assalamualaikum

sodiqi usrati...=)

Saturday, February 11, 2012

Mujahadah seorang Mujahid


Perlahan-lahan matanya dibuka. Dilihatnya kipas siling berpusing perlahan-lahan. Kepalanya terasa sakit-sakit dan sengal. Ditolehnya ke kanan. Wajah ibu dan ayah kelihatan dalam riak yang sugul. Tangan ibu kemas memegang erat tangan kanannya. Seolah-olah ingin mengatakan sesuatu tetapi tidak terpacul dari bibirnya sepatah perkataan pun. Hanya deraian air mata laju mengalir membasahi kedua pipi. 

Wildan berpaling pula ke sebelah kiri. Ibu dan bapa mertuanya serta ahli keluarga yang lain juga bermuram durja. Apa sebenarnya yang berlaku? Wildan jadi tidak sabar. Dikerahnya tenaga untuk bangun dan menggerakkan kakinya. Serta merta dia mengaduh kuat. Wildan panik. cepat-cepat dia menyelak selimutnya dan melihat kakinya. Kedua kakinya berbalut tebal. 

"Kedua kaki kamu patah, nak." Bapa mertuaku bersuara perlahan sambil memegang bahuku. 

Pantas Wildan melilaukan mata melihat sekeliling. Mencari-cari. Kakinya yang patah tidak dihiraukan lagi. Ada yang lebih penting. Lebih utama di hatinya.

"Ayah, mak, mana Wardatul Syaukah? Mana anak-anak saya?" 

Seketika suasana menjadi makin sugul dan Wildan melihat titis-titis air mata berderaian dari kedua-dua keluarga yang dicintainya itu. Semua tidak berani bersuara. Mendiamkan diri menahan esak tangis. Dicapainya tangan ibunya, tangan ayahnya. 

"Ayah, mak, mana dorang ?!"

Ibu mertua Wildan bersuara lemah. "Nak, Wardatul Syaukah dan keempat-empat anak kamu tidak berjaya diselamatkan. Mereka semua meninggal ketika dalam perjalanan ke hospital."

Saat itu juga Wildan kaku, bercucuran air mata. Kata-kata tidak lagi bermakna di ketika itu.


**********

Sudah setengah bulan Wildan terlantar di hospital. Banyak lagi rawatan susulan yang perlu dia jalani. Wajahnya makin cengkung dan badannya makin mengurus. 
Bukan kerana sakit di kedua kakinya. Tetapi sakit di dalam hatinya makin menebal dari sehari ke sehari. Perasaan bersalah dan menyesal menyesakkan dada dan fikirannya. Ibu dan ayah serta keluarga mertuanya bergilir-gilir menjaga dan menziarahi di hospital. Namun tidak terlepas dari sedetik pun dia mengenang kesalahan sendiri. Tidak ada senyuman terukir di wajahnya. Sepatah ditanya, sepatah dijawabnya. Psikologinya dan mental makin pudar semangat serta kewarasan.

"Wildan, la tahzan." Ayah mertuanya bersuara lembut seraya duduk di sebelah Wildan. 

"Ini dugaan dari Allah. Terimalah qada dan qadarnya dengan redha, nak. Bukan salah kamu memandu, tapi benda dah nak jadi. Allah cuma nak lengkapi cerita insannya dengan sebab dan akibat dalam melalui sakratul maut. Tolonglah terima dengan hati yang terbuka. Allah tahu kamu tabah, sebab itu Dia uji kamu dengan ujian seberat ini. Ini ujian tingkat iman. Ujian tingkat redha. Allah nak naikkan maqam kamu ke maqam lebih tinggi dari orang lain. InsyaAllah, ada hikmah besar di sebalik semua ni." Dihulurnya satu nota kecil dari koceknya, diberikan pada Wildan. 

Wildan membacanya dalam hati, "Sesiapa yang menjadikan kesusahannya disimpan untuk dirinya sendiri, maka Allah akan mencukupkan kesedihan itu sehingga menjadi ringan. Dan sesiapa yang (sengaja) menyebarkan (menambah-nambah) kesusahannya, maka Allah tidak akan peduli di tempat mana saja ia akan binasa. Hadis riwayat Al-Hakim." "Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram. Orang-orang yang beriman dan beramal soleh bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik. Surah Al-Ra'd ayat 28-29."

Wildan menatap lesu wajah ayahanda mertuanya. "Terima kasih, ayah. Ayah, tolong saya ambil wudhu'. Saya terasa nak bersolat 2 rakaat. Hati saya sangat-sangat sedih, ayah." Air matanya dah bergenang di kelopak. Air mata lelakinya sering tumpah tidak kira masa, tidak kira dengan siapa. Air matanya menjadi teramat manja. Air mata jugalah peneman setia Wildan. Kehilangan orang yang paling dikasihi, anak-anak yang belum sempat memanggilnya 'ayah' betul-betul menggamit hati kecilnya yang paling dalam. 

"Allahumma inni a'uzu bika minal hammi walhazan, wa-auzubika minal 'ajzi wal kasal ( Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari kesedihan dan kegelisahan. Aku berlindung kepadaMu dari kelemahan dan kemalasan. )...amin Ya Rabbal 'Alameen.." 

Benar kata Allah, benar kata Rasul, solat dan sabar adalah kunci kehidupan manusia. Sinar semangat Wildan mulai bertitik-terjah dari dasar yang malap. 


*********************

Bulan kedua.

Wildan dipindahkan ke wad pesakit-pesakit biasa. Dalam wad yang lebih terbuka, Wildan sudah ada ramai 'kawan'. Ada lima hingga lapan orang dalam ruangan tersebut. Semuanya terlantar sakit. Iye lah, nama lagi wad orang sakit. Wildan mengeluh dalam hatinya, "suasana dalam wad hanya membuatkan pesakit bertambah sakit." Mana tidaknya, jarang melihat pesakit yang ceria dan tersenyum gembira. Ramai yang berdiam diri, mengaduh dan bermuka duka dengan kisah-kisah yang tersendiri. Namun, Wildan sudah ada sedikit daya positif yang berjaya dicetuskan dalam dirinya sendiri. Tolakan positif itu hasil dari cebisan iman yang masih ada dalam diri. Berjaya juga dicoretkan senyuman demi senyuman pada wajah dengan hati yang penuh luka. 

Wildan mengelamun menjual detik masa. Wildan teringatkan pula pesan Ustaz Fakhrun Radzi ketika dia belajar di Jordan bersama-sama dulu. Kata ustaz, dakwah tetap terus dalam apa jua keadaan. Wildan memandang sekeliling. Dakwah? Dalam situasi dia patah kaki begini? Dalam wad yang semuanya orang sakit dan iman tengah terumbang-ambing ni? Wildan teringat ada ulama' yang buta dan cacat tetapi masih tegar berdakwah di sana sini. Wildan lupa siapa nama ulama-ulama tersebut, kerana sudah lama dia meninggalkan bidang dakwah setelah terjun dalam bidang kerja. Dalam hatinya mengakui tugas dan kerjaya menyebabkan dia tidak 
seaktif ketika masih belajar. Namun dalam diam, dia tidak menafikan kemunasabahan dakwah boleh dialirkan dalam suasana suram begini. Namun bagaimanakah caranya? Ah! Terasa tebal muka pula nak berdakwah. Ilmunya dah makin berkarat. Dalam menghitung-hitung dan berfikir-fikir itu matanya mulai layu. Mengantuk. 
Tidak larat rasanya nak fikir tentang ummah. Rasa dalam hati pun masih tidak teratasi total. 

