Bagaimana seharusnya
sikap kita apabila berdepan dengan dua perkara atau lebih yang hukumnya sama
harus, sama-sama baik, dan sama-sama bermanfaat, tetapi kita hanya boleh
memilih salah satu sahaja daripadanya?
Mungkin perkara itu
melibatkan soal pekerjaan, pasangan hidup, pemimpin, rumah atau permusafiran.
Kita berada dalam keadaan benar-benar buntu dan keliru. Apa yang terbaik untuk
kita?
Apabila berdepan antara
yang halal (wajib) dan haram, orang mukmin itu tidak akan berasa terbeban
dengannya. Mengapa? Ini kerana mereka sudah mampu membuat keputusan berdasarkan
nilai yang mereka pegang dalam hidup. Maksudnya, mereka tidak akan keliru lagi
kerana sudah pasti yang halal menjadi pilihan.
Tetapi, bagaimana kalau
sama-sama halal atau harus, mana satu yang patut dipilih? Orang beriman tidak
akan selamanya buntu dan keliru. Mereka ada kekuatan semula jadi, iaitu
melaksanakan solat istikharah. Daripada Jabir r.huma,. beliau berkata, Nabi
S.A.W. bersabda, maksudnya: “Apabila ada daripada kalangan kamu diberatkan oleh
sesuatu, hendaklah dia rukuk dengan dua rukuk (mengerjakan solat dua rakaat),
selain solat yang fardhu (mengerjakan solat dua rakaat dengan niat
istikharah).” (Riwayat al-Bukhari)
Daripada Jabir bin
Abdullah r.a. berkata: “Rasulullah S.A.W. mengajar kami istikharah dalam
melakukan sesuatu perkara sebagaimana Baginda mengajar kami satu surah daripada
al-Qur’an. Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya: “Apabila salah seorang
daripada kamu merancang dalam sesuatu perkara, hendaklah dia melakukan solat
sunat dua rakaat.” (Riwayat al-Bukhari)
Keperluan
Istikharah
Istikharah ialah
memohon atau meminta yang terbaik. Ia dilakukan apabila seseorang itu tidak
pasti dalam memutuskan sesuatu perkara sama ada ingin melakukannya atau
meninggalkannya. Praktikalnya, istikharah bererti meminta pertolongan Allah
untuk memilih beberapa kemungkinan dan kemungkinan itu berada pada tahap harus
dalam syariat dan tidak diketahui mana yang terbaik; dilakukan atau
ditinggalkan. Jelasnya, istikharah penting dalam kehidupan orang beriman.
Perlu diingat, perkara
wajib, sunat, haram dan makruh terkecuali daripada perlaksanaan istikharah
kerana telah jelas hukumnya. Misalnya, seseorang yang sudah cukup semua syarat
mengerjakan haji, dia tidak perlu melaksanakan solat istikharah bagi membuat
keputusan untuk pergi mengerjakan haji atau tidak. Dia wajib memilih untuk
pergi. Begitu juga seorang kaki botol yang ingin bertaubat, dia tidak perlu
melaksanakan solat istikharah untuk bertaubat atau tidak. Dia wajib berhenti
serta-merta kerana arak itu jelas hukumnya haram.
Hakikat ini dijelaskan
oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani: “Ibn Jamrah berkata: ‘Sesungguhnya, perkara
wajib dan sunat tidak perlu dilakukan istikharah untuk mengerjakannya. Perkara
haram dan makruh juga tidak perlu dilakukan istikharah untuk meninggalkannya.
Solat istikharah hanya khusus kepada perkara yang harus sahaja.”
Orang yang beriman
mempunyai pendirian yang kukuh dalam kehidupannya dan jarang dilanda was-was
dan kekeliruan. Oleh sebab itu, jika tiada sebarang keraguan, dia mampu membuat
keputusan berpandukan hukum syariat yang difahami dan diyakininya. Maka, dia
tidak perlu beristikharah kerana baik buruk, manfaat mudarat, dan haram halal
sesuatu perkara itu telah jelas. Jika dia membuat pilihan dan keputusan
berdasarkan pertimbangan ini, sebenarnya dia telah merujuk kepada Allah.
Ketahuilah, syariat itu hukum Allah, merujuk kepada syariat sama seperti
merujuk kepada Allah.
Namun, apabila berdepan
dengan dua atau lebih perkara harus yang sangat sukar dibezakan kebaikannya,
barulah diperlukan istikharah. Sudah menjadi sunnatullah, musuh perkara terbaik
ialah perkara baik. Lebih-lebih lagi dalam hal berbentuk peribadi, seseorang
memerlukan istikharah kerana apa yang terbaik untuk orang lain, belum tentu baik
buat dirinya. Istikharah selalunya dilaksanakan untuk menangani perkara-perkara
yang sangat khusus dan personal sifatnya.
