan  yang diberikan oleh ibu susuan anda itu.

Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Abu Ya'la menerusi Ammah bin Thawban dan daripada Abu Tufail, bahawa Nabi SAW bersabda, yang maksudnya:

"Ketika Baginda Rasul sedang berada di Jaaranah, Baginda mengagih-agihkan daging kepada orang ramai. Tiba-tiba seorang wanita tua datang ke tempat itu. Apabila wanita itu sudah hampir, segera Nabi SAW membentangkan kain seraya mempersilakan wanita itu duduk. Lalu wanita itu pun duduk dia atas kain tersebut. Aku bertanya kepada orang yang ada di situ: "Siapa sebenarnya wanita tua itu? Mereka memeberitahu aku: "Wanita ini ialah ibu susuan Rasulullah SAW."

Hadis tersebut diambil daripada kitan "al-Ishabah" jilid VII, halaman 585.

Bersama-sama ini, diselitkan lagu Halimatul Saadiah dendangan kumpulan in-team ni... hayatilah bait-baitnya... =)




.:: Hukum M.E.N.G.U.A.P ::.



Assalamualaikum..

Kali ini, entryku mengenai MENGUAP. Kenapa ya?? hehe.. Begini alkisahnya, tadi aku ada terbaca di salah satu laman web yang famous bagi umat Islam, especially di Malaysia ni. Apa?? Iluvislam la... :) Sebenarnya tajuk besar entry yang aku baca di Iluvislam 2, bukanlah mengenai MENGUAP, sebaliknya Bebaskan Diri dengan Syariat. Isu MENGUAP ni hanyalah contoh sampingan sahaja bagi entry tersebut. Namun begitu, tidak salah rasanya untukku menjadikannya sebagai tajuk besar di 'pondok usang'ku ini.. =)

Hrmmm...aku membuat keputusan untuk meng'entry'kan tajuk ni disebabkan 'hal' yang tersebut di atas seringkali dilakukan oleh kita sebagai seorang manusia yang normal. Cuma, mungkin caranya sahaja yang membezakan sama ada elok atau sebaliknya.

Sehubungan dengan itu, tidak lama dahulu aku juga pernah membaca satu artikel mengenai MENGUAP ini di salah satu akhbar tempatan di ruang kesihatan. Menurut artikel itu, MENGUAP ini juga boleh berjangkit dari seseorang individu kepada individu yang lain. Bagaimana caranya?? Caranya hanyalah dengan melihat, memikirkan, membaca, dan menulis perkataan MENGUAP. Pelik?? Mungkin agak peliklah...tapi jika difikir-fikirkan dan diamat-amati, ada betulnya juga.

Namun begitu, apakah pandangan Islam mengenai MENGUAP ini??? hrmmm...jom kita tengok pandangan Islam mengenai isu ini.


Daripada Abu Hurairah r. a. bahawasanya Baginda Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud: Sesungguhnya Allah s.w.t suka orang yang bersin, dan membenci orang yang menguap. Maka apabila seseorang kamu bersin, lalu dia mengucapkan 'Alhamdulillah' , maka adalah hak atas setiap Muslim yang mendengarnya pula mengucapkan 'Yarhamkallah'. Walaupun menguap itu adalah daripada syaitan. Maka apabila seseorang menguap, hendaklah dia menahannya sekadar termampu. kerana apabila seseorang itu menguap, syaitan akan mentertawakannya. 
(Hadith Riwayat Bukhari)

Daripada Abu Said Al-Khudri r. a., katanya : Telah bersabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Apabila seseorang menguap, hendaklah dia meletakkan tangannya pada mulutnya, kerana sesungguhnya syaitan itu akan masuk melalui mulut yang terbuka. 
(Riwayat Imam Muslim)

Nabi Muhammad s.a.w bersabda maksudnya: Sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang bersin, dan membenci orang-orang yang menguap. Maka apabila seseorang itu menguap, jangan sampai berbunyi, kerana perbuatan itu daripada syaitan yang mentertawakan kamu. 
(Hadith riwayat Imam Muslim, Ahmad dan At-Tirmidzi)

Daripada Abdullah bin Az-Zubair r. a. katanya: Telah bersabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Sesungguhnya Allah s.w.t membenci sesiapa yang mengangkat suara ketika menguap dan bersin. 
(Hadith riwayat Imam Muslim, Ahmad dan At-Tirmidzi)


Jadi, antara pengajaran yang boleh diambil daripada hadis di atas, ialah:

1) Berusaha menahan MENGUAP sekadar termampu terutamanya ketika solat.

2) Meletakkan tangan di atas mulut untuk menahan MENGUAP sama ada di dalam atau di luar solat.

3) Makruh mengeluarkan suara dan mengangkat bunyi ketika MENGUAP atau bersin.

4) Sunat ketika bersin mengucapkan 'alhamdulillah' dan orang yang mendengarnya pula mengucapkan 'yarhamkallah' bagi lelaki dan 'yarhamkillah' bagi perempuan.

5) Sunat mengucapkan 'astaghfirullah' selepas MENGUAP.

So, bolehlah diamal dan dipraktikkan mana-mana yang berkaitan dengan diri masing-masing. But, almost tu rasanya semua orang menghadapinya. Then, marilah kita beramal dengan sunnah Rasul-Nya!!! :)

Ok, berbalik kepada hukum MENGUAP ni.. (panjang pulak nak boleh sampai kepada point sebenar..hehe) Baiklah, MENGUAP ini terbahagi kepada lima hukum, iaitu wajib, haram, sunat, makruh dan juga harus. Bagaimana ya?? =) mari kita selongkar bagaimana caranya semua itu boleh terjadi...