"Abang..abang..saya nak tanya boleh?" Mata Wildan yang hampir tertutup tadi terbuka luas kembali menoleh ke sebelah kirinya. DIlihatnya seorang remaja lelaki. Mungkin budak sekolah menengah. "Ye saya, ada apa dik?" "Betul ke ada cara nak lepas dari seksa kubur? Abang tau tak camana?" Kuat betul nada suaranya sehingga kedengaran oleh dua tiga pesakit yang berdekatan. Semua menoleh dan memandang ke arah Wildan. Wildan kaget seketika namun dengan tenang Wildan membalas, "Benar dik, ada caranya. Rasulullah sendiri yang ajar umatnya cara tersebut." "Nabi galakkan kita supaya hafal dan amalkan membaca Surah Al-Mulk sebelum tidur. Ada dalam hadis yang diperakui kesahihannya, namun abang tidak ingat matannya. Tapi abang lebih syorkan Surah Al-Mulk ini dijadikan amalan bacaan harian walaupun bukan sebelum tidur." Budak itu merenung tajam ke arah Wildan, "..tapi abang, saya tidak hafal surah Al-Mulk tu. Boleh ajar saya tak bagaimana nak hafal surah tu? Saya takut kalau saya mati, saya kena seksa dalam kubur nanti. Dosa saya bertimbun ni...tolong ye bang?" 

Wildan tersenyum sendiri. "Adik ada Quran kan? Hafallah dari situ." Budak itu mengunjukkan kedua-kedua tangannya yang sudah dipotong kepada Wildan. 
"Oh..patutlah.." getus hati Wildan. Ada rasa pilu di hatinya. "Baik, adik ikut abang baca ye." Mujurlah Wildan adalah seorang hafiz 30 juzuk Al-Quran di dalam dada. Inilah keberkatan Al-Quran. Al-Quran menyinari hidup pembaca dan pengamalnya, malah tempias sinar pengamalnya merebak pula pada jiwa-jiwa kosong di sekitar. Adzim! 

"Auzubillahiminassyaitonirrajim..Bismilllahirrahmaanirrahim.."

"Tabaarakallazi biyadihil mulk.. Wahuwa 'ala kulli syaiin qadir.." Wildan membaca sehingga ayat kelima.

Mendayu-dayu alunan suara Wildan. Wildan popular di kolejnya dulu dengan bacaan tarannumnya yang memikat hati para pendengar. Syahdu dan sedap ala-ala Syeikh Mishary al-Afasi yang terkenal di dunia. Kagum seketika budak tu mendengar bacaan Wildan. Baru sahaja dia nak memulakan sesi hafalannya itu, kedengaran suara-suara berhampirannya dan sekitar Wildan mencelah. Hiruk pikuk seketika memecahkan kesunyian pagi. 

"Adik, ajar pakcik juga boleh?" "Ajar makcik juga!" "Ajar akak gak!"
"Kami pun mahu belajar~~!" "Ajarlah kami!"

Wildan tersenyum lebar memandang ke sekeliling. Wah, ramainya nak belajar. Hampir semua dalam ruangan wad tersebut nak belajar hafal Quran dengan Wildan. 

"InsyaAllah! Semua boleh!" Wildan membalas dengan senyuman di wajahnya dibalas dengan senyuman, senyuman dan senyuman dari wajah-wajah yang sakit di sekelilingnya. 

Dalam hati, Wildan memanjat setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah kerana dengan hidayahNya-lah terbuka hati-hati di sekitarnya. Hari pertama di bulan yang kedua, ada bibit kegembiraan dan kebahagiaan terasa dalam hati Wildan. Terasa kasihnya Allah pada hambanya. 

Di suatu sudut yang lain, ada sepasang mata yang sedang memerhati. Ada sepasang telinga yang mencuri-curi dengar.

*********************

Sudah masuk minggu kedua Wildan di wad baru. Suasana dari sehari ke sehari seakan-akan tidak lagi berada dalam wad. Seperti berada dalam madrasah kecil atau sekolah pondok yang dipenuhi dengan pengajian-pengajian Al-Quran dan pencerahan ilmu agama. Cuma bezanya dihadiri oleh pesakit yang sakit. Penziarah yang menziarah. Namun bukankah kita semua pun adalah 'pesakit' yang perlukan 'rawatan' tajdid pemikiran dan islah ilmu pengetahuan sedari kecil hingga ke peringkat universiti antarabangsa? 

Popularnya wad tersebut sehingga digelar 'wad usrah' oleh jururawat-jururawat di situ. Nama Wildan mulai meniti dari mulut ke mulut staf dan pengunjung wad di situ. Ada yang memanggil dengan gelaran 'Ustaz Wildan', ada juga yang panggil 'Imam Muda Wildan'. 

Hampir setiap pagi setelah masing-masing menerima rawatan, seorang misi akan menolong menyorong kerusi roda Wildan supaya berada di ruangan tengah. Di tengah-tengah pesakit-pesakit. Dan bermulalah pengajian Al-Quran. Masing-masing seakan tidak jemu dengan suara Wildan. Merdu dan enak didengar. Sekali cuba pasti nak lagi. Wildan gembira kerana dah ada di antara mereka yang berjaya hafal Surah Al-Mulk dengan lancar. Bermakna usahanya membuahkan hasil juga. Malah, dah ada permintaan baru supaya Wildan ajar mereka bertarannum pula. 

Tidak kurang juga yang menjadikan Wildan tempat bertanya soalan-soalan agama. Walaupun Wildan bukan seorang ustaz, namun ilmunya ketika belajar dulu banyak membantunya menjawab persoalan demi persoalan. Wildan juga melalui proses muhasabah diri sendiri melalui mengajar.

"Iza lam tushghil nafsaka bil haqqi, shaghalat ka bil baathil..yakni bermaksud kalau kamu tidak menyibukkan diri dengan kebenaran, maka hawa nafsu akan menyibukkan kamu dengan kebatilan. Itulah kata-kata hikmah oleh Al-Imam Al-Syafi'i kita wahai abang-abang, kakak-kakak, adik-adik semua. 

Dalam konteks kita berada dalam wad, dalam keadaan kita sakit sekarang..dalam keadaan kita diuji, jika kita tidak cuba menyibukkan diri dengan berbuat amal ibadah walaupun sedikit.. pada fikiran saya sudah tentu syaitan akan mengambil peluang ini untuk memujuk hawa nafsu kita supaya rasa malas. Malas nak solat dengan sebab sakit, malas nak berzikir sebab badan lemah. Lama-lama kita akan menghampiri rasa putus asa, rasa kecewa dan lebih dahsyat lagi putus harapan pada Allah. 
Sedangkan Allah datangkan mehnah dan sakit adalah sebagai nikmat. Kenapa pula nikmat? Kerana Allah mengampuni dosa-dosa, meluruhkan daun-daun maksiat diri melalui sakit. Dalam erti kata yang lain, Allah sayang sangat pada kita. Dia masih sayang kerana itu Dia uji kita. Sakit itu nikmat. Jika ia nikmat maka perlulah kita bersyukur dan bersujud walau dalam apa keadaan sekalipun. Bukan sahaja sihat itu adalah nikmat. Sakit jua adalah nikmat dan rahmat dari Allah."