Sungguhpun begitu, ada
juga ulama yang menggalakkan solat istikharah bukan sahaja apabila berhadapan
dengan perkara besar dan sukar untuk diputuskan, tetapi setiap kali hati
tergerak untuk melakukannya sebagai tanda kita mengharap kepada Allah.
Imam al-Shawkani
menyebut: “Seseorang itu tidak harus memandang hina terhadap sesuatu perkara
yang kecil, dan tidak mengambil berat tentangnya sehingga meninggalkan daripada
melakukan istikharah kepada Allah. Boleh jadi tersembunyi dalam perkara
tersebut sesuatu yang tidak diketahuinya dan menatijahkan kemudaratan yang
besar akibat memandang remeh akan keperluan melakasanakan istikharah kepada Allah.
Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya: “Wajib bagi seseorang untuk memohon
kepada Tuhannya walaupun berkenaan tali seliparnya.” (Riwayat al-Tirmizi)
Realiti
Rendah Diri dalam Doa Istikharah
Melalui solat
istikharah, sebenarnya seseorang telah memohon “kebersamaan” Allah ketika dia
membuat pilihan. Allaj dicari sebagai rujukan utama untuk diadukan tentang keresahan kegelisahan hati.
Lalu, dengan penuh tawaduk dan rendah hati, doa istikharah yang diajarkan oleh Rasulullah
ini dipanjatkan buat-Nya:
“Ya
Allah, aku memohon petunjuk daripada-Mu dengan ilmu-Mu, dan aku memohon
ketentuan daripada-Mu dengan kekuasaan-Mu, dan aku memohon daripada-Mu dengan
limpah kurniaan-Mu yang besar. Sesungguhnya, Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku
tidak berkuasa, dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui, dan
Engkaulah Maha Mengetahui segala perkara yang ghaib.”
Sungguh, sifat
kerendahan hati dan diri seorang hamba terpancar daripada doa ini. Hamba
tersebut mengakui kelemahan, kejahilan dan pengharapannya hanya kepada Allah
Yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Terserlah juga sifat redha dan pasrah
seorang hamba kepada Tuhannya. Hakikatnya, manusia tidak tahu perkara yang baik
dan mudarat untuk dirinya sendiri.
Mungkin sesuatu yang
kelihatan baik pada pandangan akal dan perasaan kita sebenarnya itulah akan
membawa keburukan. Dan mungkin juga sesuatu yang kita sangka buruk, sebaliknya
itu baik untuk kita. Bukankah Allah telah menegaskan dalam firman-Nya yang
bermaksud: “Boleh jadi kamu benci kepada
sesuatu, padahal ia baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu,
padahal ia buruk bagi kamu. Dan
(ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak
mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah 2: 216)
Pelaksanaan
Istikharah yang Terbaik
Oleh sebab itu, solat
istikharah perlu dilaksanakan dengan penuh adab dan tertib. Yang paling penting
adalah dengan menjaga adab batin (hati) yakni dengan mengosongkan hati daripada
sebarang kecenderungan diri sendiri (yang mungkin telah dikuasai oleh hawa
nafsu), kerana dikhuatiri hati yang dikuasai hawa nafsu seolah-olah “memaksa”
Allah untuk mengikut pilihan mereka.
Imam al-Nawawi
menjelaskan syarat utama sebelum solat istikharah ialah pemikiran seseorang
mestilah benar-benar bebas tanpa kecenderungan peribadi. Beliau menegaskan
lagi, sekiranya telah ada keputusan dan kecenderungan yang kuat, lebih baik
jangan dilaksanakan solat istikharah.
Justeru, sebaiknya
kosongkan hati sebelum melaksanakan solat istikharah dan tunggu datangnya input
ketenangan, kelapangan dan kecenderungan terhadap satu-satu keputusan setelah
melaksanakan solat tersebut. Inilah yang ditegaskan lagi oleh Imam al-Nawawi
dalam kitabnya al-Azkar: “Hendaklah dia memilih perkara yang melapangkan
dadanya.”
Sesetengah ulama
berpendapat, istikharah perlu dilakukan apabila tidak dapat membuat keputusan
dengan bermesyuarat. Maka, seseorang itu dituntut untuk melaksanakan solat
istikharah. Maksudnya, bermesyuarat dahulu, pinta pandangan, hujah dan nasihat
daripada orang yang soleh dan pakar dalam bidang atau perkara tersebut, maka
setelah itu buatlah keputusan berdasarkan input mereka. Mereka berpendapat
bahawa mesyuarat lebih utama (afdhal) daripada istikharah.