• Menguap jadi WAJIB sekiranya dengan tidak menguap boleh memudaratkan tuan punya badan. Katalah kita terlalu mengantuk... menguap adalah tindakan biologi seseorang yang mengantuk. Tetapi oleh kerana kita malu (di khalayak ramai atau di majlis-majlis tententu), kita menahan diri untuk menguap sehingga ke tahap yang boleh memudaratkan (jatuh pengsan atau sakit kepala). Maka ketika itu wajib kita menguap. Wajib ertinya, perlu menguap dan diberi pahala. Sekiranya tidak menguap jatuh dosa.


• Menguap jatuh HARAM sekiranya kita pura-pura menguap untuk menyakitkan hati orang lain. Katalah semasa mendengar satu ceramah, kita bosan dan benci pada penceramahnya. Lalu kita pura-pura menguap untuk 'memberitahu' penceramah kita benci atau bosan. Menguap ketika itu menjadi isyarat untuk 'menghalau' atau menyuruh si pencermah sakit hati dan berhenti. Pada waktu itu menguap jatuh haram. Dibuat berdosa, ditinggalkan berpahala.


• Menguap hukumnya SUNAT jika dilakukan mengikut sunnah Rasulullah, yakni dengan menutup mulut dan membaca taawwuz . Kerika itu berdoa kelihatan sopan dan tertib sekali. Bukan sahaja indah dipandang mata manusia, tetapi disukai oleh Allah. Dengan menguap seperti itu, hukumnya sunat. Sangat digalakkan dan diberi pahala.


• Menguap hukumnya HARUS dalam mana-mana posisi tubuh. Harus menguap dalam keadan berdiri, duduk atau berbaring. Tidak semestinya menguap mesti dalam keadaan duduk. Ertinya, boleh menguap dengan 'gaya bebas'. Harus hukumnya.


• Bila menguap jatuh MAKRUH? Perbuatan makruh, walaupun tidak haram, tetapi ntidak disukai Allah dan hodoh pada pandangan manusia. Menguap jatuh makruh sekiranya dilakukan tanpa sopan misalnya membuka mulut lebar-lebar tanpa menutupnya. Hingga dengan itu kelihatan begitu buruk dan cela dipandang orang. Allah tidak suka cara menguap begitu. Kebencian Allah ke atas perkara-perkara makruh, walaupun tidak berdosa tetapi elok sangat ditinggalkan. Malah, jika ditinggalkan berpahala pula.

Makanya sekarang, sesudah diketahui hukum-hukumnya.. marilah kita beramal dengan apa yang sepatutnya dilakukan oleh individu yang bergelar MUSLIM dan MUKMIN..! 

Akhir kalam, SELAMAT BERAMAL!!!!




 





UMMU AIMAN (Wanita yang turut mengasuh Rasulullah SAW)

Tidak semua anak yang ditinggal mati oleh ibu bapanya beroleh tempat bermanja sebagai pengganti ibu kandungnya. Tetapi antara anak yatim piatu yang bernasib baik beroleh pengganti ibunya yang sudah pulang ke rahmatullah ialah Muhammad SAW - ditinjau daripada aspek kasih sayang dan cinta - kerana adanya Ummu Aiman di dalam keluarganya.

Ketika Muhammad SAW masih kecil, penduduk Makkah dikejutkan oleh serangan tentera bergajah. Penduduk Makkah saling membantu menentang tentera bergajah itu. Manakala, Aminah binti Wahab, ibu kandung Muhammad SAW, sedang pergi menyendiri (beruzlah) untuk mencari kedamaian jjiwa dan ketenangan batin daripada hiruk-pikuk kota Makkah.

Mengapa Aminah pergi menyendiri menjauhi kebisingan kota Makkah yang memang selalu dikunjungi orang itu? Sebenarnya, kepergian Aminah itu tidak lain kecuali untuk mencari kedamaian jiwa dan ketenangan batin; sedangkan faktor ini amat besar pengaruhnya terhadap janin yang ada di dalam kandungan seseorang ibu.

Betapa bahagianya sekiranya anak yang sedang dikandung Aminah itu lahir ke dunia. Tentu dia akan menjadi penawar jiwa bagi pasangan suami isteri Abdullah dan Aminah, istimewa pula anak pertama hasil perkongsian hidup mereka. Namun begitu, apa yang diharap berlainan dengan kenyataan, yakni sebelum Muhammad lahir, ayahnya telah terlebih dahulu pulang ke rahmatullah. Kegembiraan menyambut kelahiran zuriat pertama tidak dapat dikongsi Aminah bersama suami yang dikasihinya.

Tidak ada isteri di dunia ini yang tidak sedih ditinggalkan oleh suami yang dikasihinya. Begitulah halnya Aminah ini, beliau juga tidak terkecuali untuk merasainya. Lebih-lebih lagi perkongsian hidupnya dengan Abdullah, suami tercinta, belum beberapa lama.

Anak yang baru lahir ini bak sinar jernih, bersih yang benar-benar menjadi penawar bagi si ibu yang baru kematian suami itu. Duka ditinggal mati suami agak berkurang sebaik sahaja Muhammad lahir ke dunia.

Muhammad SAW dilahirkan sebagai yatim, tetapi Allah telah menjadikan si anak yatim ini sebagai tempat menumpahkan kasih sayang semua orang. Setiap orang yang terpandang wajahnya, timbul rasa sayang kepadanya.

