Perlahan-lahan matanya dibuka. Dilihatnya kipas siling berpusing
perlahan-lahan. Kepalanya terasa sakit-sakit dan sengal. Ditolehnya ke kanan. Wajah
ibu dan ayah kelihatan dalam riak yang sugul. Tangan ibu kemas memegang erat
tangan kanannya. Seolah-olah ingin mengatakan sesuatu tetapi tidak terpacul
dari bibirnya sepatah perkataan pun. Hanya deraian air mata laju mengalir
membasahi kedua pipi.
Wildan berpaling pula ke sebelah kiri. Ibu dan
bapa mertuanya serta ahli keluarga yang lain juga bermuram durja. Apa
sebenarnya yang berlaku? Wildan jadi tidak sabar. Dikerahnya tenaga untuk
bangun dan menggerakkan kakinya. Serta merta dia mengaduh kuat. Wildan panik.
cepat-cepat dia menyelak selimutnya dan melihat kakinya. Kedua kakinya berbalut
tebal.
"Kedua kaki kamu patah, nak." Bapa
mertuaku bersuara perlahan sambil memegang bahuku.
Pantas Wildan melilaukan mata melihat sekeliling.
Mencari-cari. Kakinya yang patah tidak dihiraukan lagi. Ada yang lebih penting.
Lebih utama di hatinya.
"Ayah, mak, mana Wardatul Syaukah? Mana
anak-anak saya?"
Seketika suasana menjadi makin sugul dan Wildan
melihat titis-titis air mata berderaian dari kedua-dua keluarga yang
dicintainya itu. Semua tidak berani bersuara. Mendiamkan diri menahan esak
tangis. Dicapainya tangan ibunya, tangan ayahnya.
"Ayah, mak, mana dorang ?!"
Ibu mertua Wildan bersuara lemah. "Nak,
Wardatul Syaukah dan keempat-empat anak kamu tidak berjaya diselamatkan. Mereka
semua meninggal ketika dalam perjalanan ke hospital."
Saat itu juga Wildan kaku, bercucuran air mata.
Kata-kata tidak lagi bermakna di ketika itu.
**********
Sudah setengah bulan Wildan terlantar di hospital.
Banyak lagi rawatan susulan yang perlu dia jalani. Wajahnya makin cengkung dan
badannya makin mengurus.
Bukan kerana sakit di kedua kakinya. Tetapi sakit
di dalam hatinya makin menebal dari sehari ke sehari. Perasaan bersalah dan
menyesal menyesakkan dada dan fikirannya. Ibu dan ayah serta keluarga mertuanya
bergilir-gilir menjaga dan menziarahi di hospital. Namun tidak terlepas dari
sedetik pun dia mengenang kesalahan sendiri. Tidak ada senyuman terukir di
wajahnya. Sepatah ditanya, sepatah dijawabnya. Psikologinya dan mental makin
pudar semangat serta kewarasan.
"Wildan, la tahzan." Ayah mertuanya
bersuara lembut seraya duduk di sebelah Wildan.
"Ini dugaan dari Allah. Terimalah qada dan
qadarnya dengan redha, nak. Bukan salah kamu memandu, tapi benda dah nak jadi.
Allah cuma nak lengkapi cerita insannya dengan sebab dan akibat dalam melalui
sakratul maut. Tolonglah terima dengan hati yang terbuka. Allah tahu kamu
tabah, sebab itu Dia uji kamu dengan ujian seberat ini. Ini ujian tingkat iman.
Ujian tingkat redha. Allah nak naikkan maqam kamu ke maqam lebih tinggi dari
orang lain. InsyaAllah, ada hikmah besar di sebalik semua ni." Dihulurnya
satu nota kecil dari koceknya, diberikan pada Wildan.
Wildan membacanya dalam hati, "Sesiapa yang
menjadikan kesusahannya disimpan untuk dirinya sendiri, maka Allah akan
mencukupkan kesedihan itu sehingga menjadi ringan. Dan sesiapa yang (sengaja)
menyebarkan (menambah-nambah) kesusahannya, maka Allah tidak akan peduli di
tempat mana saja ia akan binasa. Hadis riwayat Al-Hakim." "Ingatlah,
hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram. Orang-orang yang
beriman dan beramal soleh bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik.
Surah Al-Ra'd ayat 28-29."
Wildan menatap lesu wajah ayahanda mertuanya.
"Terima kasih, ayah. Ayah, tolong saya ambil wudhu'. Saya terasa nak
bersolat 2 rakaat. Hati saya sangat-sangat sedih, ayah." Air matanya dah
bergenang di kelopak. Air mata lelakinya sering tumpah tidak kira masa, tidak
kira dengan siapa. Air matanya menjadi teramat manja. Air mata jugalah peneman
setia Wildan. Kehilangan orang yang paling dikasihi, anak-anak yang belum
sempat memanggilnya 'ayah' betul-betul menggamit hati kecilnya yang paling
dalam.
"Allahumma inni a'uzu bika minal hammi
walhazan, wa-auzubika minal 'ajzi wal kasal ( Ya Allah, aku berlindung kepadaMu
dari kesedihan dan kegelisahan. Aku berlindung kepadaMu dari kelemahan dan
kemalasan. )...amin Ya Rabbal 'Alameen.."
Benar kata Allah, benar kata Rasul, solat dan
sabar adalah kunci kehidupan manusia. Sinar semangat Wildan mulai
bertitik-terjah dari dasar yang malap.
*********************
Bulan kedua.
Wildan dipindahkan ke wad pesakit-pesakit biasa.
Dalam wad yang lebih terbuka, Wildan sudah ada ramai 'kawan'. Ada lima hingga
lapan orang dalam ruangan tersebut. Semuanya terlantar sakit. Iye lah, nama
lagi wad orang sakit. Wildan mengeluh dalam hatinya, "suasana dalam wad
hanya membuatkan pesakit bertambah sakit." Mana tidaknya, jarang melihat
pesakit yang ceria dan tersenyum gembira. Ramai yang berdiam diri, mengaduh dan
bermuka duka dengan kisah-kisah yang tersendiri. Namun, Wildan sudah ada
sedikit daya positif yang berjaya dicetuskan dalam dirinya sendiri. Tolakan
positif itu hasil dari cebisan iman yang masih ada dalam diri. Berjaya juga
dicoretkan senyuman demi senyuman pada wajah dengan hati yang penuh luka.
Wildan mengelamun menjual detik masa. Wildan
teringatkan pula pesan Ustaz Fakhrun Radzi ketika dia belajar di Jordan
bersama-sama dulu. Kata ustaz, dakwah tetap terus dalam apa jua keadaan. Wildan
memandang sekeliling. Dakwah? Dalam situasi dia patah kaki begini? Dalam wad
yang semuanya orang sakit dan iman tengah terumbang-ambing ni? Wildan teringat
ada ulama' yang buta dan cacat tetapi masih tegar berdakwah di sana sini.
Wildan lupa siapa nama ulama-ulama tersebut, kerana sudah lama dia meninggalkan
bidang dakwah setelah terjun dalam bidang kerja. Dalam hatinya mengakui tugas
dan kerjaya menyebabkan dia tidak
seaktif ketika masih belajar. Namun dalam diam,
dia tidak menafikan kemunasabahan dakwah boleh dialirkan dalam suasana suram
begini. Namun bagaimanakah caranya? Ah! Terasa tebal muka pula nak berdakwah.