Wildan bertazkirah ringkas. Kata-katanya disusun lembut tetapi berhikmah. Tazkirahnya tidak panjang dan tidak menjemukan. Itulah yang membuatkan Wildan makin disenangi dan disayangi kawan-kawan sakitnya. Malah doktor dan jururawat-jururawat di situ juga ada yang duduk seketika mendengar apabila Wildan bertazkirah. 

Masuknya waktu solat fardhu Zohor.

Hari ini ahli keluarga Wildan tidak datang ziarah kerana masing-masing ada urusan sendiri. Biasanya mak atau adik beradiknya yang menolong Wildan mengambil wudhu'. Hari ni Wildan terpaksa minta tolong jururawat. "Misi, boleh bantu saya nak ambil air sembahyang tak?" Seorang misi lingkungan 40-an dipanggilnya.

Tiba-tiba ada suara mencelah, "Takpe, biar saya yang uruskan." Muncul seorang wanita beruniform doktor di hadapan Wildan. Memperkenalkan dirinya sebagai Doktor Rashidah. Katanya doktor praktikal selama 3 bulan. Wildan segan untuk melihat wajah doktor tersebut. Tak dinafikan Dr.Rashidah mempunyai rupa paras yang jelita dan ayu. Berkulit cerah dan nampak sangat menawan berbanding misi-misi di wad tersebut. Wildan menundukkan kepalanya seraya tersenyum, tidak berminat untuk bertaaruf lebih lanjut. 

"Tak mengapalah doktor, inikan bukan tugas seorang doktor. Cik misi boleh tolong saya." "Eh, siapa kata doktor tak boleh buat kerja misi?" Doktor muda tersebut argue sambil menarik tirai menutupi ruangan katil Wildan. Seakan tahu Wildan takut tersentuh kulit, dia memakai glove awal-awal lagi. Disapu dan dilapnya bahagian-bahagian anggota wudhu' dengan air perlahan-perlahan. Muka Wildan merah padam kerana teramat segan dengan doktor baru. Dia berharap agar cepat-cepat selesai sebab tak selesa dengan keadaan hanya berdua dalam ruangan tirai tertutup. 

"Ok, dah siap." Dibukanya kembali tirai. "Sekarang, awak boleh solat ye." "Terima kasih doktor." "Sama-sama, lain kali kalau awak nak solat biar saya je yang uruskan wudhu' Imam Muda Wildan ye.." 

Dr.Rashidah tersenyum manis mengusik Wildan. Dr.Rashidah tahu Wildan rasa malu padanya. Tapi dia seakan-akan suka lihat Wildan malu. Dirasanya sangat comel. Iye lah, Wildan bukan calang-calang orang juga. Mempunyai paras yang hensem dan segak. Cuma kumis dan janggut tidak terurus sejak berada di hospital. Dibiarkan sahaja berjambang lebat. Wildan dah tak berminat untuk menguruskan dirinya supaya nampak muda. Baginya hal itu remeh temeh semata-mata. Lagipun Wildan tahu, dalam hadis riwayat Al-Thabari ada menyebut, sesungguhnya syaitan sudah putus asa mengajak manusia menyembah berhala di negara Arab, akan tetapi syaitan akan senang sekali menggoda kita dengan yang lebih ringan dari itu iaitu dengan hal-hal yang remeh temeh; perbuatan yang membinasakan kita di akhirat kelak.

"Allahuakbar!"

Seorang insan bersolat dalam keadaan duduk dengan rasa sayu di hati dan mengharap redhaNya. Itulah Wildan. Mujahadah seorang mujahid.


********

“Ustaz Wildan, kenapa mukmin imannya tidak tetap? Sekejap ok, sekejap tak ok?” Pakcik Man menyoal ringkas.

“Perumpamaan seorang mukmin adalah seperti tanaman yang yang keras, terkadang dia digoyang oleh angin dan terkadang dia ditegakkan oleh angin sampai mengering-menguat dan matang-. Ataupun ibarat tanaman yang dicondongkan oleh angin, mukmin akan selalu ditimpa cubaan dan dugaan. Sedangkan orang kafir ibarat padi yang menancap kuat pada akarnya, tidak mampu dicondongkan oleh angin kerana terlalu kuat, sehingga patah hanya sekali. Inilah yang disebut dalam riwayat Al-Bukhari. “

“Maknanya, iman seorang muslim yang beriman itu tidak selalu tsabat yakni teguh pada tempatnya. Kadang-kadang diuji dengan berat oleh Allah sehingga imannya berada di tahap paling bawah. Namun apabila dia bersabar dan hadapi segalanya dengan tabah serta berserah pada Allah, imannya berada di tahap paling tinggi. Kerana itulah kalau kita lihat di negara kita, orang Islam ramai yang lemah apabila berhadapan dengan masalah kewangan ataupun disogokkan dengan kemewahan dan harta benda. Kerana jaga pangkat dan kerjaya, sayangkan harta, perjuangan Islam mulalah dilupakan. Wujudlah politikusarap merata-merata. Mulalah perjuangan Islam bertukar menjadi perjuangan menyelamatkan kebangsaan dan kepentingan kaum berbilang kaum. Sedangkan jika agama Islam itu dipraktikkan dan diutamakan, pastinya kepentingan-kepentingan tersebut terjaga secara automatis.”

“Manakala kafir dan pemikirannya tidak pernah jemu untuk mengalahkan, menjatuhkan dan memalukan Islam dan orangnya. Tersebar dengan pelbagai nama korupnisme, liberalisme, sekularisme, kebebasan untuk semua dan macam-macam lagi adalah agenda kaum musyrikin. Menyebabkan sehari ke sehari orang Islam kita makin lemah. Orang Islam pula hanya segelintir yang tidak puas berfikir bagaimana untuk menyelamatkan Islam dan mengalahkan kafir. Tidak bersatu kerana Islam. Bersatu kerana pasukan bola kegemaran je. Ramainya orang Islam, tetapi kurangnya orang Mukmin. Yang ramainya, orang Islam yang guna ubat gigi Mukmin.” Wildan berseloroh dalam berusrah. Makcik-makcik tersenyum kecil.

“Tapi Islam selalu aje kalah Imam Muda Wildan? Tidak kiralah perjuangan kecil dari partai Islam atau kumpulan kecil Islam sehinggalah ke peringkat negara Islam seperti Palestine, Afghanistan dan sekitarnya, kita dengar dan lihat jarang sekali Islam menang. Zaman dulu-dulu je Islam menang. Hatta negara Arab sekalipun tunduk pada kekuasaan Barat. Apa komen Imam Muda?”