Ummu Aiman, seorang wanita hamba daripada suku Habsyiy yang berkulit hitam, sudah lama menjadi pembantu di rumah pasangan Abdullah-Aminah, ibu bapa Muhammad SAW. Setelah kewafatan ayahnya, maka dengan sendirinya Ummu Aiman menjadi hambanya.

Daripada wanita-wanita yang jatuh sayang kepada Muhammad SAW, Ummu Aimanlah yang paling sayang dan hiba melihat nasibnya. Hal ini barangkali kerana, dia telah lama mengikuti perkembangan si anak, juga kerana ingin membalas kebaikan ibu bapanya atau mungkin kerana dia seorang yang pada dasarnya amat penyayang terhadap kanak-kanak.

Tanpa merasa kekok dan janggal, Ummu Aiman mengasuh dan mendidik Muhammad dengan cinta, kasih sayang dan perasaan hiba. Dia memperlakukan Muhammad benar-benar seperti anak kandungnya sendiri. Ummu Aiman sudah jatuh sayang kepada Muhamamd lebih dari sekadar yang biasa. Ia ingin tetap bersamanya untuk selama-lamanya.

Namun begitu, hal yang diharapkan oleh Ummu Aiman ini tidak berlaku, kerana Muhammad SAW kemudian telah dibawa oleh ibu susuannya ke tempat yang jauh daripada pusat kota Makkah. Perpisahan ini amat mendukacitakan Ummu Aiman. Tetapi, apalah haknya terhadap anak tuannya; bukankah dia hanya seorang hamba di rumah itu??

Perpisahan ini dapat dilalui Ummu Aiman dengan penuh kesabaran. Pada dasarnya memang Ummu Aiman adalah seorang wanita yang tabah melalui bermacam-macam kesusahan, baik zahir mahupun batin.

Dua tahun lamanya Muhammad hidup bersama ibu susunya di suatu perkampungan. Setelah berlalu masa dua tahun, bayi comel yang dahulu telah bertukar menjadi kanak-kanak yang tampan.Tidak terkira betapa besarnya hati Ummu Aiman menyambut kepulangan Muhammad. Kini, dia dapat memandang wajah jernih anak tuannya, wajah dan mata yang memancarkan sesuatu yang kudus, kerana memang kelak dia akan diutus untuk menjadi Rasul oleh Allah SWT. Setelah dua tahun bersama ibu susuannya, kini dia kembali ke pangkuan ibu kandung dan pengasuhnya. Aminah dan Ummu Aiman tolong-menolong mengasuh dan membesarkan Muhammad.

Peristiwa yang sangat mengharukan berlaku sekali lagi, yakni ketika Aminah pulang dari Madinah setelah mengunjungi kaum keluarganya di sana. Dalam perjalanan pulang itu, yakni ketika melalui sebuah kampung bernama Abwa, Aminah diserang penyakit yang menyebabkan ajalnya. Aminah meninggal dunia di kampung itu dan dikebumikan di situ juga.

Muhammad yang baru mengecap nikmat kasih sayang ibu kandungnya, kini telah kehilangannya. Muhammad kini telah menjadi anak yatim piatu. Tidak ada orang lain yang turut berduka kecuali pengasuhnya, Ummu Aiman seorang.

Ummu Aiman meneruskan perjalanan menuju Makkah dan membawa Muhammad untuk diserahkan kepada datuk dan bapa-bapa saudaranya. Rasa hiba dan sayangnya terhadap Muhammad bertambah-tambah setelah kewafatan Aminah, ibu kandungnya.

Muhammad kini berada dalam asuhan Ummu Aiman seorang dan keadaan ini berterusan hinggalah Muhammad meningkat remaja, dewasa dan berumah tangga. Tepat pada hari perkahwinan Muhammad dengan Siti Khadijah, Ummu Aiman pun dimerdekakan, menjadi manusia yang bebas sesuai dengan keindahan dan suara hati kecilnya.

Akhirnya, Ummu Aiman dikahwini seorang penduduk Madinah yang bertempat tinggal di Makkah. Hidupnya bersama suaminya itu bahagia dan mereka terus menetap di Makkah hinggalah datang perintah untuk berhijrah ke Madinah.

Setelah beroleh cahaya mata daripada suaminya di Madianh, suaminya meninggal dunia. Maka, bersama-sama anaknya yang bernama Aiman bin Ubaid, Ummu Aiman berangkat menuju anak pertamanya (Muhammad SAW). Ummu Aiman dan anaknya Aiman bin Ubaid hidup di bawah jagaan anak sulungnya yang yatim piatu itu dalam suasana bahagia.

Akan halnya Muhammad SAW memang sangat menyayangi Ummu Aiman sebagaimana sayangnya kepada ibu kandungnya sendiri. Allah SWT telah mempertautkan insan di dunia ini dengan ikatan batin dengan batin. Tidak ada sebab mengapa hal ini tidak berlaku, dan tidak selamanya ikatan keturunan dan darah yang menjadikan insan hidup seperti kerabat.

Hormat dan kasih sayang Muhammad SAW kepada Ummu Aiman memang sudah diketahui semua orang Islam di Madianh. Bahkan, pada suatu hari, Nabi Muhammad SAW pernah berkata kepada para sahabatnya: "Ummu Aiman adalah antara ahli keluargaku yang masih tinggal." Demikianlah disebutkan di dalam kitab "al-Ishabah" yang ditulis oleh al-Waqidiy.

Nabi SAW merasa sangat sedih melihat Ummu Aiman hidup menderita. Baginda ingin sekali membahagiakan ibu asuhnya ini dengan apa-apa cara sekalipun. Maka, pada suatu hari Baginda bersabda:

"Sesiapa yang ingin berkahwin dengan wanita penghuni syurga, maka hendaklah dia mengahwini Ummu Aiman."