Ilmunya dah makin berkarat. Dalam menghitung-hitung dan berfikir-fikir itu
matanya mulai layu. Mengantuk.
Tidak larat rasanya nak fikir tentang ummah. Rasa
dalam hati pun masih tidak teratasi total.
"Abang..abang..saya nak tanya boleh?"
Mata Wildan yang hampir tertutup tadi terbuka luas kembali menoleh ke sebelah
kirinya. DIlihatnya seorang remaja lelaki. Mungkin budak sekolah menengah.
"Ye saya, ada apa dik?" "Betul ke ada cara nak lepas dari seksa
kubur? Abang tau tak camana?" Kuat betul nada suaranya sehingga kedengaran
oleh dua tiga pesakit yang berdekatan. Semua menoleh dan memandang ke arah
Wildan. Wildan kaget seketika namun dengan tenang Wildan membalas, "Benar
dik, ada caranya. Rasulullah sendiri yang ajar umatnya cara tersebut."
"Nabi galakkan kita supaya hafal dan amalkan membaca Surah Al-Mulk sebelum
tidur. Ada dalam hadis yang diperakui kesahihannya, namun abang tidak ingat matannya.
Tapi abang lebih syorkan Surah Al-Mulk ini dijadikan amalan bacaan harian
walaupun bukan sebelum tidur." Budak itu merenung tajam ke arah Wildan,
"..tapi abang, saya tidak hafal surah Al-Mulk tu. Boleh ajar saya tak
bagaimana nak hafal surah tu? Saya takut kalau saya mati, saya kena seksa dalam
kubur nanti. Dosa saya bertimbun ni...tolong ye bang?"
Wildan tersenyum sendiri. "Adik ada Quran
kan? Hafallah dari situ." Budak itu mengunjukkan kedua-kedua tangannya
yang sudah dipotong kepada Wildan.
"Oh..patutlah.." getus hati Wildan. Ada
rasa pilu di hatinya. "Baik, adik ikut abang baca ye." Mujurlah
Wildan adalah seorang hafiz 30 juzuk Al-Quran di dalam dada. Inilah keberkatan
Al-Quran. Al-Quran menyinari hidup pembaca dan pengamalnya, malah tempias sinar
pengamalnya merebak pula pada jiwa-jiwa kosong di sekitar. Adzim!
"Auzubillahiminassyaitonirrajim..Bismilllahirrahmaanirrahim.."
"Tabaarakallazi biyadihil mulk.. Wahuwa 'ala
kulli syaiin qadir.." Wildan membaca sehingga ayat kelima.
Mendayu-dayu alunan suara Wildan. Wildan popular
di kolejnya dulu dengan bacaan tarannumnya yang memikat hati para pendengar.
Syahdu dan sedap ala-ala Syeikh Mishary al-Afasi yang terkenal di dunia. Kagum
seketika budak tu mendengar bacaan Wildan. Baru sahaja dia nak memulakan sesi
hafalannya itu, kedengaran suara-suara berhampirannya dan sekitar Wildan
mencelah. Hiruk pikuk seketika memecahkan kesunyian pagi.
"Adik, ajar pakcik juga boleh?"
"Ajar makcik juga!" "Ajar akak gak!"
"Kami pun mahu belajar~~!" "Ajarlah
kami!"
Wildan tersenyum lebar memandang ke sekeliling.
Wah, ramainya nak belajar. Hampir semua dalam ruangan wad tersebut nak belajar
hafal Quran dengan Wildan.
"InsyaAllah! Semua boleh!" Wildan
membalas dengan senyuman di wajahnya dibalas dengan senyuman, senyuman dan
senyuman dari wajah-wajah yang sakit di sekelilingnya.
Dalam hati, Wildan memanjat setinggi-tinggi
kesyukuran kepada Allah kerana dengan hidayahNya-lah terbuka hati-hati di
sekitarnya. Hari pertama di bulan yang kedua, ada bibit kegembiraan dan
kebahagiaan terasa dalam hati Wildan. Terasa kasihnya Allah pada hambanya.
Di suatu sudut yang lain, ada sepasang mata yang
sedang memerhati. Ada sepasang telinga yang mencuri-curi dengar.
*********************
Sudah masuk minggu kedua Wildan di wad baru.
Suasana dari sehari ke sehari seakan-akan tidak lagi berada dalam wad. Seperti
berada dalam madrasah kecil atau sekolah pondok yang dipenuhi dengan
pengajian-pengajian Al-Quran dan pencerahan ilmu agama. Cuma bezanya dihadiri
oleh pesakit yang sakit. Penziarah yang menziarah. Namun bukankah kita semua
pun adalah 'pesakit' yang perlukan 'rawatan' tajdid pemikiran dan islah ilmu
pengetahuan sedari kecil hingga ke peringkat universiti antarabangsa?
Popularnya wad tersebut sehingga digelar 'wad usrah'
oleh jururawat-jururawat di situ. Nama Wildan mulai meniti dari mulut ke mulut
staf dan pengunjung wad di situ. Ada yang memanggil dengan gelaran 'Ustaz
Wildan', ada juga yang panggil 'Imam Muda Wildan'.
Hampir setiap pagi setelah masing-masing menerima
rawatan, seorang misi akan menolong menyorong kerusi roda Wildan supaya berada
di ruangan tengah. Di tengah-tengah pesakit-pesakit. Dan bermulalah pengajian
Al-Quran. Masing-masing seakan tidak jemu dengan suara Wildan. Merdu dan enak
didengar. Sekali cuba pasti nak lagi. Wildan gembira kerana dah ada di antara
mereka yang berjaya hafal Surah Al-Mulk dengan lancar. Bermakna usahanya
membuahkan hasil juga. Malah, dah ada permintaan baru supaya Wildan ajar mereka
bertarannum pula.
Tidak kurang juga yang menjadikan Wildan tempat
bertanya soalan-soalan agama. Walaupun Wildan bukan seorang ustaz, namun
ilmunya ketika belajar dulu banyak membantunya menjawab persoalan demi
persoalan. Wildan juga melalui proses muhasabah diri sendiri melalui mengajar.
"Iza lam tushghil nafsaka bil haqqi,
shaghalat ka bil baathil..yakni bermaksud kalau kamu tidak menyibukkan diri
dengan kebenaran, maka hawa nafsu akan menyibukkan kamu dengan kebatilan.
Itulah kata-kata hikmah oleh Al-Imam Al-Syafi'i kita wahai abang-abang, kakak-kakak,
adik-adik semua.
Dalam konteks kita berada dalam wad, dalam keadaan
kita sakit sekarang..dalam keadaan kita diuji, jika kita tidak cuba menyibukkan
diri dengan berbuat amal ibadah walaupun sedikit.. pada fikiran saya sudah
tentu syaitan akan mengambil peluang ini untuk memujuk hawa nafsu kita supaya
rasa malas. Malas nak solat dengan sebab sakit, malas nak berzikir sebab badan
lemah. Lama-lama kita akan menghampiri rasa putus asa, rasa kecewa dan lebih
dahsyat lagi putus harapan pada Allah.