Wildan terdiam seketika hampir 10 saat. Kemudian dia membacakan Surah Al-A’raf ayat 164. Pendek sahaja tapi merdu. “Begini abang-abang, kakak-kakak dan adik-adik sekalian. Ayat tadi bermaksud, dan ingatlah ketika suatu umat di antara mereka berkata, ‘Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab Allah dengan azab yang keras?’ Mereka menjawab, ‘Agar kami mempunyai alasan berlepas tanggungjawab kepada TuhanMu, dan agar mereka bertaqwa.’”

“Ayat tadi dah jelas-jelas bagitau supaya kita ada alasan dan sandaran di hadapan Allah kelak andai ditanya ‘apakah kamu sudah berjuang menegakkan dan menyebarkan kalimah Allah ketika hidup?’. Pastinya yang langsung tidak berdakwah akan terdiam kelu di hadapan Allah di padang Mahsyar. Matlamat kita memerangi dan berdakwah pada orang kafir bukanlah kerana matlamat hendak menang secara total sehingga nampak nyata kemenangannya contohnya seperti zaman dulu orang Islam berjaya menawan negeri-negeri kafir. Pastinya, menawan sesebuah negara melalui peperangan adalah tipis sekali kemenangannya. “

“Pakcik makcik rasa, apa yang terjadi pada seluruh umat Islam dunia tatkala insan-insan tidak berdosa di Palestine disembelih dan dibunuh Israel?”

Adik kecil di sebelah Wildan menjawab, “Saya nampak ramai orang Islam marah. Bangkit ramai-ramai suarakan kemarahan melalui demonstrasi jalananan, kutukan-kutukan di dada akhbar, di blog-blog di internet, tak kurang juga ceramah-ceramah dakwah tumbuh bagai cendawan di merata tempat sebagai reaksi tidak puas hati kezaliman Israel. Tak kurang juga yang berani menghantar misi bantuan makanan dan ubatan ke Ghazzah. Tapi reaksi bermusimlah. ”

“Itulah ‘kemenangan’nya. Walaupun Palestine hilang negara, tetapi mereka membina ‘wilayah’ baru dalam hati setiap orang Islam. Yakni, ada rasa dan semangat yang timbul dalam benak serta pemikiran orang Islam untuk sama-sama memperjuang dan menyelamatkan Islam dari terus dipijak-pijak tanpa maruah oleh Kafir laknatullah. Dan erti ‘taqwa’ mula terbias pada orang Islam serta orang kafir. Taqwa itu bermaksud takut pada Allah. Orang Islam membina taqwa dalam diri. Orang kafir mulai gerun dan takut dengan kebangkitan orang Islam beramai-ramai pada suatu masa nanti. Malah mereka sentiasa takut kerana itulah mereka tidak putus-putus berusaha melenyapkan Islam di muka bumi. Menang bukan matlamat, tetapi dakwah dan mesej Islam adalah misi kita. Mengajak mereka yang alpa kembali ke pangkal jalan. Tambah-tambah dunia kini, orang Islam adalah musuh kepada Islam itu sendiri. ”

Masing-masing mengangguk perlahan. Mungkin ada yang setuju, mungkin juga ada yang tidak setuju dengan Wildan. Wildan tersenyum. 

Tersenyum kerana usrah tetap hidup dalam ruangan yang terhad.

***********

Sudah ke penghujung bulan yang kedua. 

Wildan memerhati kedua kakinya yang masih berbalut. Terfikir pastinya masa yang lama lagi diperlukan untuk betul-betul sembuh. Mungkin setahun dua. Wildan terfikir untuk balik ke rumah tetapi bila fikir pastinya menyusahkan mak dan ayahnya yang sudah tua, dibatalkan hasratnya itu. Lagipun pihak insurans telah membiaya penuh kos rawatan di hospital. Namun, Wildan berhajat akhir bulan ketiga dia dah hendak pulang ke rumah. Rindu pada suasana di luar wad mula menusuk kalbunya. Wildan nak cepat-cepat sembuh, siang malam dia berdoa supaya diberikan kekuatan dan inayah oleh Allah. Supaya cepat proses cantuman urat-urat, sel-sel dan daging-daging di kakinya. Supaya dia mampu melangkah kembali. Supaya dia mampu berjalan menziarahi kubur arwah isteri dan anak-anaknya. Hatinya cepat sebak teringatkan arwah. Walaupun arwah sudah tiada, namun rindu sentiasa bertamu.

Semalam Wildan didatangi rakan sepejabatnya. Diserahkan pada Wildan surat perletakan jawatan Wildan. Dengan kata lain, Wildan dah diberhentikan kerja oleh majikannya. Wildan awal-awal lagi dah expect tindakan majikannya itu. Wildan redha. Apalah yang dia mampu buat dengan ketidakmampuannya sekarang. Masa yang lama lagi pula tu diperlukannya untuk sembuh. “Allah, rezeki ada di mana-mana. Tidak perlu risau. Anggaplah Allah bagi cuti dan istirehat sekarang pada diri. Syukur Alhamdulillah.” Pujuk hati kecilnya. Wildan pun dah menyuruh kedua-dua keluarganya datang menziarah pada hari minggu sahaja, tidak perlulah menjaganya setiap hari. Wildan tidak mahu menyusahkan sesiapa. 

“Hai, mengelamun nampak?” Sapa suara yang biasa didengarnya. Doktor Rashidah.

Wildan hanya tersenyum. Doktor muda itu banyak menolong menguruskan dirinya akhir-akhir ini. Wildan hairan juga. Sudah jemukah jururawat di situ dengan pekerjaan sebagai jururawat? Sampai doktor pula yang kena ambil alih tugas jururawat? Doktor Rashidah menyorong kerusi roda Wildan ke bilik imbasan X-Ray. Wildan diam tak banyak berkata-kata dengan doktor muslimah itu. Malah Wildan tidak gemar melihat wajah cantik doktor itu. Dr.Rashidah suka bertanyakan soalan tentang diri Wildan, tetapi Wildan tidak banyak menjawab. Hanya senyuman yang menjadi balasan. 

“Arwah isteri awak cantik tak orangnya? Boleh ceritakan pada saya tak bagaimana orangnya?” Tanya Dr.Rashidah tiba-tiba. Masih ada beberapa blok yang perlu dilalui sebelum sampai ke bilik X-ray. 

“Emm..isteri saya tu biasa je. Cantiklah di mata suaminya. Tak tahulah di mata orang lain. Orangnya lembut dan penyayang, suka pada ilmu agama. Saya pilih dia adalah kerana peribadinya yang beragama, bukan luarannya. Sebab saya doa pun nak dapat isteri yang Qurrata ‘Ayun, sejuk di mata dan di hati..tenang di dalam hati. Itulah yang saya dapat. Sejuk di hati saya, senang di pandangan saya. ” Entah kenapa Wildan rasa nak jawab soalan doktor itu. 

“Saya ni takde Qurrata ‘Ayun ke?” Dr.Rashidah tersengih kecil seraya melihat ke dalam mata Wildan. Wildan terdiam dan tersenyum. Susah juga Wildan hendak menjawabnya. 