Kata-kata Nabi ini merupakan satu isyarat bahawa Ummu Aiman telah dijamin masuk syurga. Maka, setelah mendengar hadis tersebut, Zaid bin Harithah, bekas hamba Muhammad SAW segera melamar Ummu Aiman dan mengahwininya.

Antara kaum wanita yang ikut berhijrah dari Makkah ke Madinah ialah Ummu Aiman. Dia turut berhijrah kerana didorong oleh iman dan rasa cintanya kepada orang-orang yang memang patut dicintai oleh setiap insan.

Sesampainya di Madinah, Ummu Aiman langsung disambut hangat oleh anak kesayangannya, Muhammad SAW. Anak-beranak itu pun terus tinggal di Madinah. Seperti yang sudah diketahui melalui kata-kata sahabat, Ummu Aiman boleh dikatakan tidak pernah berpisah dengan anaknya, Muhammad SAW.

Banyak perang yang diikuti oleh Ummu Aiman. Dalam perang Uhud, dia ikut terjun di medan peperangan membantu tentera kaum muslimin dengan cara memberi air bersih untuk diminum oleh tentera yang kehausan atau sudah keletihan.

Semasa perang Khaibar pun Ummu Aiman telah bertindak sebagai motivator, pemberi semangat juang yang tinggi kepada tentera-tentera kaum muslimin.

Sebagai seorang anak asuh kepada Ummu Aiman, kadang-kadang Nabi Muhammad SAW sering berbual-bual sambil bergurau dengannya. Gurauan Nabi SAW sudah tentu terhad pada hal-hal yang benar. Hal ini demikian kerana, Baginda tidak pernah dan tidak akan pernah mengucapkan kata-kata yang tidak benar.

Ummu Aiman diberi umur yang panjang oleh Allah SWT hingga dia sempat hidup ketika kekhalifahan Umar bin Khattab dan Usman bin Affan. Namun begitu, dia tidak sempat melihat Ali bin Abu Talib menjadi khalifah atau Amirul Mukminin kerana ketiak pemerintahan Usman bin Affan, Ummu Aiman pengasuh Nabi kita, telah pulang ke rahmatullah.

x x x x x x x x

Begitulah serba ringkas hidup dan kehidupan seorang wanita besar meskipun dia hanyalah bekas seorang hamba Rasulullah SAW yang diwarisi daripada ayahnya. Namun begitu, sebaik sahaja Nabi Muhammad SAW berkahwin dengan Siti Khadiajh, maka status Ummu Aiman menjadi seorang wanita yang merdeka.

Setelah menjadi wanita merdeka, maka dia pun berkahwin dengan seorang sahabat yang juga hamba Rasulullah SAW iaitu Harith bin Harithah dan daripada perkahwinannya sebelum itu, dia dikurniai seorang anak lelaki yang kemudian bernama Aiman. Aiman bin Ubaid ini adalah salah seorang mujahid agung yang ikut berperang bersama Nabi SAW pada perang Hunain dan dia gugur pada peperangan itu sebagai seorang syahid.

Sedangkan perkahwinan keduanya denagn Zaid bin Harithah adalah setelah pengangkatan Nabi sebagai seorang Rasul. Hasil perkahwinan Ummu Aiman dengan Zaid bin Harithah ialah lahirnya seorang pejuang besar yang tidak asing lagi bagi seluruh kaum muslimin, yakni Usamah bin Zaid.

Ummu Aiman sempat ikut berhijrah sebanyak dua kali dan tidak kurang lima puluh hadis yang diriwayatkannya daripada Nabi SAW.

Keterangan yang berhubungan dengan Ummu Aiman tersebut diambil daripada beberapa kitab besar. Antara lain, ialah kitab "Mukhtashar Sirah Rasul SAW" yang ditulis oleh Syeikh Abdullah al-Najdiy, halaman 12; "Talqih al-Fahum Ahli al-Athar" halaman 4; dan "Shahih Muslim" jilid II, halaman 96.

Namun begitu, jika ada antara pembaca yang saya hormati ingin mengetahui dengan lebih mendalam dan meluas tentang sejarah hidup Ummu Aiman ini, kami mempersilakan kalian membaca buku-buku yang disenaraikan di bawah ini:

1) Tabaqat oleh Ibnu Sa'ad
2) Tarikh Tabariy
3) Sahih Bukhari
4) Al-Ishabah oleh Ibnu Hajar

Saturday, March 26, 2011

ARWA BINTI ABDUL MUTTALIB (Ibu saudara Rasulullah SAW)

Di antara kaum wanita yang turut berhijrah ke Madinah ialah Arwa binti Abdul Muttalib. Hali ini demikian kerana, dia telah memeluk Islam semasa Nabi SAW masih tinggal di Makkah al-Mukarramah, sekalipun dia tidak termasuk ke dalam kategori orang-orang yang terawal masuk Islam.

Jauh sebelum Arwa binti Abdul Muttalib memeluk Islam, sebenarnya dia telah terbabit secara langsung membantu dan membela dakwah Rasulullah SAW. Sekalipun ketika itu Arwa belum memeluk Islam, dia telah menunjukkan sikapnya yang jelas dan tegas terhadap agama Islam, yakni menyokong serta mempertahankan tindakan anak saudaranya, Muhammad SAW.
Menurut ahli sejarah, apabila anaknya yang bernama Kulaib bin Umair masuk Islam di rumah al-Arqam al-Makhzumi, maka dia pun pulang menemui ibunya, Arwa binti Abdul Muttalib, lalu berkata: "Wahai ibuku, sesungguhnya aku telah memeluk Islam dan mengikuti jalan Muhammad SAW kerana Allah."