Sedangkan Allah datangkan mehnah dan sakit adalah
sebagai nikmat. Kenapa pula nikmat? Kerana Allah mengampuni dosa-dosa,
meluruhkan daun-daun maksiat diri melalui sakit. Dalam erti kata yang lain,
Allah sayang sangat pada kita. Dia masih sayang kerana itu Dia uji kita. Sakit
itu nikmat. Jika ia nikmat maka perlulah kita bersyukur dan bersujud walau
dalam apa keadaan sekalipun. Bukan sahaja sihat itu adalah nikmat. Sakit jua
adalah nikmat dan rahmat dari Allah."
Wildan bertazkirah ringkas. Kata-katanya disusun
lembut tetapi berhikmah. Tazkirahnya tidak panjang dan tidak menjemukan. Itulah
yang membuatkan Wildan makin disenangi dan disayangi kawan-kawan sakitnya.
Malah doktor dan jururawat-jururawat di situ juga ada yang duduk seketika
mendengar apabila Wildan bertazkirah.
Masuknya waktu solat fardhu Zohor.
Hari ini ahli keluarga Wildan tidak datang ziarah
kerana masing-masing ada urusan sendiri. Biasanya mak atau adik beradiknya yang
menolong Wildan mengambil wudhu'. Hari ni Wildan terpaksa minta tolong jururawat.
"Misi, boleh bantu saya nak ambil air sembahyang tak?" Seorang misi
lingkungan 40-an dipanggilnya.
Tiba-tiba ada suara mencelah, "Takpe, biar
saya yang uruskan." Muncul seorang wanita beruniform doktor di hadapan
Wildan. Memperkenalkan dirinya sebagai Doktor Rashidah. Katanya doktor
praktikal selama 3 bulan. Wildan segan untuk melihat wajah doktor tersebut. Tak
dinafikan Dr.Rashidah mempunyai rupa paras yang jelita dan ayu. Berkulit cerah
dan nampak sangat menawan berbanding misi-misi di wad tersebut. Wildan
menundukkan kepalanya seraya tersenyum, tidak berminat untuk bertaaruf lebih
lanjut.
"Tak mengapalah doktor, inikan bukan tugas
seorang doktor. Cik misi boleh tolong saya." "Eh, siapa kata doktor
tak boleh buat kerja misi?" Doktor muda tersebut argue sambil menarik
tirai menutupi ruangan katil Wildan. Seakan tahu Wildan takut tersentuh kulit,
dia memakai glove awal-awal lagi. Disapu dan dilapnya bahagian-bahagian anggota
wudhu' dengan air perlahan-perlahan. Muka Wildan merah padam kerana teramat
segan dengan doktor baru. Dia berharap agar cepat-cepat selesai sebab tak
selesa dengan keadaan hanya berdua dalam ruangan tirai tertutup.
"Ok, dah siap." Dibukanya kembali tirai.
"Sekarang, awak boleh solat ye." "Terima kasih doktor."
"Sama-sama, lain kali kalau awak nak solat biar saya je yang uruskan
wudhu' Imam Muda Wildan ye.."
Dr.Rashidah tersenyum manis mengusik Wildan.
Dr.Rashidah tahu Wildan rasa malu padanya. Tapi dia seakan-akan suka lihat
Wildan malu. Dirasanya sangat comel. Iye lah, Wildan bukan calang-calang orang
juga. Mempunyai paras yang hensem dan segak. Cuma kumis dan janggut tidak
terurus sejak berada di hospital. Dibiarkan sahaja berjambang lebat. Wildan dah
tak berminat untuk menguruskan dirinya supaya nampak muda. Baginya hal itu remeh
temeh semata-mata. Lagipun Wildan tahu, dalam hadis riwayat Al-Thabari ada
menyebut, sesungguhnya syaitan sudah putus asa mengajak manusia menyembah
berhala di negara Arab, akan tetapi syaitan akan senang sekali menggoda kita
dengan yang lebih ringan dari itu iaitu dengan hal-hal yang remeh temeh;
perbuatan yang membinasakan kita di akhirat kelak.
"Allahuakbar!"
Seorang insan bersolat dalam keadaan duduk dengan
rasa sayu di hati dan mengharap redhaNya. Itulah Wildan. Mujahadah seorang
mujahid.
********
“Ustaz Wildan, kenapa mukmin imannya tidak tetap?
Sekejap ok, sekejap tak ok?” Pakcik Man menyoal ringkas.
“Perumpamaan seorang mukmin adalah seperti tanaman
yang yang keras, terkadang dia digoyang oleh angin dan terkadang dia ditegakkan
oleh angin sampai mengering-menguat dan matang-. Ataupun ibarat tanaman yang
dicondongkan oleh angin, mukmin akan selalu ditimpa cubaan dan dugaan.
Sedangkan orang kafir ibarat padi yang menancap kuat pada akarnya, tidak mampu
dicondongkan oleh angin kerana terlalu kuat, sehingga patah hanya sekali.
Inilah yang disebut dalam riwayat Al-Bukhari. “
“Maknanya, iman seorang muslim yang beriman itu
tidak selalu tsabat yakni teguh pada tempatnya. Kadang-kadang diuji dengan
berat oleh Allah sehingga imannya berada di tahap paling bawah. Namun apabila
dia bersabar dan hadapi segalanya dengan tabah serta berserah pada Allah,
imannya berada di tahap paling tinggi. Kerana itulah kalau kita lihat di negara
kita, orang Islam ramai yang lemah apabila berhadapan dengan masalah kewangan
ataupun disogokkan dengan kemewahan dan harta benda. Kerana jaga pangkat dan
kerjaya, sayangkan harta, perjuangan Islam mulalah dilupakan. Wujudlah
politikusarap merata-merata. Mulalah perjuangan Islam bertukar menjadi
perjuangan menyelamatkan kebangsaan dan kepentingan kaum berbilang kaum.
Sedangkan jika agama Islam itu dipraktikkan dan diutamakan, pastinya
kepentingan-kepentingan tersebut terjaga secara automatis.”
“Manakala kafir dan pemikirannya tidak pernah jemu
untuk mengalahkan, menjatuhkan dan memalukan Islam dan orangnya. Tersebar
dengan pelbagai nama korupnisme, liberalisme, sekularisme, kebebasan untuk
semua dan macam-macam lagi adalah agenda kaum musyrikin. Menyebabkan sehari ke
sehari orang Islam kita makin lemah. Orang Islam pula hanya segelintir yang
tidak puas berfikir bagaimana untuk menyelamatkan Islam dan mengalahkan kafir.
Tidak bersatu kerana Islam. Bersatu kerana pasukan bola kegemaran je. Ramainya
orang Islam, tetapi kurangnya orang Mukmin. Yang ramainya, orang Islam yang
guna ubat gigi Mukmin.” Wildan berseloroh dalam berusrah. Makcik-makcik
tersenyum kecil.
“Tapi Islam selalu aje kalah Imam Muda Wildan?
Tidak kiralah perjuangan kecil dari partai Islam atau kumpulan kecil Islam
sehinggalah ke peringkat negara Islam seperti Palestine, Afghanistan dan
sekitarnya, kita dengar dan lihat jarang sekali Islam menang. Zaman dulu-dulu
je Islam menang. Hatta negara Arab sekalipun tunduk pada kekuasaan Barat. Apa
komen Imam Muda?”