“InsyaAllah, di mata bakal suami Dr.Rashidah nanti.” Wildan tahu Dr.Rashidah masih belum bernikah. Iyalah, baru lepas grad di Moscow Russia. Itulah yang jururawat di wadnya khabarkan. Entah ye entah tidak. Umur pun baru 24. Ramai doktor-doktor dan pelawat-pelawat di hospital ini tergila-gilakan Dr.Rashidah yang cun. Sedangkan Wildan sudah mendekati angka tiga. Sekarang bergelar duda pula tu. 

“Lepas ni Imam Muda Wildan nak kahwin lagi ke?” 

Wildan terdiam lagi. Tak dijawabnya persoalan itu hinggalah sampai ke bilik X-Ray. Wildan tiada hati berbicara soal nikah lagi. Setia masih merasuk kalbu. 

Doktor bilang pada Wildan, kakinya sudah beransur sembuh namun masih tidak boleh bertongkat kedua kaki dengan lasak. Sekadar latihan dan praktis tu boleh. Masih perlu terapi dengan cermat.

Wildan menarik nafas lega. Syukur. Doktor Rashidah memerhati perkembangan Wildan dengan penuh minat. Entah apa tersirat di dalam dadanya.
******

Bulan ketiga dan terakhir bagi Wildan. Pukul 5.30 petang. 

“Dik, solat berjemaah dapat banyak pahala kan? Berapa ye?” Seorang kakak yang agak jauh dari katil Wildan bertanya. Maklum sekali wad ini dipisahkan bahagian muslimin dan muslimat. 

“Dua puluh tujuh kali ganda kak dari solat bersendirian.” Wildan meninggikan sedikit nadanya.

“Tapi dah sebulan lebih akak di hospital ni. Solat sendirian je. Tak pernah dapat solat berjemaah sejak sakit.” 

Kemudian beberapa suara lain juga mencelah mengiyakan pernyataan kakak itu. Pakcik-pakcik dan makcik-makcik pakat-pakat bersuara. Ruangan di wad itu kembali hingar bingar. 

“Baiklah, nanti kita solat berjemaah ye bersama-sama. Sekurang-kurangnya Maghrib dan Isyak. Nak?” Wildan bersuara meredakan suara-suara ramai. Semua angkat tangan bersetuju. Yang sakit tangan pun cuba angkat tangan. “Ustaz Wildan jadi imam, kami setuju!”. Wildan tersenyum sendirian. 

Maghrib itu terjadi revolusi pertama seumpamanya. Misi-misi membantu merapatkan katil-katil pesakit. Walaupun tidaklah serapat mana kerana terhalang dengan wayar-wayar saliran darah dan air, tapi dah seakan-akan membentuk saf-saf seperti di surau. Malah doktor-doktor yang masih bertugas malam bersama jururawat-jururawat turut serta menghampar tikar di saf belakang dan mengisi ruang-ruang kosong di antara katil-katil pesakit. Hampir penuh ‘wad usrah’ malam itu. Jiwa-jiwa yang mengharapkan redha Allah.

“Bismillahirrahmaanirrahim..” 

Imam Muda Wildan membacakan Surah Qaf dengan begitu merdu sekali. Makmum yang bersolat sambil berdiri, sambil duduk, dan sambil baring khusyuk bersolat di belakang imam. Menikmati alunan suara imam muda itu. Imam pula bersolat duduk di atas katilnya menghadap kiblat. Air mata Wildan menitis tatkala melagukan Surah Qaf kesan dia menyelami maknanya. Menyebabkan esak tangis ketika solat, diikuti esak tangis para makmum. Wildan tidak pasti kenapa makmum juga menangis, tetapi Wildan pasti hati-hati para makmum sedang ‘diluntur’kan dosa-dosanya oleh Tuhan Yang Maha Pengasihani. Allah, indah sekali suasana di dalam wad itu pada malam itu. Seakan-akan para malaikat turut sama turun bersolat di belakang Wildan, mengaminkan doa para solihin. Malam yang penuh barakah. Imam dan makmum yang penuh zuhud. Orang sihat tidak akan mensyukuri nikmat sihat sehinggalah dia sakit. 

Begitulah setiap malam dalam bulan ketiga dilalui dengan penuh rasa keinsafan. Malahan wad usrah semakin popular di dalam hospital tersebut. Bukan setakat pesakit yang bersolat bersama-sama, doktor serta jururawat, malah pengunjung-pengunjung yang menziarah dan menjaga pesakit juga ikut serta. Ada juga pesakit yang minta ditukarkan ke wad Wildan berada semata-mata hendak bersama-sama mengikuti usrah dan pengajian serta merasai kelazatan solat berjemaah. Sekarang dah ada muadzin yakni bilal iaitu adik yang bertangan kudung, Wildan pula sebagai imam tetap tanpa gaji. Dakwah adalah gratis, percuma dua ratus peratus!

Dr.Rashidah juga jarang sekali tidak bersolat bersama-sama muslimat di belakang Imam Muda Wildan. Doktor muda itu makin mengagumi keperibadian dan karekter Wildan. Tanpa sedar ada rasa yang bercambah di dalam hatinya. Begitu juga setiap orang di wad tersebut terasa sayang kepada Wildan. Benarlah kata ulama, orang yang berjuang di jalan Allah mendapat ramai kawan dan menambah ramai lawan. Disayangi dan dicintai. Itulah ukhuwwah fillah abadan abada.

************

Hari ni hari ketiga terakhir di wad. Wildan serasa cinta suasana di wad itu, tetapi apakan daya rindu yang menebal pada suasana di luar makin merasuk-rasuk hatinya. 

Usrah di wad Wildan berterusan lancar. Walaupun pesakit silih berganti, namun sambutan dan penerimaan cara usrah Wildan tetap positif. Seperti biasa setelah sesi usrah pagi hari, Wildan akan berehat seketika di katilnya. Sedang dia berehat, Dr.Rashidah menyampaikan khabar dia ada pelawat. Seorang pakcik tua. Akhir-akhir ini ramai benar pelawat yang bukan dari kalangan pesakit datang mengunjunginya. Ramai yang bertanyakan hal-hal agama. Hairan juga Wildan, sudah pupuskah ustaz-ustaz di luar sana? Walhal ramai ustaz yang berkelulusan luar negara, dari Azhar, Jordan, Syria tak kurang juga dari dalam negara UM, UKM, KUIS, KUIN, KIAS dan lain-lain. Tetapi Wildan juga menjadi tempat rujukan soalannya. Namun, Wildan tetap melayani sekadar kemampuannya mereka yang datang bertanya. Tidak mengapalah. Lagipun dia tiada kerja lain pun.

“Assalamualaikum Ustaz Wildan. Pakcik sebenarnya ada kemusykilan tentang perkahwinan anak pakcik.”

“Waalaikumussalam. Teruskan.” Wildan cermat mendengar.

“Kaum kerabat pakcik dan keturunan pakcik semuanya bernikah dengan golongan yang berdarjat dan berharta. Namun anak dara pakcik yang seorang ini engkar dengan kemahuan pakcik. Berkeras juga mahu pemuda biasa yang tak ada kerja dan menganggur. Pangkat dan darjat tu jauh sekali. Jauh panggang dari api, seperti bumi dengan langit. Jadi, apa pandangan ustaz? Perlukah pakcik berkeras atau mengalah sahaja dengan kemahuan anak pakcik? Bukankah seorang anak patut patuh dengan arahan walidnya?”