Bagaimana reaksi Arwa mendengar pengakuan anaknya itu? dan jawapan yang keluar daripada mulutnya terhadap kemasukan Kulaib bin Umair ke dalam Islam? Arwa binti Abdul Muttalib menjawab: "Kalau ada orang yang paling patut mendapat pembelaanmu, orang itu tidak lain daripada Muhammad, anak bapa saudaramu itu. Seandainya kaum wanita seperti kami mempunyai kemampuan sebagaimana halnya kaum lelaki, nescaya kami pun turut mengikuti jalan yang dilalui Muhammad itu!"


Dari jawapan yang diberikan oleh Arwa itu memang tersirat adanya sesuatu penghalang yang besar hingga dia belum memeluk Islam. Maka, Kulain bin Umair bertanya: "Apa sebenarnya yang membuat ibu belum memeluk Islam? Bukankah saudara kandung ibu sendiri, Hamzah bin Abdul Muttalib, sudah pun menyatakan keIslamannya?"


"Wahai anakku," kata Arwa kepada Kulaib, "tidakkah engkau melihat apa yang telah terjadi ke atas saudara-saudaraku yang perempuan. Sebenarnya, aku pun tidak berlainan daripada kesemua mereka."


Kulaib bin Umair berusaha memujuk ibunya: "Aku mohon kepadamu, wahai ibuku, tolonglah pergi bertemu dengan Muhammad dan meminta supaya masuk Islam. Janganlah lagi ragu-ragu untuk membenarkan dakwahnya, dan bersaksilah mulai sekarang bahawa "TIADA TUHAN YANG PATUT DISEMBAH MELAINKAN ALLAH, DAN BAHAWA MUHAMMAD ADALAH HAMBA DAN RASUL-NYA."


Secara diam-diam Arwa binti Abdul Muttalib, sebenarnya telah memeluk Islam dan pembelaan serta kata-katanya untuk mendorong anaknya membantu Muhammad SAW ialah bukti yang kuat tentang keIslamannya.

Ketika beberapa orang kafir Makkah yang diketuai oleh Abu Jahal berniat hendak menyakiti Muhammad SAW, berlaku hal yang tidak disangka-sangka. Hal ini demikian kerana, sebelum niat jahat orang-orang kafir itu terlaksana, Kulaib bin Umair telah pun terlebih dahulu memukul Abu Jahal.
Keberanian Kulaib bin Umair itu menyebabkan dia ditangkap dan diikat oleh orang-orang kafir itu. Namun begitu, akhirnya dia dilepaskan setelah Abu Lahab turun tangan.

Apabila peristiwa itu ditanyakan kepada Arwa binti Abdul Muttalib: "Mengapa kamu biarkan si Kulaib menjadi pengikut Muhammad hingga dia menjadi sasaran kejahatan daripada kaum Quraisy Makkah?"

Tanpa segan sedikit pun, Arwa menjawab dengan bersahaja: "Tidak ada hari yang lebih baik bagi anakku selain hari yang dia memukul Abu Jahal untuk membela anak bapa saudaranya itu (Muhammad), kerana sememangnya Muhammad ialah Rasul yang membawa kebenaran daripada Allah."

Jawapan Arwa ini seolah-olah dia telah pun memeluk Islam dan berada di barisan yang sama dengan anaknya, Kulaib bin Umair: "Apakah engkau juga sudah menajdi pengikut Muhammad?" tanya mereka, dan dengan tegas Arwa menjawab: "Ya benar!"

Jawapan yang tidak mereka sangka-sangkakan itu membuat mereka terkejut bercampur marah. Segera mereka sampaikan berita ini kepada Abu Lahab.Lantas, Abu Lahab sendiri datang menemui Arwa, lalu bertanya: "Adakah patut engkaumengikut agama yang dibawa Muhammad dan meninggalkan agama Abdul Muttalib?"

Arwa menjawab: "Engkau pun sepatutnya berbuat demikian, meninggalkan kepercayaan karut selama ini. Hal yang sepatutnya engkau lakukan sekarang adalah membela anak saudaramu itu, bukan menyokong musuh-musuhnya. Namun begitu, pada akhirnya, ditanganmulah kuasa untuk memilih: masuk Islam atau terus dalam agama karutmu. Tentu engkau lebihmengenal siapa anak saudaramu itu selama ini, seorang yang jujur atau sebaliknya."
Reaksi Abu Lahab ternyata lebih keras lagi: "Wahai Arwa, lupakah engkau bahawa kamilah yang berkuasa di bumi Arab ini? Mengapa Muhammad membawa agama baru kepada orang-orang yang sudah beragama? Sesungguhnya, Muhammada adalah seorang pembelot dan pengkhianat bangsa Arab, khususnya suku Quraisy!"

Akan halnya Kulaib bin Umair, anak kesayangan Arwa bin Abdul Muttalib terus menjadi pembela Muhammad, sentiasa bersamanya sama ada ketika suka atau duka. Inilah lelaki hasil didikan seorang wanita besar yang  bernama Arwa binti Abdul Muttalib.

Menerusi kisah Arwa binti Abdul Muttalib yang dipaparkan dengan sepintas lalu tersebut, kiranya anda telah pun dapat menggamabrkan sejauhmana pandangan dan kebijaksanaan yang dimilikinya. Terlebih-lebih lagi caranya memberi motivasi kepada anaknya, Kulaib bin Umair, supaya menjadi orang yang berani membela kebenaran - ISLAM.