Wildan terdiam seketika hampir 10 saat. Kemudian
dia membacakan Surah Al-A’raf ayat 164. Pendek sahaja tapi merdu. “Begini
abang-abang, kakak-kakak dan adik-adik sekalian. Ayat tadi bermaksud, dan
ingatlah ketika suatu umat di antara mereka berkata, ‘Mengapa kamu menasihati
kaum yang akan dibinasakan atau diazab Allah dengan azab yang keras?’ Mereka
menjawab, ‘Agar kami mempunyai alasan berlepas tanggungjawab kepada TuhanMu,
dan agar mereka bertaqwa.’”
“Ayat tadi dah jelas-jelas bagitau supaya kita ada
alasan dan sandaran di hadapan Allah kelak andai ditanya ‘apakah kamu sudah
berjuang menegakkan dan menyebarkan kalimah Allah ketika hidup?’. Pastinya yang
langsung tidak berdakwah akan terdiam kelu di hadapan Allah di padang Mahsyar.
Matlamat kita memerangi dan berdakwah pada orang kafir bukanlah kerana matlamat
hendak menang secara total sehingga nampak nyata kemenangannya contohnya
seperti zaman dulu orang Islam berjaya menawan negeri-negeri kafir. Pastinya,
menawan sesebuah negara melalui peperangan adalah tipis sekali kemenangannya. “
“Pakcik makcik rasa, apa yang terjadi pada seluruh
umat Islam dunia tatkala insan-insan tidak berdosa di Palestine disembelih dan
dibunuh Israel?”
Adik kecil di sebelah Wildan menjawab, “Saya
nampak ramai orang Islam marah. Bangkit ramai-ramai suarakan kemarahan melalui
demonstrasi jalananan, kutukan-kutukan di dada akhbar, di blog-blog di
internet, tak kurang juga ceramah-ceramah dakwah tumbuh bagai cendawan di
merata tempat sebagai reaksi tidak puas hati kezaliman Israel. Tak kurang juga
yang berani menghantar misi bantuan makanan dan ubatan ke Ghazzah. Tapi reaksi
bermusimlah. ”
“Itulah ‘kemenangan’nya. Walaupun Palestine hilang
negara, tetapi mereka membina ‘wilayah’ baru dalam hati setiap orang Islam.
Yakni, ada rasa dan semangat yang timbul dalam benak serta pemikiran orang
Islam untuk sama-sama memperjuang dan menyelamatkan Islam dari terus
dipijak-pijak tanpa maruah oleh Kafir laknatullah. Dan erti ‘taqwa’ mula
terbias pada orang Islam serta orang kafir. Taqwa itu bermaksud takut pada
Allah. Orang Islam membina taqwa dalam diri. Orang kafir mulai gerun dan takut
dengan kebangkitan orang Islam beramai-ramai pada suatu masa nanti. Malah
mereka sentiasa takut kerana itulah mereka tidak putus-putus berusaha
melenyapkan Islam di muka bumi. Menang bukan matlamat, tetapi dakwah dan mesej
Islam adalah misi kita. Mengajak mereka yang alpa kembali ke pangkal jalan.
Tambah-tambah dunia kini, orang Islam adalah musuh kepada Islam itu sendiri. ”
Masing-masing mengangguk perlahan. Mungkin ada
yang setuju, mungkin juga ada yang tidak setuju dengan Wildan. Wildan
tersenyum.
Tersenyum kerana usrah tetap hidup dalam ruangan
yang terhad.
***********
Sudah ke penghujung bulan yang kedua.
Wildan memerhati kedua kakinya yang masih
berbalut. Terfikir pastinya masa yang lama lagi diperlukan untuk betul-betul
sembuh. Mungkin setahun dua. Wildan terfikir untuk balik ke rumah tetapi bila
fikir pastinya menyusahkan mak dan ayahnya yang sudah tua, dibatalkan hasratnya
itu. Lagipun pihak insurans telah membiaya penuh kos rawatan di hospital. Namun,
Wildan berhajat akhir bulan ketiga dia dah hendak pulang ke rumah. Rindu pada
suasana di luar wad mula menusuk kalbunya. Wildan nak cepat-cepat sembuh, siang
malam dia berdoa supaya diberikan kekuatan dan inayah oleh Allah. Supaya cepat
proses cantuman urat-urat, sel-sel dan daging-daging di kakinya. Supaya dia
mampu melangkah kembali. Supaya dia mampu berjalan menziarahi kubur arwah
isteri dan anak-anaknya. Hatinya cepat sebak teringatkan arwah. Walaupun arwah
sudah tiada, namun rindu sentiasa bertamu.
Semalam Wildan didatangi rakan sepejabatnya.
Diserahkan pada Wildan surat perletakan jawatan Wildan. Dengan kata lain,
Wildan dah diberhentikan kerja oleh majikannya. Wildan awal-awal lagi dah
expect tindakan majikannya itu. Wildan redha. Apalah yang dia mampu buat dengan
ketidakmampuannya sekarang. Masa yang lama lagi pula tu diperlukannya untuk
sembuh. “Allah, rezeki ada di mana-mana. Tidak perlu risau. Anggaplah Allah
bagi cuti dan istirehat sekarang pada diri. Syukur Alhamdulillah.” Pujuk hati
kecilnya. Wildan pun dah menyuruh kedua-dua keluarganya datang menziarah pada
hari minggu sahaja, tidak perlulah menjaganya setiap hari. Wildan tidak mahu
menyusahkan sesiapa.
“Hai, mengelamun nampak?” Sapa suara yang biasa
didengarnya. Doktor Rashidah.
Wildan hanya tersenyum. Doktor muda itu banyak
menolong menguruskan dirinya akhir-akhir ini. Wildan hairan juga. Sudah jemukah
jururawat di situ dengan pekerjaan sebagai jururawat? Sampai doktor pula yang
kena ambil alih tugas jururawat? Doktor Rashidah menyorong kerusi roda Wildan
ke bilik imbasan X-Ray. Wildan diam tak banyak berkata-kata dengan doktor
muslimah itu. Malah Wildan tidak gemar melihat wajah cantik doktor itu.
Dr.Rashidah suka bertanyakan soalan tentang diri Wildan, tetapi Wildan tidak
banyak menjawab. Hanya senyuman yang menjadi balasan.
“Arwah isteri awak cantik tak orangnya? Boleh
ceritakan pada saya tak bagaimana orangnya?” Tanya Dr.Rashidah tiba-tiba. Masih
ada beberapa blok yang perlu dilalui sebelum sampai ke bilik X-ray.
“Emm..isteri saya tu biasa je. Cantiklah di mata
suaminya. Tak tahulah di mata orang lain. Orangnya lembut dan penyayang, suka
pada ilmu agama. Saya pilih dia adalah kerana peribadinya yang beragama, bukan
luarannya. Sebab saya doa pun nak dapat isteri yang Qurrata ‘Ayun, sejuk di
mata dan di hati..tenang di dalam hati. Itulah yang saya dapat. Sejuk di hati
saya, senang di pandangan saya. ” Entah kenapa Wildan rasa nak jawab soalan
doktor itu.
“Saya ni takde Qurrata ‘Ayun ke?” Dr.Rashidah
tersengih kecil seraya melihat ke dalam mata Wildan. Wildan terdiam dan
tersenyum. Susah juga Wildan hendak menjawabnya.