Wildan senyum. “Rasulullah SAW pernah bersabda pada golongan Al Asyaj: ‘Sesungguhnya dalam dirimu ada dua hal yang dicintai oleh Allah SWT, iaitu kelemahlembutan dan kesabaran.’ Itulah jawapan kepada soalan pakcik yang terakhir, dan itulah yang saya nampak pada diri pakcik sekarang. Jika pakcik tidak ada dua elemen ini, sudah pasti pakcik tidak datang jauh-jauh untuk bertanya pada saya. Ini juga tanda kasih pakcik pada anak pakcik.” Pakcik itu tersenyum sama. Baru nampak tidak tegang sangat riak di wajahnya. 

Wildan menyambung, “Dalam sebuah riwayat diceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: ‘Setelah Allah mengumpulkan semua manusia berdirilah seorang penyeru dan berkata: “Di manakah orang yang mempunyai kelebihan?” Rasulullah kemudian berkata, maka berdirilah beberapa orang manusia kemudian segera masuk ke dalam syurga. Para malaikat kemudian bertanya kepada mereka, “Apakah kelebihan kamu semua?” Mereka semua menjawab, “Kalau kami dianiaya kami bersabar, kalau kami ditimpa musibah kami menanggungnya.” Kemudian dikatakan kepada mereka, “Masuklah kamu semua ke dalam syurga, alangkah nikmatnya pahala orang-orang yang beramal.”

“Dari cerita ini, harta benda dan darjat bukanlah kelebihan di negara akhirat. Malah tidak dilebihkan walau barang sedikit pun dengan kelebihan yang pernah ada di dunia itu.”

Pakcik itu tunduk seketika. Termenung, kemudian berkata pada Wildan. “Terima kasih nak, pakcik sudah dapat sedikit pencerahan. Pakcik minta diri dulu kalau begitu.” 

Wildan masih tidak sempat habiskan kata-katanya. Masih ada yang ingin diperkatakan tentang nikah dalam Islam. Baru saja muqaddimah. Mungkin pakcik tua itu terasa hati fikirnya. Sebab itu kelihatan sangat tergesa-gesa. Pakcik itu mengeluarkan dua keping note lima puluh ringgit kepada dihulurkan pada Wildan. Wildan cepat-cepat menolaknya. “Kata-kata saya free, dakwah sepatutnya percuma seratus peratus.” Pakcik itu lantas berkata, “tapi erti hidup pada memberi..ambillah..” Wildan cepat-cepat memotong ayat pakcik, “Pakcik yang saya hormati, erti hidup adalah pada menyampaikan, bukan pada memberi. Kita hanya hamba Allah menyampaikan apa sahaja yang diberikan oleh Allah kepada kita. Tiada satu pun milik kita pakcik. Tiada apa pun milik kita hatta diri sendiri kita bukan milik kita. Semua milik Allah. Semua dari Allah. Semua Allah yang beri. Kita apa ada?” 

Pakcik diam seketika. Tersenyum sambil mengangguk faham. “Jika ada duit banyak, apa impian kamu?” Pakcik bertanya sebagai soalan akhir. 

Wildan pelik juga tetapi tanpa banyak soal terus membalas, “Saya tak suka perkataan ‘jika’, tetapi andai diizinkan Allah dimurahkan rezeki, impian saya adalah untuk membina masjid 24 jam. Yakni masjid yang beroperasi dan buka 24 jam. Siapa nak solat, nak tidur beri’tikaf, nak singgah bermusafir, nak ceramah, nak usrah, nak mengaji Quran dan semua benda halal yang boleh dibuat, semua boleh dilakukan di masjid tersebut. Sebab saya sedih dengan masjid-masjid yang ada sekarang. Dibuka hanya pada masa solat, dikunci pada malam harinya.”

Pakcik itu bersalaman dengan Wildan dan meminta diri. Pakcik yang pelik kata hati Wildan. Namun dia tidak mahu sukzon. Dibiarkan sahaja perasaan dalam hatinya itu hilang. 

Wildan perasan Dr.Rashidah memerhatikan perbualannya dengan pakcik tadi. Namun Wildan tidak menghiraukan juga Dr.Rashidah. Dia tidak berminat.

****


Petang hari kedua terakhir. Esok Wildan dah nak keluar wad. Ramai betul orang datang menziararahi Wildan. Semua sedih Wildan dah nak tinggalkan wad. Lepas ini tiada lagi imam muda mengimamkan solat di wad tersebut. Tiada lagi ustaz muda mengajar Al-Quran kepada pesakit-pesakit di wad itu. Bagi pakcik-pakcik dan makcik-makcik, Wildan dah dianggap sebagai anak mereka sendiri. Disayangi dan dikasihi. Begitu juga adik-adik, abang-abang dan kakak-kakak di situ. Dah anggap Wildan seperti adik beradik sendiri. Pengunjung-pengunjung yang mengenali Wildan datang berpusu-pusu bersalaman dengan Wildan. Ada yang membawa buah-buahan sebagai buah tangan untuk diberikan padanya. 

Pukul 6.30 petang. 

Masa melawat pun dah lepas dari tadi lagi. Wildan terbaring keletihan. Penat melayani penziarah-penziarah yang datang. Di kejauhan, kelihatan Dr.Rashidah di mejanya sedang mencatat sesuatu pada helaian kertas. Mungkin tengah siapkan report fikir Wildan. Tiba-tiba Wildan lihat Dr.Rashidah tergesa-gesa keluar bersama jururawat. Mungkin ada emergency.

Angin bertiup agak kencang masuk ke dalam wad. “Hari nak hujan kot,” getus hati Wildan seraya menarik selimutnya sedikit kesejukan. Tiba-tiba sehelai kertas melayang jatuh di katilnya. Wildan mencapai kertas tersebut. Dibacanya dalam hati.

“Berikan cintamu, juga sayangmu, percaya padaku, ku ‘kan menjagamu, hingga akhir waktu menjemputku. Tolonglah aku, bagaimana diriku? ungkapkan itu, rasa yang membelenggu. Ingin ku katakan, ku cinta padamu..Imam Muda Wildan..”


Terkesima seketika Wildan. Kertas siapa ni? Takkanlah dari adik lelaki yang di sebelah kot? Geli geleman Wildan memikirkan kertas itu ditulis oleh lelaki kepadanya. Cepat-cepat Wildan menggumpalnya dan menyelitkan di bawah bantal. Malu kalau diketahui. 

****

Maghrib menjelma. 

Azan dilagukan oleh Adik Kamal Abd Rahman di sebelahnya. Maghrib yang terakhir di wad usrah. Ramai yang hadir pada malam itu. Sesak wad sampai ke luar pintu wad. Semua berebut-rebut manjadi makmum. Pesakit, doktor, jururawat, pengunjung, penjaga pesakit semua ada dalam saf, atas tikar sejadah masing-masing. Wildan membaca Surah Al-Rahman sampai habis. Syahdu dan sayu bunyinya. Imam dan makmum sama-sama menangis dalam kekhusyukan. 