Bermesyuarat dalam
perancangan atas perkara-perkara yang harus ialah perintah Allah. Firman Allah.
Maksudnya: “Dan bermesyuaratlah dengan
mereka dalam urusan itu.” (Surah Ali ‘Imran 3: 159)
Oleh sebab itu, jangan
dipisahkan istikharah dengan mesyuarat (istisyarah). Walaupun pada zahirnya,
istikharah ialah urusan dengan Allah dan mesyuarat urusan dengan manusia,
tetapi hakikatnya kedua-dua amalan ini adalah perintah Allah jua. Bukankah
salah satu surah dalam al-Qur’an dikhususkan tentang mesyuarat? Bahkan,
Rasulullah S.A.W. sendiri diperintahkan oleh Allah untuk bermesyuarat dengan
para sahabat Baginda walaupun wahyu
masih belum terhenti.
Ada sebahagian ulama
pula berpendapat agar dilakukan dahulu solat istikharah sebelum “jawapan”
istikharah itu dibawa bermesyuarat dengan orang yang baik dan pakar dalam
bidang yang berkaitan. Ya, mereka menegaskan bahawa tidak akan rugi orang yang
beristikharah dan tidak akan menyesal orang yang bermesyuarat.
Walau apa pun pegangan
kita sama ada istikharah dahulu kemudian mesyuarat atau sebaliknya, itu bukan
perkara yang harus diperselisihkan. Yang penting, jangan dipisahkan antara
istikharah dengan mesyuarat kerana kedua-duanya merupakan kaedah yang
diperintahkan syarak buat mereka yang berada dalam kebuntuan atau kekeliruan.
Berpeganglah pada mana-mana pandanga kerana kedua-duanya adalah baik belaka.
maaf kurang jelas tulisannya, sila klik pada gambar.. =)
Berilmu
sebelum Istikharah
Namun begitu, setiap
amalan memerlukan ilmu. Biarpun hanya solat sunat, solat istikharah yang
merangkumi soal falsafah, hikmat dan pelaksanaan perlu difahami sebaiknya dan
bukan hanya diamalkan secara ikut-ikutan. Jangan beribadah tanpa ilmu kerana
itu mendedahkan kepada tipuan syaitan. Seharusnya, belajarlah daripada
kitab-kitab muktabar yang disampaikan oleh alim ulama sebelum melaksanakan
istikharah.
Jika tidak, pelbagai
tipu daya syaitan dan helah hawa nafsu akan tambah mengelirukan kita. Boleh
jadi kita akan bertambah buntu atau tertipu oleh satu kepalsuan yang dirasakan
satu keyakinan dan kebenaran. Betapa tidak, kerana ada pihak yang berpendapat
bahawa mereka pasti mendapat alamat atau isyarat tertentu (seperti mimpi)
sebagai jawapan selepas solat istikharah.
Justeru, apabila mereka
tidak “diberi” mimpi, mereka berasa kecewa dan berangggapan bahawa Allah tidak
“menjawab” permohonan mereka lewat solat istikharah yang telah dilakukan. Ada
juga yang mendakwa dikurniakan mimpi dan mempercayainya, tetapi mimpi itu
menghala kepada perkara yang haram. Misalnya, ada yang beristikharah untuk
memilih pasangan hidup lalu bermimpi berkahwin dengan isteri orang. Itu bukan
petunjuk Allah, tetapi tipuan syaitan.
Relevannya, mimpi yang
dialami tidak boleh seratus peratus dijadikan asas dalam tindakan. Hukum
syariat mesti menjadi rujukan, bukannya mimpi. Oleh sebab itu, mimpi harus
dirujuk dan kembali kepada syariat. Mana mungkin kita melakukan solat
istikharah yakni meminta bantuan Allah untuk membuat keputusan, tiba-tiba
keputusan itu bertentangan dengan hukum Allah?
Profesor Mutawalli
al-Sha’rawi berpendapat, solat istikharah tiada kaitan dengan mimpi kerana ia
adalah mainan tidur yang boleh dipengaruhi oleh banyak faktor. Oleh kerana itu,
ada antara ulama yang secara rigid
menolak mimpi yang dikaitkan dengan istikharah dan ada pula yang menerimanya.
Imam al-Nawawi pula
menyebut bahawa petunjuk selepas istikharah itu mungkin datang dalam bentuk
ketenangan, kecenderungan, ilham, mimpi dan sebagainya.