“InsyaAllah, di mata bakal suami Dr.Rashidah
nanti.” Wildan tahu Dr.Rashidah masih belum bernikah. Iyalah, baru lepas grad
di Moscow Russia. Itulah yang jururawat di wadnya khabarkan. Entah ye entah
tidak. Umur pun baru 24. Ramai doktor-doktor dan pelawat-pelawat di hospital
ini tergila-gilakan Dr.Rashidah yang cun. Sedangkan Wildan sudah mendekati
angka tiga. Sekarang bergelar duda pula tu.
“Lepas ni Imam Muda Wildan nak kahwin lagi ke?”
Wildan terdiam lagi. Tak dijawabnya persoalan itu
hinggalah sampai ke bilik X-Ray. Wildan tiada hati berbicara soal nikah lagi.
Setia masih merasuk kalbu.
Doktor bilang pada Wildan, kakinya sudah beransur
sembuh namun masih tidak boleh bertongkat kedua kaki dengan lasak. Sekadar
latihan dan praktis tu boleh. Masih perlu terapi dengan cermat.
Wildan menarik nafas lega. Syukur. Doktor Rashidah
memerhati perkembangan Wildan dengan penuh minat. Entah apa tersirat di dalam
dadanya.
******
Bulan ketiga dan terakhir bagi Wildan. Pukul 5.30
petang.
“Dik, solat berjemaah dapat banyak pahala kan?
Berapa ye?” Seorang kakak yang agak jauh dari katil Wildan bertanya. Maklum
sekali wad ini dipisahkan bahagian muslimin dan muslimat.
“Dua puluh tujuh kali ganda kak dari solat
bersendirian.” Wildan meninggikan sedikit nadanya.
“Tapi dah sebulan lebih akak di hospital ni. Solat
sendirian je. Tak pernah dapat solat berjemaah sejak sakit.”
Kemudian beberapa suara lain juga mencelah
mengiyakan pernyataan kakak itu. Pakcik-pakcik dan makcik-makcik pakat-pakat
bersuara. Ruangan di wad itu kembali hingar bingar.
“Baiklah, nanti kita solat berjemaah ye
bersama-sama. Sekurang-kurangnya Maghrib dan Isyak. Nak?” Wildan bersuara
meredakan suara-suara ramai. Semua angkat tangan bersetuju. Yang sakit tangan
pun cuba angkat tangan. “Ustaz Wildan jadi imam, kami setuju!”. Wildan
tersenyum sendirian.
Maghrib itu terjadi revolusi pertama seumpamanya.
Misi-misi membantu merapatkan katil-katil pesakit. Walaupun tidaklah serapat
mana kerana terhalang dengan wayar-wayar saliran darah dan air, tapi dah
seakan-akan membentuk saf-saf seperti di surau. Malah doktor-doktor yang masih
bertugas malam bersama jururawat-jururawat turut serta menghampar tikar di saf
belakang dan mengisi ruang-ruang kosong di antara katil-katil pesakit. Hampir
penuh ‘wad usrah’ malam itu. Jiwa-jiwa yang mengharapkan redha Allah.
“Bismillahirrahmaanirrahim..”
Imam Muda Wildan membacakan Surah Qaf dengan
begitu merdu sekali. Makmum yang bersolat sambil berdiri, sambil duduk, dan
sambil baring khusyuk bersolat di belakang imam. Menikmati alunan suara imam
muda itu. Imam pula bersolat duduk di atas katilnya menghadap kiblat. Air mata
Wildan menitis tatkala melagukan Surah Qaf kesan dia menyelami maknanya.
Menyebabkan esak tangis ketika solat, diikuti esak tangis para makmum. Wildan
tidak pasti kenapa makmum juga menangis, tetapi Wildan pasti hati-hati para
makmum sedang ‘diluntur’kan dosa-dosanya oleh Tuhan Yang Maha Pengasihani.
Allah, indah sekali suasana di dalam wad itu pada malam itu. Seakan-akan para
malaikat turut sama turun bersolat di belakang Wildan, mengaminkan doa para
solihin. Malam yang penuh barakah. Imam dan makmum yang penuh zuhud. Orang
sihat tidak akan mensyukuri nikmat sihat sehinggalah dia sakit.
Begitulah setiap malam dalam bulan ketiga dilalui
dengan penuh rasa keinsafan. Malahan wad usrah semakin popular di dalam
hospital tersebut. Bukan setakat pesakit yang bersolat bersama-sama, doktor
serta jururawat, malah pengunjung-pengunjung yang menziarah dan menjaga pesakit
juga ikut serta. Ada juga pesakit yang minta ditukarkan ke wad Wildan berada
semata-mata hendak bersama-sama mengikuti usrah dan pengajian serta merasai
kelazatan solat berjemaah. Sekarang dah ada muadzin yakni bilal iaitu adik yang
bertangan kudung, Wildan pula sebagai imam tetap tanpa gaji. Dakwah adalah
gratis, percuma dua ratus peratus!
Dr.Rashidah juga jarang sekali tidak bersolat
bersama-sama muslimat di belakang Imam Muda Wildan. Doktor muda itu makin
mengagumi keperibadian dan karekter Wildan. Tanpa sedar ada rasa yang bercambah
di dalam hatinya. Begitu juga setiap orang di wad tersebut terasa sayang kepada
Wildan. Benarlah kata ulama, orang yang berjuang di jalan Allah mendapat ramai
kawan dan menambah ramai lawan. Disayangi dan dicintai. Itulah ukhuwwah fillah
abadan abada.
************
Hari ni hari ketiga terakhir di wad. Wildan serasa
cinta suasana di wad itu, tetapi apakan daya rindu yang menebal pada suasana di
luar makin merasuk-rasuk hatinya.
Usrah di wad Wildan berterusan lancar. Walaupun
pesakit silih berganti, namun sambutan dan penerimaan cara usrah Wildan tetap
positif. Seperti biasa setelah sesi usrah pagi hari, Wildan akan berehat
seketika di katilnya. Sedang dia berehat, Dr.Rashidah menyampaikan khabar dia
ada pelawat. Seorang pakcik tua. Akhir-akhir ini ramai benar pelawat yang bukan
dari kalangan pesakit datang mengunjunginya. Ramai yang bertanyakan hal-hal
agama. Hairan juga Wildan, sudah pupuskah ustaz-ustaz di luar sana? Walhal ramai
ustaz yang berkelulusan luar negara, dari Azhar, Jordan, Syria tak kurang juga
dari dalam negara UM, UKM, KUIS, KUIN, KIAS dan lain-lain. Tetapi Wildan juga
menjadi tempat rujukan soalannya. Namun, Wildan tetap melayani sekadar
kemampuannya mereka yang datang bertanya. Tidak mengapalah. Lagipun dia tiada
kerja lain pun.
“Assalamualaikum Ustaz Wildan. Pakcik sebenarnya
ada kemusykilan tentang perkahwinan anak pakcik.”
“Waalaikumussalam. Teruskan.” Wildan cermat
mendengar.
“Kaum kerabat pakcik dan keturunan pakcik semuanya
bernikah dengan golongan yang berdarjat dan berharta. Namun anak dara pakcik
yang seorang ini engkar dengan kemahuan pakcik. Berkeras juga mahu pemuda biasa
yang tak ada kerja dan menganggur. Pangkat dan darjat tu jauh sekali. Jauh panggang
dari api, seperti bumi dengan langit. Jadi, apa pandangan ustaz? Perlukah
pakcik berkeras atau mengalah sahaja dengan kemahuan anak pakcik? Bukankah
seorang anak patut patuh dengan arahan walidnya?”