Selesai sahaja solat, Wildan mula menyampaikan tazkirah maghrib dan hajatnya itulah usrah perpisahan yang terakhir antara dia dan insan-insan di wad itu. Semua tekun mendengar. Seakan berhenti seketika perkhidmatan doktor dan jururawat di wad itu. Semua pakat menjadi pendengar yang setia. Kuatnya aura keikhlasan dakwah Wildan. 

“Abang-abang, kakak-kakak, pakcik-makcik, adik-adik sekalian seterusnya semua yang hadir pada malam ini. Ini adalah pesanan saya yang terakhir untuk kamu semua di wad yang dirahmati Allah ini.” Kelihatan ada mata-mata yang bergenang air mata terutama makcik-makcik yang halus jiwanya. 

“Rasulullah SAW pernah ditanya, ‘Siapakah orang yang paling pandai?’ Rasulullah menjawab: ‘Orang yang paling pandai adalah orang yang paling banyak mengingati kematian dan orang yang paling bagus persiapan serta persediaannya untuk kehidupan sesudah mati.’ Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Thabarani.”

“Dalam suatu riwayat yang lain oleh Al Bazzar, diceritakan tatkala Rasulullah SAW melewati sebuah majlis di mana orang-orang di situ sedang tertawa, Rasulullah kemudian berkata kepada mereka, ‘Perbanyakkanlah mengingati kematian yang memutuskan semua kenikmatan dengan pantas. Orang yang mengingat kematian ketika hidupnya susah, akan merasakan keluasan dan kelapangan. Dan orang yang mengingati kematian ketika hidupnya senang, maka kematian akan membuat hidupnya terasa sempit.’”

“Saya sendiri merasai ngerinya dan sedihnya impak sebuah kematian. Kehilangan isteri tercinta dan 4 orang anak kembar. Walhal saya memandu dengan berhati-hati, tidak saya perasan Malaikatul Maut berada bersama-sama sepanjang perjalanan. Saya rasa selamat dan aman tetapi lupa kematian tidak kira masa dan suasana. Gembira atau sedih, aman atau huru-hara, tanpa lengah kematian tetap menjengah kita yang sentiasa alpa. Selama berada di hospital, setiap hari ada sahaja yang meninggal. Ia sudah cukup menginsafkan diri saya dan harapnya kamu semua juga mengambil ibrah dan iktibar dari kehilangan ‘teman-teman’ sehospital. Tidak boleh kita berbaring dengan terlalu senang lenang, siapa tahu selepas ini atau malam ini ketika tidur jantung kita berhenti berdetak? Sakit bukan bermakna kita diberi tempoh darurat, walaupun ada rukhsah atau keringanan dalam menunaikan ibadat, sebenarnya sakit adalah supaya kita makin bersujud, makin tunduk mengalah pada Allah. Yang Maha Menghidupkan serta Maha Mematikan. Hargailah yang masih ada ketika mereka masih ada, namun jangan ditangisi masa lalu dengan terlampau. Hiduplah dengan iman dan indahnya Islam dalam menghadapi hari-hari yang mendatang.”

Wildan berkata-kata dalam tutur yang bercampur sebak. Suasana menjadi suram seketika. Ada tangis dan esak di penjuru kanan dan kiri. Dr.Rashidah di saf belakang sudah pun menangis dari awal lagi walaupun tidak disedari oleh Wildan. Semuanya sedih. Semuanya timbul rasa insaf dalam diri walaupun secebis cuma. 

“Akhir sekali ingin saya pesan pada semua, sama-samalah kita berdoa pada Allah supaya kita tergolong dalam golongan “iza zukirallah, wajilat qulubihim” yakni mereka yang apabila disebutkan nama Allah bergetaranlah hati-hati mereka. Sekian dari saya, Wildan; hamba Allah yang haqir.”

Selesai sahaja tazkirah, masuklah waktu solat fardhu Isya’. Dan sekali lagi suasana rahmat penuh zuhud berulang. Bersolat berjemaah dalam rasa penuh kehambaan. Mencari ketaqwaan dalam rasa kehambaan.

***

Pagi yang terakhir di hospital. Hari ni Wildan nampak segak sekali. Misai dan jambangnya dah ditrim dan wajahnya kembali nampak seperti orang muda. Sekali imbas macam fresh graduate umur 25 tahun. Tu pun sebab maknya dah meleteri dia semalam sebab tak jaga kekemasan diri. Mak kata ikon kena jaga penampilan diri, barulah ramai yang mendekati. Entah betul atau tidak. Wildan hanya menurut, malas bertekak dengan bondanya. Misi-misi yang ada di wad tersebut tak habis-habis bermain mata dengan Wildan. Ah! Malas Wildan nak melayan. Dibiarkan sahaja misi-misi comel itu.

Kedua-dua keluarganya belum datang menjemput Wildan. Mungkin sekejap lagi datanglah sebab mereka dah berjanji nak datang ramai-ramai. Wildan sedang ditolak oleh Dr.Rashidah untuk menjalani pemeriksaan akhir sebelum keluar hospital. Namun kebenaran keluar hopital telah diberikan hari sebelumnya lagi. 

“Tak sangka 3 bulan berlalu sekejap je ye?” Dr.Rashidah memulakan bicara.

“Ye lah, saya pun rasa begitu. Sayang juga nak tinggalkan wad ini. Semua dah macam keluarga bagi saya.” Wildan menjawab pendek.

“Sayang nak tinggalkan wad ke sayang nak tinggalkan orang-orang kat wad tu? Ke ada minat kat mana-mana misi ke..doktor ke..” Dr.Rashidah mengusik. 

Wildan hanya tersenyum. Tidak diendahkan usikan Dr.Rashidah. Tiba-tiba kerusi roda Wildan dihentikan. Dr.Rashidah berdiri di hadapan Wildan. Wildan terkebil-kebil. Tertanya-tanya dalam hati.

“Awak, saya tak nak awak tinggalkan wad ni boleh tak? Sekurang-kurangnya sampai saya habis praktikal bulan depan?” Dr.Rashidah berkata-kata dalam nada yang agak serius.

“Kenapa?” Wildan pura-pura tidak faham maksud doktor muda itu. 

“Saya sayangkan awak.” Dr.Rashidah bersuara lembut. Direct betul wanita itu.

Wildan terkejut. Dia teringatkan kertas yang digumpalnya dulu. “Saya minta maaf, saya terpaksa keluar juga dari wad ni.”

“Awak tade perasaan kat saya ke? Saya tak mampu menyejukkan hati dan mata awak ?” Ada nada sebak dan haru dalam tutur kata Dr.Rashidah. Wildan diam membisu. Dia menundukkan kepalanya tidak memandang ke wajah ayu berkulit putih kemerahan itu. Tidak berani rasanya merenung wajah itu. 

“Saya minta maaf sangat-sangat. Tapi saya tidak layak untuk awak yang tampak sempurna. Awak muda lagi, ada masa depan. Saya tiada kemampuan, malah tidak mampu berjalan dengan baik. Awak buanglah perasaan tu ye. Berilah pada orang yang selayaknya. Saya doakan awak jumpa putera hati yang beriman. Ameen.”