Tidaklah menghairankan kalau Arwa binti Abdul Muttalib memiliki kebijaksanaan yang demikian hebat. Hal ini demikian kerana, dia ialah puteri dan darah daging seorang yang besar juga, Abdul Muttalib, datuk Nabi Muhammad SAW, dan penghulu suku kaum Quraisy.

Keteladanan yang diperoleh melalui ayah kandungnya sendiri, Abdul Muttalib, Arwa tumbuh membesar dalam didikan dan asuhan ayahnya yang dihormati oleh/sebagai kawan dan lawan itu. Hal ini tergambar dalam kata-kata Arwa sendiri tentang ayah kandungnya itu:


"Adalah beralasan jika mahu mataku menitikkan air bening yang hangat, dan hatiku terharu apabila mengenang sifat ayahku yang amat berlapang dada dan pemalu."

Pada waktu yang lain, Arwa juga pernah memuji-muji kebaikan Nabi Muhammad SAW dan kejujurannya:

"Duhai Utusan Allah,
Padamu tergantung harapan kami,
Kebaikanmu tidak mungkin kami lupakan,
Memang engkau tidak pernah berbuat dosa dan keji."

Setelah menyumbangkan jasa dan bakti kepada Islam selama hidupnya, maka akhirnya wanita agung ini pun pulang ke rahmatullah, yakni pada tahun ke-15 Hijrah.

Wallahua'lam... 

 





Thursday, March 24, 2011

LUBABAH BINTI AL-HARITH (Ibu kandung Abdullah bin Abbas)

Di dalam kitab-kitab tarikh (sejarah) selalu disebut nama panggilan "Lubabah" (kakak) lahirlah seorang ilmuan yang tidak asing lagi yakni Abdullah bin Abbas r.a.; manakala dari Lubabah (adik) lahirlah seorang mujahid besar yang juga tidak asing bagi kita, pedang ALLAH (Saifullah), Khalid bin Walid r.a.

Menerusi Lubabah (adik) inilah lahirnya pahlawan terbilang Khalid bin Walid, dan nama beliau juga dikenali sebagai al-Ashma'. Para ulama tidak sependapat tentang keislaman dan kesahabatannya. Demikianlah yang disebutkan oleh Abu Umar di dalam buku "al-Ishabah", dan hal yang sama juga pernah diketengahkan oleh Ibnu Kathir. Hal ini disebabkan, hal yang akan kita perkatakan di sini ialah Lubabah (kakak), maka tidaklah akan kita perpanjangkan perbincangan tentang Lubabah (adik) di sini.

Ibu kandung ilmuan besar, Ibnu Abbas r.a. yang disebut di awal tadi, sebenarnya bukan hanya dikenali dengan panggilan Lubabah, tetapi dia lebih sering dan lebih masyhur dengan panggilan Ummul Fadal merujuk kepada nama anak lelakinya yang sulung.

Sebenarnya, Abbas bin Abdul Muttalib, bapa saudara Nabi, telah beroleh beberapa anak lelaki daripada perkongsian hidupnya bersama Ummul Fadal (Lubabah), yakni: al-Fadal, Abdullah dan lain-lain. Maka, kerana anaknya yang paling besar bernama Fadal, Lubabah sering dipanggil dengan kuniyah Ummul Fadal.

Adalah hal yang sudah dikenali ramai bahawa Lubabah termasuk seorang wanita yang mempunyai akhlak yang mulia dan budi pekerti yang terpuji. Lebih daripada itu, dia termasuk seorang yang terawal memeluk Islam bersama orang-orang yang dekat dengan Nabi SAW.

Menurut pengakuan anaknya, Abdullah bin Abbas, tentang ibunya, Lubabah: "Sebenarnya ibuku termasuk dalam golongan yang dizalimi di antara kaum wanita; sedangkan aku termasuk golongan yang dizalimi dalam kalangan kanak-kanak." Demikianlah dinyatakan oleh sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari.

Sebagaimana saya sebutkan di awal bahawa Lubabah termasuk orang yang terawal memeluk Islam. Dia telah masuk Islam sebaik sahaja masuk Islamnya Khadijah binti Khuwailid r.a. dan setelah menjadi seorang muslimah, Lubabah memang amat dikenali dalam kalangan kaum sejenisnya, kerana iltizamnya mengamalkan Islam yang dianutinya.

Di dalam kitab "al-Isti'ab", Abu Umar menulis seperti berikut: "Lubabah adalah seorang wanita yang bijaksana. Itulah sebabnya dia tergolong ke dalam wanita-wanita yang terhormat dalam kalangan kaum muslimat. Malah, Rasulullah SAW sendiri pernah mengunjunginya."

Pada Hari Arafah, kaum muslimin tidak mengetahui secra pasti adakah Baginda Rasul berpuasa atau sebaliknya. Ketika itulah Lubabah mengirim segelas susu buat Baginda Rasul dan ternyata Baginda meminumnya. Maka, dengan demikian jelaslah bagi kaum muslimin bahawa Baginda Rasul tidak berpuasa pada Hari Arafah. Demikianlah disebut di dalam riwayat yang diakui kesahihannya.

Lubabah juga dikenali sebagi perawi hadis kerana beliau telah meriwayatkan tidak kurang dari tiga puluh hadis dari Baginda Rasul. Tiga daripada hadis-hadis tersebut diriwayatkan Bukhari, Muslim; dan satu daripadanya diriwayatkan oleh kedua-duanya secara bersamaan (muttafaq 'alaih).