Wildan senyum. “Rasulullah SAW pernah bersabda pada
golongan Al Asyaj: ‘Sesungguhnya dalam dirimu ada dua hal yang dicintai oleh
Allah SWT, iaitu kelemahlembutan dan kesabaran.’ Itulah jawapan kepada soalan
pakcik yang terakhir, dan itulah yang saya nampak pada diri pakcik sekarang.
Jika pakcik tidak ada dua elemen ini, sudah pasti pakcik tidak datang jauh-jauh
untuk bertanya pada saya. Ini juga tanda kasih pakcik pada anak pakcik.” Pakcik
itu tersenyum sama. Baru nampak tidak tegang sangat riak di wajahnya.
Wildan menyambung, “Dalam sebuah riwayat diceritakan
bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: ‘Setelah Allah mengumpulkan semua
manusia berdirilah seorang penyeru dan berkata: “Di manakah orang yang
mempunyai kelebihan?” Rasulullah kemudian berkata, maka berdirilah beberapa
orang manusia kemudian segera masuk ke dalam syurga. Para malaikat kemudian
bertanya kepada mereka, “Apakah kelebihan kamu semua?” Mereka semua menjawab,
“Kalau kami dianiaya kami bersabar, kalau kami ditimpa musibah kami
menanggungnya.” Kemudian dikatakan kepada mereka, “Masuklah kamu semua ke dalam
syurga, alangkah nikmatnya pahala orang-orang yang beramal.”
“Dari cerita ini, harta benda dan darjat bukanlah
kelebihan di negara akhirat. Malah tidak dilebihkan walau barang sedikit pun
dengan kelebihan yang pernah ada di dunia itu.”
Pakcik itu tunduk seketika. Termenung, kemudian
berkata pada Wildan. “Terima kasih nak, pakcik sudah dapat sedikit pencerahan.
Pakcik minta diri dulu kalau begitu.”
Wildan masih tidak sempat habiskan kata-katanya.
Masih ada yang ingin diperkatakan tentang nikah dalam Islam. Baru saja
muqaddimah. Mungkin pakcik tua itu terasa hati fikirnya. Sebab itu kelihatan
sangat tergesa-gesa. Pakcik itu mengeluarkan dua keping note lima puluh ringgit
kepada dihulurkan pada Wildan. Wildan cepat-cepat menolaknya. “Kata-kata saya
free, dakwah sepatutnya percuma seratus peratus.” Pakcik itu lantas berkata,
“tapi erti hidup pada memberi..ambillah..” Wildan cepat-cepat memotong ayat
pakcik, “Pakcik yang saya hormati, erti hidup adalah pada menyampaikan, bukan
pada memberi. Kita hanya hamba Allah menyampaikan apa sahaja yang diberikan
oleh Allah kepada kita. Tiada satu pun milik kita pakcik. Tiada apa pun milik
kita hatta diri sendiri kita bukan milik kita. Semua milik Allah. Semua dari
Allah. Semua Allah yang beri. Kita apa ada?”
Pakcik diam seketika. Tersenyum sambil mengangguk
faham. “Jika ada duit banyak, apa impian kamu?” Pakcik bertanya sebagai soalan
akhir.
Wildan pelik juga tetapi tanpa banyak soal terus
membalas, “Saya tak suka perkataan ‘jika’, tetapi andai diizinkan Allah
dimurahkan rezeki, impian saya adalah untuk membina masjid 24 jam. Yakni masjid
yang beroperasi dan buka 24 jam. Siapa nak solat, nak tidur beri’tikaf, nak
singgah bermusafir, nak ceramah, nak usrah, nak mengaji Quran dan semua benda
halal yang boleh dibuat, semua boleh dilakukan di masjid tersebut. Sebab saya
sedih dengan masjid-masjid yang ada sekarang. Dibuka hanya pada masa solat,
dikunci pada malam harinya.”
Pakcik itu bersalaman dengan Wildan dan meminta
diri. Pakcik yang pelik kata hati Wildan. Namun dia tidak mahu sukzon.
Dibiarkan sahaja perasaan dalam hatinya itu hilang.
Wildan perasan Dr.Rashidah memerhatikan
perbualannya dengan pakcik tadi. Namun Wildan tidak menghiraukan juga
Dr.Rashidah. Dia tidak berminat.
****
Petang hari kedua terakhir. Esok Wildan dah nak
keluar wad. Ramai betul orang datang menziararahi Wildan. Semua sedih Wildan
dah nak tinggalkan wad. Lepas ini tiada lagi imam muda mengimamkan solat di wad
tersebut. Tiada lagi ustaz muda mengajar Al-Quran kepada pesakit-pesakit di wad
itu. Bagi pakcik-pakcik dan makcik-makcik, Wildan dah dianggap sebagai anak
mereka sendiri. Disayangi dan dikasihi. Begitu juga adik-adik, abang-abang dan
kakak-kakak di situ. Dah anggap Wildan seperti adik beradik sendiri.
Pengunjung-pengunjung yang mengenali Wildan datang berpusu-pusu bersalaman
dengan Wildan. Ada yang membawa buah-buahan sebagai buah tangan untuk diberikan
padanya.
Pukul 6.30 petang.
Masa melawat pun dah lepas dari tadi lagi. Wildan
terbaring keletihan. Penat melayani penziarah-penziarah yang datang. Di
kejauhan, kelihatan Dr.Rashidah di mejanya sedang mencatat sesuatu pada helaian
kertas. Mungkin tengah siapkan report fikir Wildan. Tiba-tiba Wildan lihat
Dr.Rashidah tergesa-gesa keluar bersama jururawat. Mungkin ada emergency.
Angin bertiup agak kencang masuk ke dalam wad.
“Hari nak hujan kot,” getus hati Wildan seraya menarik selimutnya sedikit
kesejukan. Tiba-tiba sehelai kertas melayang jatuh di katilnya. Wildan mencapai
kertas tersebut. Dibacanya dalam hati.
“Berikan cintamu, juga
sayangmu, percaya padaku, ku ‘kan menjagamu, hingga akhir waktu menjemputku.
Tolonglah aku, bagaimana diriku? ungkapkan itu, rasa yang membelenggu. Ingin ku
katakan, ku cinta padamu..Imam Muda Wildan..”
Terkesima seketika Wildan. Kertas siapa ni?
Takkanlah dari adik lelaki yang di sebelah kot? Geli geleman Wildan memikirkan
kertas itu ditulis oleh lelaki kepadanya. Cepat-cepat Wildan menggumpalnya dan
menyelitkan di bawah bantal. Malu kalau diketahui.
****
Maghrib menjelma.
Azan dilagukan oleh Adik Kamal Abd Rahman di
sebelahnya. Maghrib yang terakhir di wad usrah. Ramai yang hadir pada malam
itu. Sesak wad sampai ke luar pintu wad. Semua berebut-rebut manjadi makmum.
Pesakit, doktor, jururawat, pengunjung, penjaga pesakit semua ada dalam saf,
atas tikar sejadah masing-masing. Wildan membaca Surah Al-Rahman sampai habis.
Syahdu dan sayu bunyinya. Imam dan makmum sama-sama menangis dalam kekhusyukan.