“Saya tanak doa awak!” Dr.Rashidah menolak cepat-cepat kerusi roda Wildan ke bilik pemeriksaan. Ditinggalkan sahaja Wildan di situ. Berlalu dengan hati yang terluka. 

Wildan tidak nampak kelibat Dr.Rashidah sampailah keluar dari hospital. Ada juga rasa rugi di hati Wildan. Ye lah, awek cun suka kat kita. Tapi rasa kasihnya pada arwah isterinya lebih menebal. Dilupuskan ingatannya tentang Dr.Rashidah. Itu yang terbaik.

*************

Sudah setahun setengah berlalu. 

Wildan duduk di buaian hadapan rumahnya. Menghirup udara pagi yang segar. Wildan dah boleh berjalan dengan izin Allah. Walaupun tidak segagah dan sepantas manusia normal, tetapi Wildan tetap bersyukur. Ingat lagi ketika pertama kali sampai di rumahnya setahun lepas dulu, air matanya tidak tertahan-tahan. Rindu pada arwah isteri dan anak-anaknya dihamburkan melalui titisan air matanya. Terlalu banyak memori bersama menyebabkan Wildan murung untuk beberapa ketika. Namun tidak lama dengan sokongan kedua-dua keluarganya, Wildan mengorak langkah memulakan kehidupan yang baru dan lebih bersemangat. 

Surau berhampiran rumahnya dijadikan pusat dakwah Wildan. Terinspirasi dari dakwahnya di wad dulu, Wildan bertekad untuk meneruskan kerja-kerja dakwah di surau dekat rumahnya pula. Alhamdulillah, hasil usahanya program usrah di surau itu berjaya dihidupkannya. Sudah ramai yang bertandang ke surau kecil itu untuk bersolat berjemaah dan mempelajari ilmu agama utamanya Al-Quran. Kelebihan yang ada pada Wildan iaitu suara yang merdu melagukan Al-Quran dimanfaatkan sepenuhnya. Lama-kelamaan, surau kecil itu pula menjadi popular dan ramai yang bertandang ke surau itu dari pelbagai pelosok negeri dan tempat. Inilah berkat sebuah keikhlasan. Dakwah yang berjaya, nak seribu daya. Wildan sekarang adalah pendakwah bebas full time. Dia juga tidak menolak untuk mengadakan edisi ceramah tanpa mengenakan apa-apa bayaran di mana-mana sahaja. 

Suatu malam di bulan Zulhijjah,

Selesai sahaja solat Isya’ berjemaah, Wildan bersiap-siap untuk pulang ke rumahnya. Wildan berpuas hati, malam itu penuh semua 20 saf dalam surau kecil itu. 

Tiba-tiba Wildan melihat banyak kereta mewah berhenti di perkarangan surau itu. Lebih kurang 20 buah kereta BMW, Mercedes, Lamborgini dan lain-lain yang Wildan sendiri tidak tahu jenamanya. 

Wildan berdiri di muka pintu surau. Seketika dilihatnya kedua-dua keluarganya juga hadir sama ke surau itu. Sahabat baiknya Jannah dan Dr.Shah pun ada sekali. Wildan menjadi bertambah hairan. Ada apa ye sebenarnya?

Seketika kemudian, seorang pakcik tua yang rasanya dia pernah jumpa dulu keluar dari sebuah kereta tersebut. Datang menghampiri Wildan.

“Assalamualaikum Ustaz.” Pakcik tua itu mula menyapa Wildan. Barulah Wildan ingat pakcik tua ini yang pernah datang berjumpanya ketika di wad dulu.

“Waalaikumussalam. Pakcik cari siapa ramai-ramai ni?” Wildan melihat ramai hadirin dan hadirat mulai keluar dari kereta masing-masing. Seorang demi seorang dari muslimin datang bersalaman dengan Wildan kemudiannya duduk memenuhi ruangan surau. Wildan menjemput pakcik itu duduk. Semua orang kini duduk mengelilingi Wildan. Terasa segan juga Wildan dengan situasi tersebut. Namun Wildan sudah biasa dengan orang ramai, tenang sahaja air mukanya.

“Sebenarnya hajat pakcik datang ini adalah untuk berjumpa Ustaz Wildan.” Pakcik tua itu menyambung. “Jumpa saya? Ada hajat apa ye sampai ramai-ramai begini?” Wildan mulai confuse. 

“Actually Pakcik berminat untuk merisik Ustaz Wildan. Untuk dijadikan suami kepada anak perempuan pakcik.” 

Wildan terdiam. Tidak tahu nak jawab apa. Kedua-dua keluarganya datang mendekati Wildan. 

“Tapi siapa anak pakcik? Dan kenapa saya?” Wildan membalas lembut. 

“Saya.” Muncul seorang perempuan muda yang sangat cantik, anggun dengan baju berwarna putih ala-ala pengantin di muka pintu surau. Seakan-akan seorang puteri, tersangatlah ayu. Muka dahlah macam artis korea. 

Tergamam seketika Wildan. “Doktor Rashidah..” Kata-kata yang terpacul dalam hati Wildan.

“Kami semua ini adalah kerabat diraja negeri jiran. Oleh sebab anak pakcik ni, Tengku Rashidah degil nak juga bersuamikan Ustaz Wildan, jadi pakcik telah pergi sendiri menemui kamu di hospital dulu. Pakcik berpuas hati dengan keperibadian kamu dan ketulusan jiwa yang terpamer dari kekuatan agama diri kamu. Juga kata-kata kamu berjaya menggerakkan hati pakcik yang egois tentang darjat dan harta benda bukanlah segalanya di akhirat nanti. Jadi, pakcik nak tanya kamu, sudikah kamu menerima anak pakcik?” Pakcik tua itu terus menyuarakan hajat di hatinya kepada Wildan tanpa berselindung lagi. “Pakcik juga telah menyediakan hantaran berupa sebuah masjid yang dah siap dibina di tengah bandar ini. Pakcik namakan Masjid Wildan yang dibuka 24 jam.”

“Err..er..saya..” Wildan tergagap-gagap. Namun cepat-cepat dicelah oleh ibunya. “Wildan, lepaskan Wardatul Syaukah pergi bersama dengan kenangan silam. Yang manis dikenang berpanjangan, pahit tak perlu-usah disimpan...Hadaplah masa depanmu dengan jiwa yang baru..” Seketika Wildan terdiam lama. Dalam kepalanya teringat kata-kata Syeikh Muhammad Al-Ghazali dalam kitabnya Jaddid Hayatak, “Jangan Tangisi Masa Lalu.” “Maka ambillah kejadian itu untuk menjadi dan dijadikan pengajaran wahai orang-orang yang mempunyai pandangan..Surah Al-Hasyr ayat 2.”

Wildan menarik nafas yang panjang lalu bersuara. “Bismillah..” 

“Doktor Rashidah, kita ijab kabul sekarang juga nak tak?”

Kelihatan doktor muda itu tersenyum manis dengan butiran air mata bergenang di kelopak mata. 

TAMAT




karya:
Rusydee Artz,
5.34 ptg, Sabtu 20 Nov 2010.

2 comments: