assalamualaikum

sodiqi usrati...=)

Tuesday, April 5, 2011

Orang Sufi: Naik Atas Kehendak Allah Bukan Atas Undian Manusia

Sekarang kita sedang hidup di satu zaman yang mana orang lebih suka diikuti daripada mengikut. Ertinya ramai manusia yang berbangga dengan kebolehan dan kehebatan masing-masing, tanpa mahu mengalah kepada pendapat orang lain. Sebenarnya inilah antara punca utama segala pertelagahan yang sedang berlaku sekarang, sikap percaya mempercayai dalam kalangan sesama manusia telah luntur dilanda penyakit gila mahu menjadi pemimpin.

Matlamat pemimpin-pemimpin palsu ini ialah kemewahan. Menjadi pemimpin membolehkan seseorang mendapat kuasa dan kuasa inilah nanti yang akan digunakan sebagai alat untuk mencapai maksud nafsu yang tidak mengenal batas. Selagi dunia diterajui oleh orang yang tidak dapat mengawal nafsunya, selagi itulah kekacauan akan terus berlaku. Tegasnya, menyerah kepimpinan kepada orang yang cinta akan dunia dan mempunyai nafsu besar, samalah seperti menyerahkan setandan pisang kepada sekumpulan beruk untuk dikawal.
Rasanya, dekad ini telah sangat-sangat dirasai ketandusan pemimpin yang berjiwa bersih, suci, dan jujur. Biarlah dunia ini ditadbir dan dikuasai oleh orang yang tidak menyintainya. Apabila seluruh manusia menerima hakikat ini secara sukarela atau terpaksa, maka sudah tibalah masanya bagi orang-orang sufi masuk bergelanggang di medan politik. Wajah dunia akan berubah kerana buat kesekian kalinya, sekali lagi dunia jatuh ke tangan ornag yang tidak menyintainya seperti dunia pernah jatuh ke tapak kaki Rasulullah SAW dan para sahabat. Politik akan berubah di tangan orang-orang sufi dan bukan politik yang mengubah orang-orang sufi. Apabila ini terjadi, maka dunia politik akan menjadi satu medan kasih sayang manusia dan lautan persaudaraan; yang mana selama ini medan politik telah dikotori oleh orang-orang politik.

Siapakah orang-orang sufi itu? Siapa mereka sebenarnya tidak penting, tetapi yang lebih penting adalah mengenal sifat-sifat mereka. Orang-orang sufi tidak menyintai dunia tetapi ini tidak bererti mereka menolak dunia. Bagi mereka dunia ini penting kerana ia alat untuk menuju akhirat, ladang menyemai bakti yang akan dituai untuk kebahagiaan abadi di syurga, dan sebagai titian yang akan menentukan sama ada selamat atau tidak apabila dibicarakan di hadapan Kadhi Rabbul Jalil di Padang Mahsyar kelak. Mereka ialah golongan yang makan minumnya sekadar meluruskan tulang belakang untuk terus beribadah, rumah sekadar pelindung daripada panas matahari siang dan kedinginan malam, pakaiannya sederhana buat menutup aurat, kenderaan sekadar keperluan mencapai maksud hati ke merata-rata dunia untuk menegakkan hukum Allah, dan lain-lain lagi bagi yang tidak lepas dari batas keperluan dan kemudahan. Bagi orang sufi, semakin banyak dunia di tangan, semakin cepatlah dunia itu dilepaskan ke jalan Allah SWT. Harta terasa panas di tangan mereka, kemewahan ialah musuh di hati mereka. Bagi mereka, mengumpul dunia walaupun dari jalan yang halal akan membanyakkan hisab dan melambatkan perjalanan menuju ke syurga.

Nah! itulah sifat-sifat "ahli politik" angkatan baru yang sedang bersiap-sedia untuk merubah putaran dunia daripada menghadap syaitan laknatullah kepada Wajah Allah SWT. Apabila mereka terjun ke arena politik, jiwa sufi diletakkan di hadapan dan kepentingan politik di belakang. Ertinya, dia tidak akan membenarkan jiwa sufinya dipengaruhi oleh politik tetapi akan memastikan kepimpinan diri dan masyarakatnya berjalan atas landasan kesufian. Masyarakat akan dipandu ke arah membersihkan hati dan menentang hawa nafsu seperti disiplin kesufian yang berakar umbi dalam hatinya. Selagi masyarakat enggan, selagi itulah dia berjuang. Dia tidak akan bertolak ansur sedikit pun dalam hal ini, selagi ia duduk sebagai pemimpin, selagi itulah ia mempertahankan matlamat kepimpinannya.
Pemimpin sufi naik melalui kehendak Allah SWT, bukan atas undian dan kehendak manusia, lebih-lebih lagi dia tidak naik atas kehendak dirinya sendiri. Atas dasar inilah, pemimpin berjiwa sufi tidak memerlukan atau melobi-lobikan manusai untuk menyokongnya. Dia pemimpin dalam semua keadaan, dalam ramai dia pemimpin dan ketika dia bersendirian dia juga pemimpin. Dia tidak perlukan pengikut tetapi pem\ngikutlah yang memerlukannya. Ertinya dia bebas untuk melaksanakan kehendak kepimpinannya menurut kehendak Allah SWT dan Rasul-Nya tanpa takut kehilangan pengikut.