Selesai sahaja solat, Wildan mula menyampaikan
tazkirah maghrib dan hajatnya itulah usrah perpisahan yang terakhir antara dia
dan insan-insan di wad itu. Semua tekun mendengar. Seakan berhenti seketika
perkhidmatan doktor dan jururawat di wad itu. Semua pakat menjadi pendengar
yang setia. Kuatnya aura keikhlasan dakwah Wildan.
“Abang-abang, kakak-kakak, pakcik-makcik,
adik-adik sekalian seterusnya semua yang hadir pada malam ini. Ini adalah
pesanan saya yang terakhir untuk kamu semua di wad yang dirahmati Allah ini.”
Kelihatan ada mata-mata yang bergenang air mata terutama makcik-makcik yang
halus jiwanya.
“Rasulullah SAW pernah ditanya, ‘Siapakah orang
yang paling pandai?’ Rasulullah menjawab: ‘Orang yang paling pandai adalah
orang yang paling banyak mengingati kematian dan orang yang paling bagus
persiapan serta persediaannya untuk kehidupan sesudah mati.’ Hadis ini
diriwayatkan oleh Al-Thabarani.”
“Dalam suatu riwayat yang lain oleh Al Bazzar,
diceritakan tatkala Rasulullah SAW melewati sebuah majlis di mana orang-orang
di situ sedang tertawa, Rasulullah kemudian berkata kepada mereka,
‘Perbanyakkanlah mengingati kematian yang memutuskan semua kenikmatan dengan
pantas. Orang yang mengingat kematian ketika hidupnya susah, akan merasakan
keluasan dan kelapangan. Dan orang yang mengingati kematian ketika hidupnya
senang, maka kematian akan membuat hidupnya terasa sempit.’”
“Saya sendiri merasai ngerinya dan sedihnya impak
sebuah kematian. Kehilangan isteri tercinta dan 4 orang anak kembar. Walhal
saya memandu dengan berhati-hati, tidak saya perasan Malaikatul Maut berada
bersama-sama sepanjang perjalanan. Saya rasa selamat dan aman tetapi lupa
kematian tidak kira masa dan suasana. Gembira atau sedih, aman atau huru-hara,
tanpa lengah kematian tetap menjengah kita yang sentiasa alpa. Selama berada di
hospital, setiap hari ada sahaja yang meninggal. Ia sudah cukup menginsafkan
diri saya dan harapnya kamu semua juga mengambil ibrah dan iktibar dari
kehilangan ‘teman-teman’ sehospital. Tidak boleh kita berbaring dengan terlalu
senang lenang, siapa tahu selepas ini atau malam ini ketika tidur jantung kita
berhenti berdetak? Sakit bukan bermakna kita diberi tempoh darurat, walaupun
ada rukhsah atau keringanan dalam menunaikan ibadat, sebenarnya sakit adalah
supaya kita makin bersujud, makin tunduk mengalah pada Allah. Yang Maha
Menghidupkan serta Maha Mematikan. Hargailah yang masih ada ketika mereka masih
ada, namun jangan ditangisi masa lalu dengan terlampau. Hiduplah dengan iman
dan indahnya Islam dalam menghadapi hari-hari yang mendatang.”
Wildan berkata-kata dalam tutur yang bercampur sebak.
Suasana menjadi suram seketika. Ada tangis dan esak di penjuru kanan dan kiri.
Dr.Rashidah di saf belakang sudah pun menangis dari awal lagi walaupun tidak
disedari oleh Wildan. Semuanya sedih. Semuanya timbul rasa insaf dalam diri
walaupun secebis cuma.
“Akhir sekali ingin saya pesan pada semua,
sama-samalah kita berdoa pada Allah supaya kita tergolong dalam golongan “iza
zukirallah, wajilat qulubihim” yakni mereka yang apabila disebutkan nama Allah
bergetaranlah hati-hati mereka. Sekian dari saya, Wildan; hamba Allah yang
haqir.”
Selesai sahaja tazkirah, masuklah waktu solat
fardhu Isya’. Dan sekali lagi suasana rahmat penuh zuhud berulang. Bersolat
berjemaah dalam rasa penuh kehambaan. Mencari ketaqwaan dalam rasa kehambaan.
***
Pagi yang terakhir di hospital. Hari ni Wildan
nampak segak sekali. Misai dan jambangnya dah ditrim dan wajahnya kembali
nampak seperti orang muda. Sekali imbas macam fresh graduate umur 25 tahun. Tu
pun sebab maknya dah meleteri dia semalam sebab tak jaga kekemasan diri. Mak
kata ikon kena jaga penampilan diri, barulah ramai yang mendekati. Entah betul
atau tidak. Wildan hanya menurut, malas bertekak dengan bondanya. Misi-misi
yang ada di wad tersebut tak habis-habis bermain mata dengan Wildan. Ah! Malas
Wildan nak melayan. Dibiarkan sahaja misi-misi comel itu.
Kedua-dua keluarganya belum datang menjemput
Wildan. Mungkin sekejap lagi datanglah sebab mereka dah berjanji nak datang
ramai-ramai. Wildan sedang ditolak oleh Dr.Rashidah untuk menjalani pemeriksaan
akhir sebelum keluar hospital. Namun kebenaran keluar hopital telah diberikan
hari sebelumnya lagi.
“Tak sangka 3 bulan berlalu sekejap je ye?”
Dr.Rashidah memulakan bicara.
“Ye lah, saya pun rasa begitu. Sayang juga nak
tinggalkan wad ini. Semua dah macam keluarga bagi saya.” Wildan menjawab
pendek.
“Sayang nak tinggalkan wad ke sayang nak
tinggalkan orang-orang kat wad tu? Ke ada minat kat mana-mana misi ke..doktor
ke..” Dr.Rashidah mengusik.
Wildan hanya tersenyum. Tidak diendahkan usikan
Dr.Rashidah. Tiba-tiba kerusi roda Wildan dihentikan. Dr.Rashidah berdiri di
hadapan Wildan. Wildan terkebil-kebil. Tertanya-tanya dalam hati.
“Awak, saya tak nak awak tinggalkan wad ni boleh
tak? Sekurang-kurangnya sampai saya habis praktikal bulan depan?” Dr.Rashidah berkata-kata
dalam nada yang agak serius.
“Kenapa?” Wildan pura-pura tidak faham maksud
doktor muda itu.
“Saya sayangkan awak.” Dr.Rashidah bersuara
lembut. Direct betul wanita itu.
Wildan terkejut. Dia teringatkan kertas yang
digumpalnya dulu. “Saya minta maaf, saya terpaksa keluar juga dari wad ni.”
“Awak tade perasaan kat saya ke? Saya tak mampu
menyejukkan hati dan mata awak ?” Ada nada sebak dan haru dalam tutur kata
Dr.Rashidah. Wildan diam membisu. Dia menundukkan kepalanya tidak memandang ke
wajah ayu berkulit putih kemerahan itu. Tidak berani rasanya merenung wajah
itu.
“Saya minta maaf sangat-sangat. Tapi saya tidak
layak untuk awak yang tampak sempurna. Awak muda lagi, ada masa depan. Saya
tiada kemampuan, malah tidak mampu berjalan dengan baik. Awak buanglah perasaan
tu ye. Berilah pada orang yang selayaknya. Saya doakan awak jumpa putera hati
yang beriman. Ameen.”