Pernah suatu ketika Ibnu Abbas, anak kedua Lubabah, berkata: "Ketika ibuku maish muda, beliau pernah bercita-cita dikurniai anak yang dihormati dan dimuliakan." Maka beliau pun bermadah:

"Celakalah kemudaanku, sia-sialah diriku selagi tidak membela orang yang tertindas dan yang tidak tertindas."

Ternyata di kemudian hari doa dan harapan Lubabah itu menjadi kenyataan dan dimakbulkan Allah Azza wa Jalla. Anaknya yang kedua, yakni Abdullah bin Abbas, ternyata menjadi seorang ahli ilmu yang disegani dalam kalangan para sahabat. Dengan ilmu yang luas serta dalam, anaknya telah mencurah bakti dan jasa kepada umat Islam seluruhnya.

Lubabah mengakhiri hayatnya lebih dahulu daripada suaminya, Abbas bin Abdul Muttalib, ketika Usman bin Affan duduk di kerusi kekhalifahan.


UMMU HANI (sepupu Rasulullah SAW)

Nama sebenarnya ialah Fakhitah binti Abu Talib bin Abdul Muttalib. Lebih jelasnya, dia ialah anak bapa saudara Rasulullah SAW. Sedangkan ibunya bernama Fatimah binti Asad bin Hasyim suku Quraisy. Ummu Hani memang terkenal dalam kalangan sukunya sebagai seorang wanita yang bijak dan halus adab serta tatasusilanya.

 Pada zaman jahiliah, Muhammad SAW pernah meminang wanita ini. Namun, kerana ayahnya lebih dahulu menerima pinangan seorang pemuda yang bernama Ubairah bin Abu Wahab hingga pinangan Muhammad SAW terpaksa ditolak. Akhirnya, Ummu Hani berkahwin dengan Ubairah bin Abu Wahab.

Apabila Islam sudah tersebar, Ummu Hani beriman dan masuk Islam, sedangkan Ubairah, suaminya masih tetap dengan agama asalnya. Sesuai dengan hukum Islam, kedua-dua orang ini terpaksa dipisahkan. Maka, Ummu Hani diberi hak untuk memelihara anak-anaknya dengan Ubairah yang masih kecil-kecil ketika itu. Ummu Hani terpaksa melalui hidup sebagai seorang janda. Setelah hidup menjanda selama beberapa lama, sekali lagi Muhammad SAW datang untuk meminang Ummu Hani. Ketika inilah Ummu Hani memberi jawapan yang penuh dengan kebijaksanaan.

"Ya Rasulullah SAW, sesungguhnya aku sangat mencintai anda, lebih daripada cintaku kepada pendengaran dan penglihatanku sendiri. Namun begitu, aku menyedari betapa besarnya hak-hak yang mesti aku penuhi kepada seorang yang bernama suami. Aku takut jika aku berbakti kepada suamiku maka anak-anak penawar jiwaku akan terbiar, sebaliknya jika aku menumpukan perhatian kepada mereka maka aku khuatir hak-hak suami tidak dapat kusempurnakan."

Setelah mendengar jawapan Ummu Hani yang demikian, Rasulullah SAW bersabda, sabda yang amat masyhur hingga ke hari ini:

"Sesungguhnya, wanita yang paling cekap menunggang unta ialah wanita Quraisy, yang amat kasih kepada anak-anaknya yang masih kecil dan sangat baik layanannya kepada suaminya."
(Riwayat Ibnu Athir)

Selain dikenali sebagai ibu yang penyayang kepada anak dan paling taat kepada suami, Ummu Hani juga dikenali sebagai wanita yang mempunyai keperibadian yang teguh dan sikap yang jelas. Memang sudah menjadi lazimnya setelah Islam berkembang di dunia Arab, kaum wanita mereka terkenal sebagai orang yang suka memberi perlindungan kepada orang yang meminta perlindungan, malah kelaziman ini sudah ada pada zaman jahiliah.   

Dalam hubungan ini, Ummu Hani pernah memberi perlindungan kepada dua lelaki, yang kebetulan pula adik iparnya, ketika mereka hendak dibunuh. Peristiwa itu telah diceritakan sendiri oleh Ummu Hani seperti berikut:

"Apabila bahagian atas kota Makkah telah ditakluki oleh Rasulullah SAW bersama kaum muslimin, dua lelaki datang kepadaku meminta perlindungan, kebetulan pula mereka ialah adik iparku dari suku Bani Makhzum. Tidak lama setelah mereka masuk ke dalam rumahku, tiba-tiba adikku, Ali bin Abu Talib, pun sampai dan berkata: 'Demi ALLAH, aku akan membunuh mereka!' Serta-merta aku tutup pintu agar Ali tidak mengetahui mereka ada di rumahku, supaya mereka selamat daripada pedangnya.

"Kemudian perang pun reda, dan aku pergi menemui Rasulullah SAW. Baginda menyambut kedatanganku dengan hangat sebagaimana pada waktu-waktu sebelumnya. 'Apa hal engkau datang berjumpa denganku, wahai Ummu Hani?' Aku pun menceritakan mengenai kedua-dua lelaki yang sedangberlindung di rumahku, juga tentang Ali yang beria-ia hendak membunuh mereka."

"Kemudian Rasulullah SAW menjawab: 'Wahai Ummu Hani, sesungguhnya aku akan melindungi orang yang engkau lindungi, dan aku akan menjaga orang yang kau beri keamanan. Dengan demikian, Ali tidak aku benarkan untuk membunuh mereka.' (Dinukil daripada kitab "Sirah Ibni Hisyam", jilid II, halaman 820; dan "al-Bukhari", jilid VIII, halaman 37)."