Oleh itu, seorang pemimpin sufi tidak gentar kalah dalam pilihanraya kerana melaksanakan kehendak agama. Ini berbeza daripada pemimpin politik yang berlagak sufi. Ahli politik biasa sentiasa meletakkan politik di hadapan dan sufi di belakang. Sebab itu, dia sering bertolak ansur dalam melaksanakan ketetapan agama dengan pelbagai alasan, namun begitu, kita tahu alasan sebenarnya iaitu dia takut kehilangan pengikut. Tindakannya mesti mendapat persetujuan daripada pengikut, jika tidak di musim yang akan datang jatuhlah ia daripada kerusinya. Alangkah murahnya harga kepimpinan orang yang tidak berjiwa sufi ini.
Oleh itu, sering terjadi dalam sejarah, pemimpin-pemimpin sufi bertindak meninggalkan tampuk pemerintahan apabila kepimpinan tidak mengikut jiwa sufi mereka. Berlainan sekali dengan pemimpin politik yang berkeras mempertahankan kuasanya walaupun terpaksa mengorbankan prinsip. Tetapi tidak lama, mereka yang tidak mahu menyerah itu seringkali dijatuhkan, kadang-kadang melalui tangan  yang sama iaitu orang yangtelah menaikkan mereka dahulu. Pemimpin-pemimpin sufi yang pernah bertindak meninggalkan pemerintahan (kuasa) ialah Ibrahim Adham (asalnya seorang raja), Imam Hanbali (yang menolak jawatan Kadhi dalam pemerintahan Bani Abasiyyah) dan Imam Ghazali. Ketiga-tiga mereka ialah pemimpin sufi yang melepaskan pemerintahan kerana kuasa tidak menjamin lagi matlamat kepimpinan mereka. Bagi mereka, selagi kuasa di tangan mereka, selagi itulah mereka memikul amanah yang akan dipersoalkan di kemudian hari. Sebab itu, Umar Ibnul Khattab berpesan kepada anaknya Abdullah (ketika ada ura-ura melantik anaknya sebagai Khalifah selepas kematiannya):

"Cukup...! Cukuplah Umar seorang dari anggota keluarganya yang memikul amanah ini. Cukup sekadar Umar yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT atas urusan manusia."
Namun sebenarnya, menurut fakta sejarah sudah seringkali dunia ini dipegang oleh orang-orang sufi. Apabila dunia Islam diterajui oleh orang sufi, Islam cemerlang, Islam gemilang. Lihatlah bintang bergemerlapan yang menyinar di celah kegelapan peribadi Khalifah Bani Umaiyyah iaitu peribadi Umar Ibnu Aziz, seorang yang sangat takut kepada Allah dalam urusan manusia tetapi tidak takut kepada manusia dalam urusan Allah. Beliau seorang yang tidak enak tidur di malam hari kerana takut urusan dengan Tuhannya tidak selesai dan tidak dapat tidur di siang hari kerana cemas urusan rakyatnya terbengkalai. Baitulmal di bawah amanahnya mengandungi harta berjuta-juta dinar tetapi dia tinggal di dalam rumah yang sangat kecil dengan memakan roti daripada tepung yang harganya paling murah.

Lihat pula peribadi Sultan Salehuddin Al-Ayubi yang berjaya merebut Baitul Muqaddis dan mengalahkan Richard Berhati Singa (Richard the Lion Heart). Dia memukul hancur tentera Salib dengan pedangnya tetapi mengkagumkan pemimpin-pemimpin Salib dengan akhlaknya. Namun begitu, jiwa sufinya tidak mahu bertolak ansur  dengan tentera-tenteranya yang didapati tidur di malam hari semasa berada di khemah-khemah barisan hadapan. Hanya tentera yang mendirikan solat malam dan membaca al-Qur'an sahaja dibenarkan tampil ke medan perang, yang tidur dihalau balik ke rumah masing-masing. Dia sendiri ialah pengikut tariqat yang taat dan masa-masa yang tidak digunakan untuk berperang banyak dihabiskannya di bilik-bilik suluk. Umat Islam yang mahu menawan Palestin kembali, patut malu jika peribadi mereka tidak menyerupai tentera Sultan Salehuddin al-Ayyubi, tetapi sebaliknya sama dengan peribadi tentera Israel dan Amerika yang mereka tentang itu.
Sejarah Islam tidak akan gemilang kalau tidak kerana lahirnya putera-putera sufi seperti Khulafa' ar-Rasyidin yang empat, Sultan Muhammad Al-Fateh di Turki dan lain-lain pemimpin Islam yang terkenal di dunia dan semerbak namanya di akhirat kelak, insyaALLAH. Mereka ini berpolitik tetapi jiwa mereka jiwa sufi. Tetapi bila orang politik bertopengkan agama mengambil alih tempat mereka maka, dunia Islam pun malap semalap hati mereka.