“Saya tanak doa awak!” Dr.Rashidah menolak
cepat-cepat kerusi roda Wildan ke bilik pemeriksaan. Ditinggalkan sahaja Wildan
di situ. Berlalu dengan hati yang terluka.
Wildan tidak nampak kelibat Dr.Rashidah sampailah
keluar dari hospital. Ada juga rasa rugi di hati Wildan. Ye lah, awek cun suka
kat kita. Tapi rasa kasihnya pada arwah isterinya lebih menebal. Dilupuskan
ingatannya tentang Dr.Rashidah. Itu yang terbaik.
*************
Sudah setahun setengah berlalu.
Wildan duduk di buaian hadapan rumahnya. Menghirup
udara pagi yang segar. Wildan dah boleh berjalan dengan izin Allah. Walaupun
tidak segagah dan sepantas manusia normal, tetapi Wildan tetap bersyukur. Ingat
lagi ketika pertama kali sampai di rumahnya setahun lepas dulu, air matanya
tidak tertahan-tahan. Rindu pada arwah isteri dan anak-anaknya dihamburkan
melalui titisan air matanya. Terlalu banyak memori bersama menyebabkan Wildan
murung untuk beberapa ketika. Namun tidak lama dengan sokongan kedua-dua
keluarganya, Wildan mengorak langkah memulakan kehidupan yang baru dan lebih
bersemangat.
Surau berhampiran rumahnya dijadikan pusat dakwah
Wildan. Terinspirasi dari dakwahnya di wad dulu, Wildan bertekad untuk
meneruskan kerja-kerja dakwah di surau dekat rumahnya pula. Alhamdulillah,
hasil usahanya program usrah di surau itu berjaya dihidupkannya. Sudah ramai
yang bertandang ke surau kecil itu untuk bersolat berjemaah dan mempelajari
ilmu agama utamanya Al-Quran. Kelebihan yang ada pada Wildan iaitu suara yang
merdu melagukan Al-Quran dimanfaatkan sepenuhnya. Lama-kelamaan, surau kecil
itu pula menjadi popular dan ramai yang bertandang ke surau itu dari pelbagai
pelosok negeri dan tempat. Inilah berkat sebuah keikhlasan. Dakwah yang
berjaya, nak seribu daya. Wildan sekarang adalah pendakwah bebas full time. Dia
juga tidak menolak untuk mengadakan edisi ceramah tanpa mengenakan apa-apa
bayaran di mana-mana sahaja.
Suatu malam di bulan Zulhijjah,
Selesai sahaja solat Isya’ berjemaah, Wildan
bersiap-siap untuk pulang ke rumahnya. Wildan berpuas hati, malam itu penuh
semua 20 saf dalam surau kecil itu.
Tiba-tiba Wildan melihat banyak kereta mewah
berhenti di perkarangan surau itu. Lebih kurang 20 buah kereta BMW, Mercedes,
Lamborgini dan lain-lain yang Wildan sendiri tidak tahu jenamanya.
Wildan berdiri di muka pintu surau. Seketika
dilihatnya kedua-dua keluarganya juga hadir sama ke surau itu. Sahabat baiknya
Jannah dan Dr.Shah pun ada sekali. Wildan menjadi bertambah hairan. Ada apa ye
sebenarnya?
Seketika kemudian, seorang pakcik tua yang rasanya
dia pernah jumpa dulu keluar dari sebuah kereta tersebut. Datang menghampiri
Wildan.
“Assalamualaikum Ustaz.” Pakcik tua itu mula
menyapa Wildan. Barulah Wildan ingat pakcik tua ini yang pernah datang
berjumpanya ketika di wad dulu.
“Waalaikumussalam. Pakcik cari siapa ramai-ramai
ni?” Wildan melihat ramai hadirin dan hadirat mulai keluar dari kereta
masing-masing. Seorang demi seorang dari muslimin datang bersalaman dengan
Wildan kemudiannya duduk memenuhi ruangan surau. Wildan menjemput pakcik itu
duduk. Semua orang kini duduk mengelilingi Wildan. Terasa segan juga Wildan
dengan situasi tersebut. Namun Wildan sudah biasa dengan orang ramai, tenang
sahaja air mukanya.
“Sebenarnya hajat pakcik datang ini adalah untuk
berjumpa Ustaz Wildan.” Pakcik tua itu menyambung. “Jumpa saya? Ada hajat apa
ye sampai ramai-ramai begini?” Wildan mulai confuse.
“Actually Pakcik berminat untuk merisik Ustaz
Wildan. Untuk dijadikan suami kepada anak perempuan pakcik.”
Wildan terdiam. Tidak tahu nak jawab apa.
Kedua-dua keluarganya datang mendekati Wildan.
“Tapi siapa anak pakcik? Dan kenapa saya?” Wildan
membalas lembut.
“Saya.” Muncul seorang perempuan muda yang sangat
cantik, anggun dengan baju berwarna putih ala-ala pengantin di muka pintu
surau. Seakan-akan seorang puteri, tersangatlah ayu. Muka dahlah macam artis
korea.
Tergamam seketika Wildan. “Doktor Rashidah..”
Kata-kata yang terpacul dalam hati Wildan.
“Kami semua ini adalah kerabat diraja negeri
jiran. Oleh sebab anak pakcik ni, Tengku Rashidah degil nak juga bersuamikan
Ustaz Wildan, jadi pakcik telah pergi sendiri menemui kamu di hospital dulu.
Pakcik berpuas hati dengan keperibadian kamu dan ketulusan jiwa yang terpamer
dari kekuatan agama diri kamu. Juga kata-kata kamu berjaya menggerakkan hati
pakcik yang egois tentang darjat dan harta benda bukanlah segalanya di akhirat
nanti. Jadi, pakcik nak tanya kamu, sudikah kamu menerima anak pakcik?” Pakcik
tua itu terus menyuarakan hajat di hatinya kepada Wildan tanpa berselindung
lagi. “Pakcik juga telah menyediakan hantaran berupa sebuah masjid yang dah
siap dibina di tengah bandar ini. Pakcik namakan Masjid Wildan yang dibuka 24
jam.”
“Err..er..saya..” Wildan tergagap-gagap. Namun
cepat-cepat dicelah oleh ibunya. “Wildan, lepaskan Wardatul Syaukah pergi
bersama dengan kenangan silam. Yang manis dikenang berpanjangan, pahit tak
perlu-usah disimpan...Hadaplah masa depanmu dengan jiwa yang baru..” Seketika
Wildan terdiam lama. Dalam kepalanya teringat kata-kata Syeikh Muhammad
Al-Ghazali dalam kitabnya Jaddid Hayatak, “Jangan Tangisi Masa Lalu.” “Maka
ambillah kejadian itu untuk menjadi dan dijadikan pengajaran wahai orang-orang
yang mempunyai pandangan..Surah Al-Hasyr ayat 2.”
Wildan menarik nafas yang panjang lalu bersuara.
“Bismillah..”
“Doktor Rashidah, kita ijab kabul sekarang juga
nak tak?”
Kelihatan doktor muda itu tersenyum manis dengan
butiran air mata bergenang di kelopak mata.
TAMAT

karya:
Rusydee Artz,
5.34 ptg, Sabtu 20 Nov 2010.