Keenam-enam imam hadis, yakni penyusun "al-Kutub al-Sittah" sependapat mengatakan bahawa Ummu Hani ialah seorang wanita yang telah meriwayatkan sejumlah hadis. Imam yang enam yang dimaksudkan ialah: Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Nasa'i, dan Ibnu Majah. Mereka juga sependapat tentang masa hidup Ummu Hani hingga kepada pemerintahan Ali bin Abu Talib, khalifah keempat, dan juga saudara kandungnya sendiri.

Wahai kaum wanita muslimah, sedarkah anda bagaimana Islam telah meninggikan darjat anda? Tahukah anda Islam telah mengangkat anda dari lumpur jahiliah menuju cahaya iman dan sinar Islam, yang meletakkan anda sebagai insan yang beroleh hak-haknya -hak-hak yang tidak pernah anda peroleh sebelumnya? Kalau anda mahu berfikir dan merenung barang sebentar, kami yakin dan percaya bahawa hal itu adalah sesuatu yang sangat jelas bagi setiap wanita.

Kemuliaan kaum wanita muslimah dalam sejarah Islam memang tidak mungkin dinafikan oleh orang yang mengetahui sejarah. Janji dan penghargaan Rasulullah SAW kepada Ummu Hani adalah sebahagian contoh daripada sekian banyak contoh yang pernah berlaku di sepanjang sejarah.

Bukankah Rasulullah SAW telah berjanji kepada Ummu Hani bahawa Baginda akan melindungi orang yang dilindunginya dan memberi keamanan kepada orang yang diberinya keamanan? Masihkah ada bentuk penghargaan yang melebihi penghargaan seperti ini?

Namun begitu, penghargaan yang sedemikian besar adalah sesuatu yang patut dan layak diterima oleh wanita seperti Ummu Hani, kerana dia memang seorang wanita luar biasa, seorang ibu yang penuh cinta kasih kepada anak-anaknya, seorang isteri yang sangat taat serta hormat kepda suaminya. Lebih daripada itu, dia ialah sepupu Rasulullah SAW yang lahir daripada darah daging bapa saudaranya sendiri, Abu Talib bin Abdul Muttalib.

Jauh sebelum itu, Ummu Hani pernah dilamar oleh Rasulullah SAW, dan melalui jawapan Ummu Hani ketika itu, dapatlah kita ketahui bagaimana hati budinya. Jawapannya adalah seperti berikut:
 
"Anda lebih aku cintai berbanding pendengaran dan penglihatanku sendiri, ya Rasulullah. Sayangnya aku ialah ibu kepada beberapa anak yatim yang masih kecil-kecil. Pada waktu yang sama, aku sedar bahawa bersuami itu mempunyai kewajipan dan tanggungjawab yang amat besar. Aku takut ketika aku berbakti kepada suami maka anak-anakku terbiar, dan jika aku tumpukan perhatian kepada anak-anakku maka hak-hak suami pula akan kutinggalkan."

Ketika itulah lahirnya ungkapan Rasulullah SAW yang sampai hari ini masih kita ingat:

"Sesungguhnya, wanita yang paling cekap menunggang unta ialah wanita Quraisy; mereka jugalah yang paling penyayang kepada anak yang masih kecil dan paling taat kepada suaminya. Seandainya aku mengetahui bahawa Maryam binti Imran cekap menunggang unta, tentulah aku akan mengutamakannya (berbanding wanita Quraisy)

Demikianlah ucapan Rasulullah SAW yang dinukil daripda kitab "al-Tabaqat al-Kubra" jilid VII, halaman 32; dan dari kitab "al-Ishabah", halaman 287, dua kitab besar yang selalu menjadikan rujukan bagi kaum muslimin.

Ummu Hani seorang wanita yang mengaku sukar untuk bertindak adil ketika membahagikan tugas kepada suami dan terhadap anak, kerana dia sangat mengambil berat kepada kedua-dua kewajipan yang sangat penting ini.

Adakah lagi kesangsian kita untuk meletakkan Ummu Hani di tempat yang tinggi dan mulia sebagai ibu orang-orang mukmin setelah mendengar pengakuannya yang terus terang di hadapan Rasulullah SAW sendiri?

Selanjutnya, penghormatan serta penghargaan yang diberi oleh Baginda Rasul kepada kaum wanita menerusi sepupunya, Ummu Hani adalah luar biasa. Tetapi secara kebetulan Ummu Hani ini seorang wanita berketurunan Quraisy, sama dengan Baginda, maka dalam ucapan Baginda dikhususkan kepada wanita Quraisy sahaja, dan ini bukanlah bererti suku, bangsa, dan keturunan yang lain daripada suku Quraisy tidak mungkin mencapai kedudukan yang mulia sebagaimana yang dicapai Ummu Hani jika benar-benar mahu meneladani sifat dan sikap yang dimiliki Ummu Hani yang bersuku Quraisy ini.

Ibu manakah yang lebih penyayang kepada anak-anaknya melebihi Ummu Hani yang dikenali telah mencurahkan kasih sayang dan sepenuh perhatian untuk mendidik dan membesarkan anak-anaknya meskipun ketika beliau menjadi seorang janda?

Sesungguhnya, keteladanan yang ditunjukkan Ummu Hani ini aku persembahkan kepada para ibu yang bersedia berkorban apa sahaja demi kebaikan anak-anaknya. Harapan saya, semoga akan lahir lagi "Ummu Hani-Ummu Hani" dalam kalangan kaum wanita muslimah pada zaman sekarang dan akan datang, insyaALLAH...