assalamualaikum

sodiqi usrati...=)

Saturday, March 28, 2015

Bahan Bantu Mengajar

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, sepanjang latihan mengajar yang lepas, banyak bahan bantu mengajar yang telah saya sediakan. Antaranya adalah seperti berikut:










Suasana dan Iklim Bilik Darjah

Sistem sosial merupakan suatu sistem interaksi dan aktiviti manusia dalam masyarakat.  Aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dijalankan dalam bilik darjah bergantung kepada interaksi dan aktiviti di antara guru dengan murid-muridnya.  Sehubungan dengan itu, bilik darjah merupakan satu sistem sosial yang interaksinya berlaku melalui aktiviti-aktivit yang dirancangkan berdasarkan sesuatu strategi PdP.

Mengikut kajian, keberkesanan PdP di dalam bilik darjah banyak bergantung kepada cara interaksi atau komunikasi guru dengan murid, murid dengan murid dan murid dengan bahan pembelajaran. Faktor-faktor yang boleh mempengaruhi cara dan suasana interaksi di dalam bilik darjah pada kebiasaannya terbahagi kepada tiga kategori, iaitu faktor fizikal, faktor kemanusiaan dan faktor teknikal.

Secara khususnya, faktor fizikal ini merangkumi segala bentuk kemudahan dan peralatan yang terdapat di sekolah.  Kemudahan dan peralatan sekolah tersebut merujuk bangunan sekolah, kemudahan-kemudahan di kawasannya, meja dan kerusi, alatan serta perabot di dalam bilik darjah. Mengikut kajian pakar-pakar penyelidikan, suasana fizikal sekolah yang kondusif merupakan faktor penting untuk meningkatkan keberkesanan PdP di dalam sekolah. Faktor fizikal sekolah ini pula mencakupi suasana fizikal di dalam bilik darjah dan kawasan sekolah.

Seterusnya, faktor kemanusiaan pula dapat dibahagikan kepada suasana sosial dan suasana emosi. Suasana sosial merujuk perhubungan dan corak interaksi antara murid dengan murid, khasnya di dalam bilik darjah.  Kebanyakan murid suka memilih rakan yang sebaya taraf sosialnya untuk berada dalam sesuatu kumpulan, terutamanya jika melakukan aktiviti berkumpulan. Dari sudut pendidikan pula, perhubungan dan corak interaksi murid dalam sesebuah kelas ini sememangnya mempengaruhi keberkesanan PdP, khasnya semasa aktiviti berkumpulan dijalankan.  Hal ini dapat dikenal pasti melalui kajian sosiometri, iaitu suatu teknik yang digunakan untuk mengkaji perhubungan dan corak interaksi di antara individu dalam sesuatu kumpulan dan hasil kajian tersebut diterjemahkan dalam sosiogram seperti berikut:


Suasana emosi pula merujuk perasaan murid terhadap guru. Suasana ini akan menimbulkan jenis-jenis tingkah laku murid yang ditentukan oleh sifat guru dan gaya pengajarannya.  Mengikut kajian, suasana bilik darjah yang kondusif biasanya ditimbulkan oleh guru yang mempunyai sifat penyayang, bertimbang rasa, peramah, lucu, bertanggungjawab dan tidak memilih kasih.  Suasana ini akan meningkatkan keberkesanan PdP di dalam bilik darjah.

Akhir sekali, faktor teknikal merujuk teknik yang digunakan oleh guru untuk merangsang semangat dan kesediaan belajar murid. Faktor ini merangkumi aspek kemahiran guru, kecekapan penggunaan alat bantu mengajar serta aktiviti yang boleh merangsang aktiviti pembelajaran seperti pertandingan perbahasan, deklamasi sajak, syair, kuiz dan drama.

Kesimpulannya, faktor-faktor yang mempengaruhi PdP di sekolah ialah faktor fizikal, kemanusiaan dan teknikal.  Faktor-faktor ini tidak bertentangan antara satu sama lain, malah saling melengkapi.

Friday, March 27, 2015

Peperiksaan Akhir Tahun SMKDPPK

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, seminggu yang terakhir saya di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Panglima Perang Kiri, Tapah Road, Perak Darul Ridzuan ini, saya sempat untuk bersama-sama dengan anak didik saya menghadapi peperiksaan akhir tahun.

Sehubungan dengan itu, saya telah berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu mereka mengulang kaji pelajaran, khususnya dalam subjek Bahasa Melayu sebelum mereka melangkahkan kaki ke dewan peperiksaan.

Jadi, antara usaha yang telah saya lakukan adalah dengan mengadakan kelas tambahan, ulangkaji pelajaran bersama-sama serta membuat praujian, iaitu ujian untuk menguji tahap kebolehan mereka sebelum menghadapi peperiksaan akhir tahun yang sebenar.