Manakala Ibn Qayyim
pula berpendapat bahawa petunjuk disampaikan dalam bentuk kemantapan hati.
Namun, apa yang perlu
dilakukan jika petunjuk belum kunjung tiba sekalipun telah mengerjakan solat
istikharah? Jawapannya, lakukanlah lagi hingga tiga kali berturut-turut (ada
ulama yang menyuruh hingga tujuh kali). Sekiranya belum juga datang petunjuk
itu, maka bertawakallah dan pilihlah satu daripada kemungkinan yang harus itu.
Bersangka baiklah setelah membuat pilihan dengan tidak melayan lagi sebarang
keraguan, was-was dan rasa hati yang berbolak-balik.
agak-agak macam tak jelas, sila klik pada gambar.. =)
Pasrah
selepas Berusaha
Ingat, solat istikharah
juga ialah doa dan bukan pelaksanaan solat semata-mata. Seseorang yang berdoa
mesti menghadirkan hati yang penuh yakin dan bersangka baik bahawa doanya akan
dimakbulkan. Yakinlah, dengan mendirikan solat istikharah, Allah akan
memakbulkan doa kita yakni dengan mendorong hati serta melapangkan dada kita
untuk memilih yang terbaik.
Daripada Abdulllah bin
Amru bin al-‘As, Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya pada hati
manusia ada kesedaran, sesetengahnya merupakan kesedaran bagi sesetengah yang
lain. Apabila kamu memohon sesuatu daripada Allah, pohonlah kepada-Nya dengan
yakin bahawa Allah akan memakbulkannya. Sesungguhnya, Allah tidak akan
memakbulkan doa seorang hamba yang hatinya dalam keadaan lalai (tidak sedar dan
yakin dengan pemberian Allah).” (Riwayat Ahmad)
Sekiranya ternyata
pilihan yang dibuat setelah solat istikharah itu baik, bersyukurlah kepada
Allah kerana dengan bantuan-Nya, semua itu berlaku buat diri kita. Jangan
merasakan semua itu hasil usaha istikharah kita, tetapi percayalah semuanya
kehendak Allah jua. Namun, seandainya yang berlaku adalah sebaliknya, terimalah
ia sebagai satu ujian daripada Allah yang pasti ada hikmahnya. Mungkin buat
sementara waktu ia dirasakan pahit,
tetapi pada masa hadapan ternyata ia adalah ubat yang menyembukan.
Jangan ada penyesalan
dan kekesalan setelah menerima impak daripada pilihan yang diperoleh setelah
solat istikharah. Jika ada masalah atau cabaran yang menimpa, jangan berpatah
balik kerana kita sudah berada di jalan yang benar. Apabila timbul masalah
dalam urusan jodoh, kerja, jawatan atau apa-apa sahaja yang kita pilih setelah
bermesyuarat dan beristikharah, jangan sekali-kali menyalahkan diri sendiri
apatah lagi “menyalahkan” Tuhan.
Sebaliknya, terima ia
sebagai suatu musibah yang penuh dengan didikan dan hikmah daripada-Nya. Kita
inginkan kesenangan, tetapi Allah anugerahkan kesabaran. Kita inginkan
keindahan, tetapi Allah kurniakan kebenaran. Bukankah kesabaran dan kebenaran
itu lebih berharga daripada keindahan dan kesenangan?
Pasrahlah dengan
istikharah, rasakan bahawa perkara yang telah ditetapkan oleh Allah sejak azali
pasti akan berlaku dan tidak dapat dielakkan lagi. Ya, ia ditetapkan berdasarkan
pengetahuan Allah Yang Maha Hebat dan Bijaksana. Kuasa mutlak Allah dalam
menentukan segala sesuatu tidak akan dapat dicabar. Sesungguhnya, istikharah
itu tetap berada di bawah takluk aqidah dan takdir Allah. Sesuatu yang
ditakdirkan berlaku, pasti berlaku. Tutuplah pintu tipuan syaitan yang sering
membisikkan kata-kata “seandainya” atau “kalau”.
Peganglah erat-erat
bahawa tidak akan rugi orang yang beristikharah dan tidak akan menyesal orang
yang bermesyuarat. Mustahil bagi Allah untuk mengecewakan hamba-Nya yang
menyerahkan segala urusan hidup kepada-Nya. Jangan ragui lagi kasih sayang
Allah yang melimpah, pasrahlah dengan istikharah!
-Nukilan Ustaz Pahrol
Mohamad Juoi-
:: Solusi Isu 42 ::