Selama ini, kita telah dikelabui dengan janji-janji kosong pemimpin berjiwa dunia dengan slogan kejayaan dan kemakmuran yang muluk-muluk tetapi hakikatnya kosong dan penuh tipu daya. Malah kemakmuran yang dijanjikan, kehancuran yang semakin datang. Dunia Islam makin pincang dan lemah di tangan pencinta-pencinta dunia ini. Jiwa oang politik yang rakus tidak pernah menggunakan kuasa untuk kebajikan tetapi menggunakan kuasa untuk harta dan untuk menambah lagi kuasa yang ada. Pada tahap awal pemimpin politik menerjunkan diri ke medan politik dia berkata: "Kami perlu kuasa untuk anak peribumi dan membebaskan kita dari kezaliman."

Setelah berkuasa hatinya berbisik: "Sekarang kita telah berkuasa, kami perlukan dunia, harta dan kemudahan untuk menjalankan tugas kami dengan sempurna."
Tetapi setelah lama keperluan hatinya itu dipenuhi, lalu hatinya berbisik lagi: "Apa salahnya kami mengambil lagi harta dan kemewahan sebagai imbalan jasa perjuangan kami."

Lalu dia menambah harta dengan alasan jasanya yang lampau. Tetapi sekadar itu, hatinya masih tidak puas. Nafsunya terus mendesak lagi. Akhirnya dunia dikaut semahu-mahunya sehingga terlupalah dia pada rakyat, pada tanggungjawabnya dan pada Tuhan yang mengizinkan dia berkuasa. Inilah "perompak-perompak" yang diangkat menjadi pemimpin yang kejahatannya terselindung dengan pelbagai gelaran dan pangkat. Mereka ini bukan sahaja tidak berjiwa sufi bahkan mengenal sufi pun tidak. Tetapi apabila masyarakat ingin dibawa menjiwai tasawuf, merekalah yang pertama memekik: "Tasawuf sesat! Sufi fanatik!, " dan lain-lain lagi. Akhirnya mereka berebut-rebut sesama mereka seperti ulat menggomol najis, najis habis, mereka pun mati.
Apabila pemimpin politik bergaduh, diajaknya orang ramai membabitkan diri sama, sedangkan sengketa itu berpunca daripda kepentingan diri mereka sahaja. Diletakkan ulasan masing-masing konon mahu berbakti lebih sempurna kepada rakyat. Apabila kemiskinan melanda, dia menjanjikan kemakmuran, tetapi mesti angkat dia terlebih dahulu jadi pemimpin. Puak itu salah, puak dia sahaja yang benar walhal sama-sama rakus dan gelojoh dengan dunia. Tidak cukup bertelagah di meja-meja mesyuarat dan di dewan-dewan megah, rakyat diseret sama supaya bergaduh di ladang-ladang, di kedai-kedai kopi malah hingga ke dalam masjid! Surat khabar terus mengapi-apikannya. Jika perbalahan pemimpin politik menggunakan cakap, tetapi apabila sampai kepada rakayat, cakap telah bertukar kepada sikap, pergaduhan pun berlaku.

Sedangkan jika orang sufi berpolitik, mereka berusaha mengubat hati orang miskin dengan cinta akhirat. Mereka mengutamakan kebersihan hati daripada pengaruh dunia. Bagi rakyatnya yang miskin harta, ditanamkan kekayaan hati. Buat rakyatnya yang kaya, diancam dengan kemiskinan jiwa. Ditanamkannya sifat sabar dan redha dengan menanamkan roh dari doa Rasulullah SAW ini:
"Ya Allah, hidupkanlah aku sebagai orang miskin, matikanlah aku sebagai orang miskin, dan bangkitkanlah aku di akhirat kelak bersama-sama dengan orang miskin."

Si miskin akan terhibur kerana dilihatnya hidup pemimpin lebih kurang sama dengan hidupnya. Apa yang dideritainya turut dideritai oleh pemimpinnya, malah kadangkala hidup pemimpin lebih susah daripada hidup rakyatnya. Tetapi kalau seruan yang sama datang dari pemimpin politik, rakyat akan meluat kerana sikapnya yang berlainan sekali dengan cakapnya. Dia suruh rakyat berjimat, tetapi cara hidupnya penuh pembaziran. Dia menyuruh rakyatnya agar sabar dalam kemelesetan ekonomi, tetapi belanja makan tengaharinya sahaja lebih mahal daripada sebulan gaji seorang buruh. Akhirnya rakyat yang miskin jiwa dan miskin harta itu pun bangun memberontak!
Pernah Umar Ibnul Khattab meminta teguran daripada Salman Al-Farisi mengenai cara hidupnya selepas menjadi Khalifah, lalu Salman berkata: "Tidak ada apa-apa perbezaan."

Tetapi apabila terus didesak oleh Umar, maka Salman berkata: "Dahulu ketika Umar belum menjadi Khalifah, dia hanya mempunyai sehelai baju, tetapi kini dia mempunyai dua helai baju, satu untuk musim panas dan satu baju untuk musim dingin. Dahulu ketika makan, lauknya cuma sejenis, tetapi sekarang bertambah menjadi dua jenis."
Lalu umar berkata: "Saksikanlah, bahawa aku akan kembali sepertimana asalku mulai hari ini."

Beginilah sikap pemimpin sufi yang tidak menyintai dunia apabila dia diberi kuasa mentadbir dunia. Rakyat seperti ditarik-tarik oleh kuasa magnetik untuk patuh dan menyintai raja zahir dan batin. Kepatuhan lahir daripada hati, bukan ambil hati. Tetapi kepempinan ahli politik melahirkan pengikut yang pura-pura patuh digertak dengan undang-undang, dan bekerja apabila ada kepentingan peribadi. Pantang ada peluang untuk naik, pemimpin dijoloknya jatuh dan dia pula akan naik untuk berkuasa.
Pemimpin politik sangat ingin berkuasa, berbeza dengan pemimpin sufi yang sangat takut untuk memerintah. Lihatlah peribadi Umar Ibnu Aziz yang pernah berdoa: "Jauhilah aku daripada jawatan Khalifah seperti jauhnya timur dan barat."

Beliau menanggung duka yang amat sangat, setelah dilantik menjadi khalifah, dia mengeluh kepada pengikutnya: "Kamu telah mengalungkan bala di atas bahu saya."
Sikap ini berbeza benar dengan pemimpin politik yang melonjak-lonjak gembira apabila dipilih menjadi pemimpin. Setelah  ada kuasa di tangannya, Umar Ibnu Aziz menghubungi Hassan Al-Basri, seorang ahli besar di Basrah, dikumpulkan para ulama untuk membantunya dan mereka diminta menceritakan keadilan pemerintahan datuknya Saidina Umar Ibnu Khattab supaya dia dapat mencontohinya.

Ketakutan Umar Ibnu Aziz pada Allah SWT sangat mendalam, dan dalam khutbah yang diucapkan di saat-saat akhir hayatnya, dia memuji orang-orang sufi dengan katanya:
"Tahukah kamu dunia ini masih aman kerana adanya segolongan manusia yang berpakaian compang-camping. Kalau mereka meminta sesuatu daripada kamu, nescaya kamu tidak akan memberinya. Kalau mereka meminang anak-anak perempuan kamu nescaya kamu akan menolaknya. Tetapi tahukah kamu doa-doa mereka tidak pernah ditolak oleh Allah SWT dan pintu langit sentiasa terbuka untuk doa-doa mereka. Kalau tidak kerana adanya golongan ini, sudah layak kamu dibinasakan Allah kerana kederhakaan kamu."

Suaranya amat sayu dengan tangisan yang menyekat-nyekat kelancaran khutbahnya.
Kisah inilah kalau kita hidupkan di tengah masyarakat hari ini akan sakitlah telinga pemimpin-pemimpin politik, akan terpukullah hati-hati mereka yang menyintai dunia. Memang, kelembutan jiwa sufi bukan milik jiwa yang berkarat dengan daki dunia.

Kini, ketiak ahli-ahli politik bercakaran sesama mereka, tembelang demi tembelang saling terbuka. Maka, Allah SWT tidak akan membiarkan jiwa sufi terus terpendam dalam dunia suluk dan zikrnya. Mereka pasti keluar membaiki masyarakat seperti keluarnya Nabi Muhammad SAW dari Gua Hira' memperjuangkan Islam di tengah masyarakat Jahiliah.
Politik orang sufi adalah untuk menawan hati bukan menawan kerusi. Daripada hati yang berubah itulah mereka akan merubah dunia. Mereka pasti menguasai dunia sepertimana mereka menguasai nafsunya, insyaALLAH....


**p/s:
 perasankah kita situasi yang digarapkan oleh sang penulis di dalam buku ini sedang rancak berlaku di tempat kita sekarang ini???? hrmmm...renung2kanlah..

 

3 comments: